Perubahan kembalikan sokongan kepada BN KUALA LUMPUR 27 Dis. - Kepimpinan baru UMNO Pulau Pinang digesa supaya menyelesaikan segera masalah dalaman di beberapa bahagian tertentu demi mengembalikan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN). Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi memastikan perkara itu berlaku, kepimpinan baru parti di negeri berkenaan perlu merapatkan hubungan sesama Ahli Jawatankuasa (AJK) Perhubungannya. "Teruskan agenda yang telah dirancangkan semasa saya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan (UMNO) Pulau Pinang," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia hari ini. Ahmad Zahid diminta mengulas tentang pelantikan Datuk Zainal Abidin Osman sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang yang baru berkuat kuasa hari ini, bagi menggantikannya di jawatan itu. Dalam satu sidang akhbar hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut mengumumkan pelantikan Datuk Musa Sheikh Fadzir sebagai timbalan Zainal serta perubahan dalam dua lagi barisan kepimpinan UMNO negeri iaitu Terengganu dan Kedah. Ahmad Zahid menambah, perubahan dalam kepimpinan UMNO negeri itu menunjukkan keyakinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap kedua-dua pemimpin tempatan tersebut. Justeru katanya, barisan pimpinan baru UMNO Pulau Pinang perlu berusaha keras untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada BN memandangkan ramai daripada mereka yang telah 'merajuk' dengan parti termasuk dari kalangan orang Melayu sendiri. Selepas pilihan raya umum lalu, UMNO membuat keputusan untuk meletakkan tiga Naib Presidennya mengetuai jentera parti iaitu masing-masing di Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu sementara Najib menerajui Selangor manakala Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengetuai jentera di Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun, pengumuman hari ini menyaksikan Najib dan Muhyiddin kekal di portfolio negeri berkenaan. Pelantikan baru perkukuh parti hadapi pilihan raya bhnews@bharian.com.my 2010/12/28 Keputusan terbaik selepas ambil kira semua faktor: Hishammuddin KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perlantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO bagi Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu semalam akan memperkukuhkan persiapan parti menghadapi pilihan raya umum akan datang. Katanya, keputusan berkenaan adalah yang terbaik selepas mengambil kira semua faktor dalam proses menentukan kelangsungan UMNO. "Keputusan ini juga menggambarkan proses perubahan yang dicetuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mula menunjukkan pergerakan positif," katanya yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu. Bagi Terengganu, katanya, semua pihak perlu ingat negeri berkenaan pernah jatuh ke tangan PAS pada pilihan raya 1999 sebelum dimenangi semula Barisan Nasional (BN). "Ini adalah amanah yang digalas dan perlu dipertahankan. Pemimpin dan rakyat Terengganu perlu menerajui kepimpinan dan menentukan masa depan negeri." katanya. Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar pula berpendapat keputusan mengekalkan Najib sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu menunjukkan BN amat serius untuk memenangi semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang. Beliau berkata, khidmat Najib amat diperlukan bagi membantu jentera parti menawan semula negeri itu yang dikuasai pembangkang dan untuk itu, pihaknya amat berterima kasih kepada pucuk pimpinan. “Mewakili UMNO Selangor, saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas kesudian Datuk Seri Najib terus menerajui UMNO Selangor. Sesungguhnya, kepimpinannya amat diperlukan untuk BN menawan semula Selangor. “Saya juga berterima kasih atas kepercayaan beliau untuk mengekalkan saya sebagai timbalan pengerusi. Saya akan bekerja keras untuk membantu beliau dan BN bagi memenangi pilihan raya akan datang,” katanya. Komentar: Tugas kepemimpinan baru negeri, ahli bantu Presiden UMNO Oleh Jamhariah Jaafar jamhariah@bharian.com.my 2010/12/28 PERSOALAN mengenai senarai kepemimpinan baru yang akan menerajui Umno pada peringkat negeri sudah terjawab. Walaupun mungkin ada yang masih tidak berpuas hati dan akan terus mempertikaikan keputusan Presiden, Datuk Seri Najib Razak, namun setiap pihak mesti akur dan apa yang penting ialah keutuhan institusi itu, bukannya individu. Transformasi UMNO sudah memasuki gear dua dan bersedia memecut lebih pantas dalam persediaan menghadapi ‘peperangan’ Pilihan Raya Umum Ke-13 yang perlu dibuat dengan lebih teliti bagi menebus kesilapan 2008. Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, nyata tenang dan santai ketika mengumumkan senarai barisan kepemimpinan baru Umno peringkat negeri. “Siapa kata kita (UMNO) ada masalah, press (media dan pembangkang) saja berkata demikian. Kalau betul ada masalah kita memang akan tukar (barisan kepemimpinan),” katanya mengenai senarai yang tidak mencerminkan perubahan besar, tapi membawa makna amat penting kepada transformasi UMNO. Apa yang menarik ialah cara Najib menggandingkan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, di mana ramai pemerhati agak ragu dengan keberkesanan beberapa gandingan. Tapi jika setiap pemimpin mengetepikan kepentingan diri, masalah dalaman dan lain-lain pengaruh, sudah pasti tidak akan wujud sebarang masalah. Di negeri dikuasai pembangkang, Najib akur dengan tanggungjawab berat Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal pada peringkat nasional. Pulau Pinang dan Kedah diserah kepada gandingan pemimpin lama dan baru, memberi peluang kepada Presiden untuk mengkaji keberkesanan dan keikhlasan kerjasama antara kedua-dua golongan yang perlu akur dengan perubahan zaman. Pelantikan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Zainal Osman sebagai Pengerusi UMNO Pulau Pinang, dibantu Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir, serta Datuk Mukhriz Mahathir, untuk membantu Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, di Kedah amat menarik perhatian apa lagi melihat darjah kesukaran untuk UMNO merampas kedua-dua negeri ini dari pembangkang. Keputusan Najib mengekalkan jawatannya di Selangor dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, di Wilayah Persekutuan, mungkin tamparan besar kepada barisan kepemimpinan UMNO negeri terbabit yang kelihatan seperti ketandusan pemimpin berwibawa dan disegani. Bagaimanapun, jika dilihat dari sudut positif, Najib dan Muhyiddin perlu kekal bagi memastikan kedua-dua wilayah ini yang menjadi pusat utama kepada pentadbiran Malaysia, kembali menyokong kepemimpinan Barisan Nasional (BN). Bagi negeri lain, perubahan yang dilakukan Najib adalah jelas bagi menyatukan semula ahli UMNO yang berpuak-puak. Perasaan tidak puas hati antara pemimpin, anggapan bahawa mereka adalah pemimpin lebih baik dan lebih berpengaruh daripada yang lain, serta perasaan dengki dan iri hati perlu dikikis jika ingin memastikan survival UMNO dan bangsa Melayu di bumi tercinta ini. Di Perlis umpamanya, ramai melihat sinis gandingan Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu dan Datuk Seri Shahidan Kassim, namun sikap optimis dan sikap sabar Md Isa Sabu, sudah pasti akan dilengkapi Shahidan yang mempunyai pengaruh besar di akar umbi. Begitu juga di Terengganu, pelantikan Datuk Seri Ahmad Said, menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein, dibantu oleh Yahya Khatib Mohamad, yang juga Exco Kebajikan Agama dan Hal Ehwal Wanita negeri, diharap dapat menyatukan semula antara penyokong Menteri Besar dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh. “Keadaan akan terus menjadi sukar sekiranya setiap orang terus membuat perbandingan antara zaman pemerintahan Idris dan Ahmad Said. Suasana berbeza... saya mengaku ada kekurangan dan kelebihan antara kedua-dua pemimpin. Apa yang penting sekarang ialah untuk semua bersatu dan kembali bekerjasama demi UMNO,” kata seorang pemerhati. Najib sudah menunaikan janjinya kepada ahli UMNO untuk melakukan transformasi demi transformasi sejak mengambil alih pentadbiran dua tahun lalu. Kini, menjadi tanggungjawab barisan kepemimpinan baru negeri serta setiap 3.4 juta ahli UMNO untuk membantu Presiden melaksanakan tanggungjawab sebagai parti utama bangsa Melayu. Berakhirnya segala spekulasi Oleh Zulkiflee Bakar pengarang@utusan.com.my APABILA Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan secara rasmi keputusan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai siapa yang dipilih sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi UMNO di negeri-negeri, maka berakhirlah segala teka-teki dan spekulasi. Pengumuman yang dibuat semalam seharusnya diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak kerana UMNO perlu memulakan tirai 2011 dengan melaksanakan segala agenda bagi memantapkan parti untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13. Sudah pasti apa yang akan menjadi perhatian ialah bagaimana tiga pengerusi di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu mengemudi UMNO kerana sebelum ini, di ketiga-tiga negeri tersebut jawatan pengerusi perhubungan disandang sementara oleh tiga naib presiden iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pulau Pinang, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Terengganu) dan Datuk Seri Shafie Apdal (Kedah). Kini, jawatan berkenaan sudah diserahkan sepenuhnya kepada anak jati negeri masing-masing iaitu Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah (Kedah), Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu) dan Datuk Zainal Abidin Osman (Pulau Pinang). Mereka akan dibantu oleh timbalan masing-masing iaitu Datuk Mukhriz Mahathir (Kedah), Yahya Khatib Mohamad (Terengganu) dan Datuk Musa Sheikh Fadzir (Pulau Pinang). Perlis sedikit menarik perhatian apabila Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohd.Isa Sabu yang mengekalkan jawatan akan bekerjasama dengan Datuk Seri Shahidan Kassim. Bagi negeri-negeri lain, tidak ada perubahan termasuk Selangor dan Wilayah Persekutuan yang masing-masing kekal dipegang oleh Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Namun apa pun keadaannya, masa untuk membuat spekulasi dan andaian sudah berakhir. Apa