Wednesday, March 25, 2009

Najib umum kabinet baru April ini






Bakal presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para perwakilan bahawa keputusan yang bakal mereka buat dalam perhimpunan agung dan pemilihan Umno kali ini, akan menentukan masa depan Umno - sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.

"Hakikatnya, Umno masih disayangi oleh orang-orang Melayu. Tidak ada sesiapa dapat menafikan hal ini. Sebab itulah, mereka mengundi untuk mengekalkan Umno sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat, walaupun dinafikan majoriti dua pertiga.

najib and umno 151008"Atas sebab itu, Umno wajib mengambil iktibar yang betul dari mesej yang disampaikan oleh orang Melayu. Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar pula menjadi benci dan terus tidak peduli.

"Sebagai orang Islam, dalam menghadapi kemelut dan pelbagai cabaran, eloklah kita kembali merujuk kepada ajaran agama," tegas Najib sewaktu merasmikan secara serentak perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC malam ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa tugas para perwakilan tahun ini, adalah yang paling berat dalam sejarah Umno.

"Berbeza dengan tahun-tahun pemilihan lalu, yang dipertaruhkan kali ini bukan hanya sejumlah jawatan. Bukan pula sekadar kedudukan atau status bagi mana-mana individu. Yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival Umno itu sendiri.

"Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah," katanya.

Menurut Najib lagi, perhimpunan kali ini adalah yang julung kali diadakan selepas pilihanraya umum Ke-12 pada 8 Mac tahun lalu, yang menyaksi keputusan pilihanraya terburuk pernah dialami oleh Umno.

"Buat pertama kali kita kehilangan majoriti dua pertiga semenjak tertubuhnya Barisan Nasional lebih tiga dekad yang lampau. Walau pahit bak hempedu, walau kelat bak ketereh, itu adalah realiti yang perlu kita terima.

"Mahu tidak mahu kita terpaksa mengakui bahawa ia berkait rapat dengan beberapa kelemahan yang sedang menular dalam parti. Pada persepsi ramai orang, hala tuju Umno telah menyimpang jauh dari perjuangan asal penubuhan parti. Ternyata, ada sesuatu telah menyebabkan sejumlah besar rakyat yang dahulunya bersama kini menukar haluan mereka," tegasnya.

Ubah proses pemilihan

Sehubungan itu Najib menegaskan bahawa cara Umno menentukan pemimpin, termasuk sistem kuota mesti diubah.

"Kita perlu memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar. Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi perhimpunan agung Umno hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian. Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli Umno di peringkat akar umbi di seluruh negara.

"Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan Umno dari aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan Umno dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat. Inilah yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa.

"Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi. Apabila rakyat sudah berpaut dengan kita, barulah Umno akan kembali menjadi perkasa. Ini boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli Umno menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat.

"Setiap masalah rakyat yang berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi, akan menjadi suntikan semangat untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan," tegasnya.

Dalam ucapannya yang bertemakan "Menakhoda Zaman" itu Najib turut menyentuh tentang politik wang yang jika dibiarkan berterusan, boleh menghancurkan parti itu, soal bahasa dan kedaulatan raja-raja.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]