Thursday, April 21, 2011

PAS MANGSA DAP ATAU PKR ?

Wajarkah Hadi disalahkan?


Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Wan Azizah Wan Ismail serta pemimpin pembangkang lain sewaktu program solat hajat dan pidato khas menangkis fitnah jahat anjuran parti pembangkang di Stadium Malawati, Shah Alam pada 29 Mac lalu.


BERIKUTAN kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh Pas dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini, kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden parti itu mula menjadi perbincangan.
Ada penganalisis politik menganggap Abdul Hadi kini adalah liabiliti kepada Pas manakala di dalam Pas sendiri ada bahagian yang mencadangkan agar beliau sekadar menjadi Timbalan Mursyidul Am Pas sahaja.
Pelbagai faktor mereka keluarkan bagi mengukuhkan hujah bahawa Abdul Hadi yang mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Allahyarham Datuk Fadzil Noor perlu berundur.
Abdul Hadi pada tafsiran mereka sudah tidak layak lagi menjadi orang nombor satu dalam Pas berikutan prestasi buruk parti itu sekarang.
Begitulah tekanan yang diberikan ke atas bekas Menteri Besar Terengganu tersebut apabila Pas tewas di lima kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini.
Malahan Abdul Hadi juga dipersalahkan dalam beberapa isu melibatkan Pas dan pihak pembangkang termasuklah kegagalan mereka memenuhi impian 16 September 2008 iaitu perancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang.
Mungkin sebagai Presiden, Abdul Hadi perlu mengambil tanggungjawab terhadap apa juga yang berlaku dalam parti berkenaan, tetapi senario di dalam Pas sejak parti itu menjalinkan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP juga harus diambil kira.
Pas tidak akan berada pada kedudukan sekarang jika mereka tidak menjalinkan kerjasama berkenaan yang dilihat tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada parti tersebut.
Ia kerana bukan sahaja orang luar malahan ahli-ahli Pas sendiri sebahagian besarnya berpendapat parti itu lebih banyak rugi daripada untung.
Pas dipergunakan habis-habisan untuk membantu DAP dan PKR mencapai kejayaan termasuk di Sarawak tetapi mereka sendiri tewas. Kesudahannya yang menikmati keuntungan politik ialah PKR dan DAP, manakala Pas pula terus meratapi kekalahan demi kekalahan.
Semua itu terjadi kerana Pas kini dianggap parti paling tidak konsisten dalam perjuangannya dan dilihat lebih mengutamakan kepentingan politik.
Tetapi adakah Abdul Hadi seorang sahaja harus dipersalahkan? Bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin yang dilihat begitu konsisten mempertahankan kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan.
Jangan kita lupa Abdul Hadi merupakan orang yang paling teruk dihentam oleh pemimpin-pemimpin Pas apabila beliau mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO.
Berikutan itu, walaupun cadangan berkenaan demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam tetapi ia terpaksa dilupakan kerana penentangan yang diterima. Begitu juga apabila Abdul Hadi menasihatkan pembangkang supaya tidak begitu berangan-angan dalam mencapai impian 16 September.
Ketika itu Abdul Hadi memahami bahawa tindakan menubuhkan kerajaan daripada pintu belakang melalui perbuatan Ahli Parlimen melompat parti adalah tidak betul dan perlu dihalang.
Tetapi pendirian Presiden Pas tersebut telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pemimpin tertentu dalam parti itu terutamanya mereka yang termimpi-mimpikan jawatan Kabinet yang dijanjikan oleh Anwar.
Senario ini menunjukkan betapa hebatnya tekanan dalaman yang dihadapi oleh Abdul Hadi dalam menyatakan pendiriannya sebagai Presiden.
Justeru adalah tidak wajar jika apabila sesuatu yang buruk melanda Pas, beliau seorang sahaja hendak dipersalahkan.
Kita perlu faham Pas kini tidak seperti dulu, parti itu sudah banyak diresapi dengan budaya dan corak politik luar berikutan kerjasama dengan PKR dan DAP.
Terdapat pemimpin-pemimpin tertentu di dalam Pas dilihat lebih menghormati dan menyanjungi Anwar berbanding Abdul Hadi.
Malahan ada antara mereka sudah terpengaruh dengan politik jalanan dan kebencian yang diterapkan oleh PKR.
Pemimpin-pemimpin tersebut sudah tidak lihat lagi asas perjuangan Pas sebaliknya lebih melihat bagaimana hendak berkuasa melalui kerjasama dengan PKR, sebab itulah Pas semakin mengorbankan perjuangan Islamnya.
Kesilapan Abdul Hadi dalam memimpin Pas hanyalah satu iaitu beliau dilihat tidak tegas untuk mempertahankan pendirian atau keputusannya.
Berikutan itu ia memberikan kesempatan kepada kelompok-kelompok tertentu di dalam parti berkenaan untuk melaksanakan agenda politik mereka yang berteraskan kepada berkongsi mimpi bersama Anwar, PKR dan DAP ke Putrajaya.
Angan-angan tersebut telah merosakkan Pas dari dalam dan di luar pula, Pas semakin dipandang serong serta dilihat hanya mengutamakan kuasa politik semata-mata.
Oleh itu apabila pihak yang mengatakan bahawa Abdul Hadi adalah liabiliti Pas, ia satu hujah yang boleh dipersoalkan kerana di dalam Pas bukan hanya beliau sahaja harus dilihat liabiliti.
Bagaimana pula dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilihat sering sahaja mengeluarkan kenyataan kontroversi sehingga bukan sahaja mengelirukan ahli Pas tetapi juga umat Islam.
Kenapa Nik Abdul Aziz tidak mahu dianggap liabiliti? Apakah kerana beliau sering sahaja membuat kenyataan yang dilihat begitu membela apa juga tindakan pemimpin pembangkang lain?
Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin Pas yang sudah dikaburi mata mereka dengan mainan politik Anwar.
Pemimpin-pemimpin inilah sepatutnya dianggap liabiliti kerana menjadi pembela membuta tuli dan menganggap apa sahaja pembangkang lakukan betul sehingga menjejaskan imej mereka di mata rakyat.
Turut boleh dianggap liabiliti kepada Pas ialah pemimpin-pemimpin parti itu yang akan memaki hamun UMNO dan kerajaan sesuka hati apabila berceramah. Perbuatan mereka mencemarkan imej Pas yang dilihat sebuah parti Islam.
Apa pun terserahlah kepada ahli-ahli Pas untuk menilai segala tafsiran dan pandangan pihak tertentu kepada Abdul Hadi.
Tetapi apa yang penting mereka sendiri perlu memikirkan wajarkah Abdul Hadi seorang sahaja yang harus dipersalahkan berikutan kedudukan Pas sekarang.
Mereka tidak harus terpedaya dengan 'mainan politik' secara halus yang mula bergerak menjelang pemilihan parti pada Jun ini.
Di dalam Pas, masih ramai yang bercita-cita tinggi. Tidak kira daripada golongan ulama mahupun profesional, politik tetap politik, selagi bernama orang politik maka setiap tindak tanduk mereka pasti berteraskan naluri serta pemikiran politik.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]