Dari Meja Ketua Pemuda UMNO Dalam tulisan blog saya yang lepas dan juga beberapa kenyataan dan ucapan saya sewaktu berkempen di Permatang Pasir, saya telah mengemukakan tiga soalan penting kepada Pakatan Pembangkang untuk mendapat jawapan dari pihak mereka. Soalan-soalan ini berkisar beberapa isu pokok pada Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Permatang Pasir yang tidak disentuh langsung oleh pihak pembangkang yang cuba mengalih pandangan umum kepada serangan peribadi mereka terhadap calon Barisan Nasional (BN), saudara Rohaizat Othman. Jelas selepas hampir dua hari soalan-soalan saya dikemukakan, Pakatan Pembangkang masih gagal memberi jawapan yang memuaskan. Ini membuktikan bahawa mereka sememangnya tiada penjelasan yang baik bagi isu-isu yang telah saya bangkitkan, sekaligus menghantar satu isyarat bahawa pengundi Permatang Pasir wajar menolak calon Pas oleh sebab kegagalan pembangkang untuk menjalankan kempen berteraskan isu-isu penting dalam pilihanraya ini. Soalan-soalan yang saya telah bangkitkan adalah seperti berikut: 1) Apa penjelasan pembangkang terhadap kewujudan pengundi-pengundi "hantu" atau "setinggan" di kawasan Permatang Pasir? Pemuda UMNO telah mengemukakan bukti kepada pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengenai kewujudan beberapa pengundi yang didaftarkan di bawah alamat dimana tuan punya rumah tidak pun mengenali mereka. Saya juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa fenomena pengundi "hantu" atau "setinggan" ini adalah hasil persekongkolan beberapa ejen pembangkang dalam SPR membantu parti-parti pembangkang bagi menjalankan operasi pemindahan pengundi untuk mengukuhkan beberapa kawasan yang sebelum ini dilihat sebagai kawasan tidak selamat untuk pihak pembangkang. Di sini, saya menolak desakan pembangkang bahawa Pemuda UMNO harus menuntut agar pengurusan tertinggi SPR meletak jawatan. Malah Pemuda UMNO yakin dengan profesionalisme pengurusan tertinggi SPR. Sebaliknya, yang kami syaki adalah beberapa pegawai di peringkat operasi yang telah membantu pembangkang dalam operasi pemindahan pengundi. Sehingga hari ini, pembangkang tidak memberi jawapan yang jelas mengenai dakwaan saya tentang operasi pemindahan pengundi yang dikendalikan oleh pembangkang. 2) Adakah YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, akan melantik calon Pas sebagai Exco Kerajaan Negeri sekiranya beliau menang di PRK DUN Permatang Pasir? Kerajaan Negeri Pulau Pinang gelarkan dirinya sebagai Kerajaan "Pakatan Rakyat". Malangnya, wakil rakyat tunggal dari Pas dulu, Allahyarham Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman, tidak dilantik selaku Exco. Ini membuktikan bahawa DAP langsung tidak menghormati Pas di Pulau Pinang. Mana mungkin rakyat mempercayai Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah Kerajaan "Pakatan Rakyat" apabila Pas langsung tidak diberi tempat dalam pentadbiran negeri? Sampai hari ini YAB Lim tidak memberi jaminan bahawa calon Pas akan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri, sungguhpun isu ini telah saya bangkitkan berkali-kali. Maka tidak keterlaluan rasanya andaian saya bahawa YAB Lim sememangnya tidak akan melantik calon Pas sebagai Exco. Adakah ini cara DAP menghargai pengundi di Permatang Pasir? Jawapan yang diberi oleh YAB Lim apabila diaju soalan ini dari pihak media amat memalukan dan mendedahkan pemikiran cetek beliau. Daripada memberi jawapan yang jelas, beliau menggunakan hujah basi bahawa saya tidak layak bertanya soalan ini sebab saya juga tidak dilantik dalam Kabinet Persekutuan walaupun dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO. Hujah yang sama ini juga digunakan oleh YB "Jeff" Ooi dan YB Mahfuz Omar. Tetapi bagi mereka yang berfikir secara rasional, hujah ini amat lemah, tidak relevan dan tidak logik. Pelantikan calon/wakil rakyat PAS sebagai Exco Kerajaan Negeri adalah bagi menghormati institusi atau parti PAS dalam "Pakatan Rakyat". Ini jauh berbeza dengan saya sebagai individu. Pemuda UMNO sebagai institusi dihargai oleh YAB Perdana Menteri melalui lantikan naib saya, YB Datuk Razali Ibrahim, sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Tambahan lagi, isu untuk pilihanraya kecil ini bukan isu pelantikan Kabinet Persekutuan. Isunya, adakah calon Pas akan dilantik sebagai Exco sekiranya menang? Jawapan YAB Lim adalah tidak. Maka mengapa perlu pengundi Permatang Pasir menyokong calon Pas, sekiranya permintaan yang munasabah ini pun tidak dapat dilaksanakan oleh Kerajaan "Pakatan Rakyat" Pulau Pinang? 3) Apakah perancangan pembangkang untuk kawasan Permatang Pasir? BN sudahpun mengetengahkan satu janji dan visi bahawa Permatang Pasir akan menjadi "anak emas" kepada Kerajaan Persekutuan sekiranya Rohaizat Othman dipilih sebagai ADUN pada 25hb Ogos. Ini bermakna visi BN untuk kawasan Permatang Pasir ini mendapat sokongan penuh dari Kerajaan Persekutuan yang akan menambah kemudahan-kemudahan asas, menjana pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan disamping memperjuangkan pembangunan sosial dan spiritual. Ini janji kami dari BN yang telah dibuat oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri, sendiri. Sekiranya Pzx menang, apa visi pembangkang? Jawapannya: Langsung tiada. Sebaliknya, apa yang ditekankan adalah serangan peribadi terhadap calon BN. Tapi soal pokok - yakni perubahan, pembangunan dan kebajikan penduduk Permatang Pasir tidak disentuh, menunjukkan bahawa pembangkang sebenarnya amat ketandusan idea dan visi untuk membantu rakyat di sini. Kalau undi BN, jadi anak emas. Kalau undi Pas, jadi anak tiri DAP - jawatan Exco pun tak dapat. Tepuk dada, tanya selera. |
Wednesday, August 26, 2009
Pembangkang Gagal Jawab Tiga Isu Di Permatang Pasir
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment