UJAR Ibnu Khaldun secara fitrahnya setiap peradaban bangsa akan melalui tiga zaman atau peringkat; kemunduran, kemewahan dan kehancuran. Peringkat atau zaman kemunduran merupakan proses perjuangan mempertingkatkan keadaan hidup yang mundur, daif atau terjajah kepada keadaan yang merdeka, lebih aman, selesa, maju dan seimbang.
Apabila peringkat yang seimbang telah dapat dicapai, maka warga bangsa akan meneruskan usaha untuk mencapai tahap yang lebih baik dan mewah. Peringkat yang stabil dan proses mencapai kehidupan lebih terkehadapan adalah era warga bangsa begitu menghargai keadaan sebelumnya dan sangat bersyukur pada apa yang mereka miliki di peringkat ini.
Kesempitan dari sudut kemudahan asas atau yang bersifat daruriyyah, apatah lagi 'jauh panggang dari api' yang berbentuk hajiyat akan menerbitkan rasa syukur dan penghargaan bila keadaan bertukar kepada kehidupan yang lebih selesa.
Peringkat yang dilalui oleh peradaban satu-satu bangsa ada kaitannya dengan semangat patriotisme. Perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air akan terserlah dan terzahir apabila keadaan negara memerlukan pertahanan, perlindungan serta kesejahteraan daripada ancaman dan tentangan dari luar atau secara mudahnya ia membawa maksud sebagai penentangan terhadap penjajahan.
Dapat dilihat siapa musuh negara secara zahir dan hakiki atau pembelot dari kalangan warga bangsa sendiri seperti Sang Rajuna Tapa. Pada ketika ini patriotisme tertanam jauh ke dalam dasar hati, dibawa selama-lamanya sehingga jasad dikandung tanah.
Pada zaman ini juga setiap warga bangsa merupakan patriot kerana tidak rela melihat walau seinci ibu pertiwi diredah, dijajah, dieksploitasi demi keuntungan penjajah. Apatah lagi daulat negara dicincang dan dinafi dengan penuh kehinaan tanpa sebarang harga.
Setiap patriotik akan mewariskan sejarah kepada keturunannya dan generasi selepas mereka. Betapa bumi merdeka ini harus dipertahankan kedaulatannya. Tidak ada siapa yang akan menjaga untuk kita, melainkan diri sendiri.
Kesinambungan kemerdekaan harus berlangsung sampai bila-bila. Namun, sejarah kemudiannya perlahan-lahan menjadi 'novel tradisi' kepada generasi yang lebih terkemudian. Tidak lagi menjadi kunci kepada jati diri warga bangsa.
Kelunturan patriotisme dapat dilihat pada tingkah laku, pendirian dan cara bertindak generasi muda. Mereka yang berjuang dan berhempas-pulas menegakkan tiang seri jalur gemilang hanya mampu menggeleng dan menitiskan air mata bila melihat belia pada hari ini tidak mempunyai sikap yang prihatin untuk terus mempertahankan kedaulatan negara.
Ada juga kalangan yang keliru yang mengatakan hubb al-watan itu merupakan 'asabiyah, tetapi sebenarnya Baginda Rasulullah menegaskan bahawa 'asabiyah berlaku bila kita tetap mempertahankan ahli keluarga atau kaum kerabat biarpun dia telah melakukan kesalahan. Malah para hukama' mengatakan mencintai tanah air itu sebahagian daripada iman.
Penyerlahan patriotisme oleh seorang warga bangsa sudah tentu tidak sama bentuknya sebagaimana ketika berlakunya penjajahan. Banyak orang telah cuba menterjemah dan menjelaskan bentuk-bentuk semangat perjuangan dalam suasana negara yang telah merdeka. Penjajahan pemikiran dan penjajahan ekonomi antara perjuangan yang masih belum selesai.
Menyertai konsep patriotisme yang kini semakin abstrak dan subjektif sifatnya, berdasarkan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara yang lima, pada hemat penulis; seseorang itu telah luntur atau hilang semangat patriotiknya bila ia tidak menghormati undang-undang negara.
Sekecil mana pun peruntukan yang telah digubal, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang untuk mematuhinya. Undang-undang yang berdaulat hanya dapat digubal apabila sesebuah negara mencapai kemerdekaan.
Lebih kurang satu dekad Perlembagaan Persekutuan melalui proses penggubalan sebelum ia benar-benar dapat berfungsi menjadi undang-undang tubuh. Daripadanya, maka dibentuk dan digubal undang-undang lain supaya Malaysia memiliki undang-undang yang sempurna dan dapat memelihara ketenteraman dan kesejahteraan awam.
Tidak mematuhi undang-undang boleh diibarat seperti melanggar dinding pertahanan negara; juga seakan-akan satu usaha membuat kacau-bilau terhadap keadaan yang asalnya aman. Itulah sebabnya apabila berlaku perlanggaran undang-undang dan sabit kesalahan, seseorang pesalah perlu membayar harganya dengan menerima hukuman sebagaimana yang telah diperuntukkan.
Namun jika hukuman itu diterima dengan penuh keinsafan, ia adalah petanda bahawa berlaku proses pendidikan daripada kesilapan yang telah dilakukan dan undang-undang berjaya mengajar dan membentuk kedegilan manusia kepada memiliki sikap yang lebih baik dan bernilai untuk negaranya.
Bukanlah sikap yang patriotik juga bagi seseorang yang memiliki kemahiran tinggi tetapi cenderung untuk membuat pilihan yang lebih memberi keuntungan peribadi kepada dirinya sedangkan pada masa yang sama negara amat memerlukan kemahiran tinggi tersebut.
Contoh yang boleh dikemukakan di sini adalah seperti kepakaran dalam bidang perubatan. Sasaran nisbah yang diletakkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi setiap seorang doktor dengan jumlah penduduk adalah 1:600. Pada tahun 1957, nisbah seorang doktor dengan penduduk di Tanah Melayu adalah 1: 8,229.
Nisbah ini mengalami perkembangan yang sangat memberangsangkan dengan pada tahun 2007 adalah 1:1,145, dan target yang mungkin dapat dicapai oleh Malaysia pada tahun 2013 adalah 1:1,600, yang sebenarnya masih sangat jauh dengan piawaian yang diletakkan oleh pertubuhan antarabangsa tersebut.
Lebih malang lagi apabila terdapat dari kalangan rakyat negara ini yang sedar tentang keperluan negara tetapi tidak berasa apa-apa untuk tidak menghiraukannya.
Seakan-akan suatu fitrah bagi setiap tamadun atau peradaban yang akan bertemu dengan zaman kejatuhan dan kemalapan selepas menikmati zaman kemewahan dan kesempurnaan.
Namun kata Malek bin Nabi walaupun era tersebut tidak dapat dielak namun tidak seharusnya ia bermaksud kehancuran dan keruntuhan yang langsung tidak mampu memberi sedikit pun nafas. Walaupun secara relatifnya ia jatuh atau jauh sangat rendah kedudukannya berbanding dalam zaman kegemilangannya, tetapi ia seharusnya suatu keadaan yang masih mampu ditampan oleh kekuatan jati diri warga bangsa.
Menurut beliau lagi faktor pemikiran yang kukuh dan pendidikan yang berteraskan kepada akidah yang ampuh mampu mengekang keruntuhan yang bersifat mutlak.
Oleh SITI SHAMSIAH MD SUPI
No comments:
Post a Comment