Tanpa membuat perhitungan politik yang betul, pemimpin Pas begitu yakin bahawa sekarang adalah waktu terbaik untuk mereka mengambil alih tempat UMNO sebagai parti utama orang Melayu. Pas begitu percaya melalui kerjasama dengan DAP dan PKR, mereka akan dihargai dan diberikan tempat utama dalam pakatan pembangkang. Kalau itulah impian Pas, tidak keterlaluan jika dikatakan Pas hanyalah bermimpi di siang hari.
Ini kerana DAP dan PKR tidak akan membuka laluan mudah untuk Pas menjadi parti utama. Selain itu, kalau Pas mahu kekal mempertahankan dasar Islamnya, kenapa perlu tergesa-gesa hendak mewujudkan sebuah sayap yang dikhaskan untuk bukan Islam yang menyokong parti itu.
Bolehkah dasar Islam tersebut diperkembangkan apabila kumpulan penyokong berkenaan semakin berkuasa di dalam Pas nanti?
Sebenarnya, usaha untuk menyatukan UMNO dan Pas tetap tidak akan berjaya, bukan kerana kesemua pemimpin dan ahli Pas menolak usaha murni tersebut tetapi disebabkan segelintir sikap pemimpin Pas.
Mereka ini hanya mengaku dirinya Islam tetapi tidak berakhlak sebagai seorang Islam termasuklah memaki hamun dan mencerca serta menuduh ulama yang tidak menyebelahi mereka dengan pelbagai gelaran.
Pemimpin seumpama ini sudah menerapkan politik kebencian, bukannya politik tidak sehaluan. Ertinya, mereka mahu UMNO dibenci sampai ke mati tanpa mempedulikan apa pun kesannya kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam.
Bagi mereka, tidak kira siapapun, asalkan orang itu menyebelahi UMNO maka dia harus dimusuhi. Inilah puak-puak yang menjadi batu penghalang terbesar kepada perpaduan umat Islam di negara ini.
Atas sebab itulah, apa pun alasan dan usaha yang cuba dilakukan bagi menyatukan dua parti Melayu tersebut, ada sahaja hujah dangkal dan jumud yang dikeluarkan oleh puak berkenaan.
Namun begitu sebagai umat Islam kita tetap mendoakan agar Allah SWT membuka pintu hati pemimpin-pemimpin seumpama ini agar memahami betapa pentingnya UMNO dan Pas bersatu hati.
Pemimpin-pemimpin Pas perlu berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam soal berkenaan. Janganlah melihat atau terlalu gelojoh untuk merebut kuasa politik bersama-sama PKR dan DAP.
UMNO bersikap terbuka dalam soal kerjasama itu bukan kerana politik tetapi demi masa depan orang Melayu dan umat Islam. Ia disebabkan, apa pun berlaku UMNO tidak perlu 'menyembah' Pas untuk mencari kuasa politik tetapi Pas mungkin terpaksa 'melutut' kepada PKR dan DAP bagi tujuan berkenaan.
No comments:
Post a Comment