yang lebih mustahak sekarang ialah kesemua pengerusi yang baru dipilih atau dikekalkan harus mengorak langkah mengatur strategi bagi memantapkan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri masing-masing. Seorang pemimpin kanan UMNO memberitahu penulis, Najib amat berhati-hati di dalam penentuan pengerusi perhubungan terutamanya di Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu. Ini bagi memastikan pelantikan tersebut apabila diumumkan akan diterima secara terbuka oleh semua pihak. ''Atas sebab itulah sepanjang proses pelantikan hendak dilakukan, pertemuan demi pertemuan diadakan bagi mendapat akujanji pemimpin-pemimpin terlibat,'' kata pemimpin UMNO tersebut. Sememangnya, Najib menaruh harapan besar kepada perubahan yang dilakukan kerana matlamat utama ialah memperkukuhkan UMNO dan BN. Justeru adalah wajar jika pemimpin-pemimpin yang dilantik memahami tanggungjawab dan amanah besar yang diberikan kepada mereka. Di Kedah, Terengganu dan Perlis umpamanya, semua orang tahu masalah politik yang berlaku di negeri-negeri tersebut. Tetapi dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, seharusnya diari lama ditutup dan sekarang adalah masa untuk membuka diari baru. Janganlah berpuak-puak dan bertelingkah sesama sendiri, Kedah sudah mendapat gandingan yang cukup mantap iaitu Ahmad Bashah yang penuh pengalaman dan Mukhriz yang mampu memperkukuhkan usaha menarik sokongan generasi muda. Semua ketua-ketua bahagian di negeri itu perlu bersatu memberi sokongan dan bukannya terus dengan permainan politik yang memualkan termasuklah membuat spekulasi kononnya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahadzir Khalid perlu dilantik bersama Ahmad Bashah memandangkan Mukhriz bukan ketua bahagian. Dalam masa yang sama, Ahmad Bashah pula perlu bersikap terbuka untuk berusaha merapatkan hubungan dengan semua pimpinan UMNO di Kedah. ''Saya percaya sebagai seorang politik yang berpengalaman, Ahmad Bashah akan mampu mengukuhkan kedudukan UMNO Kedah, apatah lagi dengan dibantu oleh Mukhriz dan ini menyaksikan gandingan orang lama dan orang muda,'' kata Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail. Di Terengganu pula, pelantikan Ahmad Said bukanlah satu kejutan kerana beliau sememangnya berhak kembali menduduki jawatan itu. Namun begitu menurut seorang pemimpin UMNO negeri berkenaan, Ahmad perlu lebih berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan mainan politik 'orang sekelilingnya'. ''Ahmad adalah pemimpin yang baik dan layak menduduki jawatan itu, cuma kita berharap beliau akan berusaha merapatkan barisan serta memulihkan hubungan dengan mereka yang dilihat 'tidak sebulu' dengan beliau. ''Kita percaya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh akan berjiwa besar menerima pelantikan Ahmad dan akan bersama-sama memperkukuhkan UMNO Terengganu,'' kata pemimpin UMNO tersebut. Di Pulau Pinang pula, UMNO boleh dikatakan mendapat gandingan yang mantap berdasarkan kombinasi antara Zainal Abidin dan Musa. Kedua-dua mereka adalah 'pejuang' yang selama ini sentiasa mengetengahkan pelbagai isu melibatkan kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang. Gabungan mereka sudah pastilah akan membolehkan UMNO mengatur gerak kerja yang lebih jitu dengan kerjasama MCA, MIC dan Gerakan bagi merampas kembali negeri itu daripada pakatan pembangkang. Di Perlis pula, janganlah terlalu ramai cuba menjadi 'pencucuk sate'. Mohd.Isa dan Shahidan harus diberi peluang untuk mewujudkan kerjasama erat bagi memantapkan UMNO negeri itu. Kedua-dua mereka perlu faham sudah ada khabar bahawa pakatan pembangkang menjadikan Perlis sebagai sasaran mereka seterusnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Apa gunanya jika mereka bertelingkah sesama sendiri yang kesudahannya 'yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu'. Namun ramai yang percaya, Mohd.Isa dan Shahidan adalah pemimpin UMNO tulen, demi kepentingan parti, mereka pasti boleh berjiwa besar untuk bersatu. Bagi pengerusi dan timbalan pengerusi perhubungan di negeri-negeri lain pula, mereka janganlah berada dalam zon selesa. Cabaran tahun 2011 dalam memastikan kejayaan BN dalam pilihan raya cukup getir. Atas sebab itulah kepercayaan yang diberikan oleh Najib dan Muhyiddin kepada mereka perlu dihargai serta dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Misi utama kesemua pengerusi perhubungan UMNO ialah memastikan BN terus meraih sokongan rakyat. Semua itu hanya boleh dilakukan jika mereka menentukan UMNO pimpinan mereka berada dalam keadaan mantap dan segala proses transformasi yang dilakukan oleh kerajaan dan parti melalui kepimpinan Najib disampaikan serta difahami oleh rakyat dan ahli-ahli di akar umbi. Berdasarkan hakikat itu, jadikanlah pengumuman barisan kepimpinan UMNO negeri ini sebagai pembuka tirai ke arah mengorak langkah untuk memastikan kejayaan parti itu dan BN, bukan semata-mata kerana kuasa tetapi demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat |
Tuesday, December 28, 2010
RASIONAL PERLANTIKAN BARU KETUA UMNO NEGERI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment