Tuesday, July 20, 2010

PERMUSUHAN PAS - UMNO SAMPAI BILA?

Berpusat di Gunung Semanggol, Padang Rengas, Perak, kumpulan radikal agama dan PKMM menubuhkan beberapa organisasi ekonomi, pelajaran dan agama untuk memberi alternatif kepada UMNO. Kepada golongan ulama radikal ini, UMNO hanya memperjuangkan kepentingan pembesar dan Raja-Raja Melayu tanpa membela nasib rakyat bawahan yang masih miskin, kurang pendidikan dan terbiar.

Walaupun ini tidaklah begitu tepat kerana UMNO juga mempunyai program-program untuk membaiki pendidikan, ekonomi, perniagaan dan soal kebajikan yang lain, tetapi bagi golongan radikal ini adalah pentas politik alternatif untuk menentang UMNO. Penubuhan Hizbul Muslimin sebagai sebuah parti politik Islam pada Mac 1948, memang merupakan tandingan terbuka kepada UMNO. Perpecahan Melayu kepada fahaman kanan, kiri/ radikal serta ulama menguntungkan Parti Komunis Malaya. Dengan begitu yakin ia melancarkan pemberontakan kerana kelemahan perpaduan orang Melayu.

Pengharaman parti-parti radikal Melayu dan Parti Komunis Malaya pada Julai 1948 dibawah Undang-Undang Darurat, telah meninggalkan parti UMNO sebagai parti tunggal dan penting untuk orang Melayu. UMNO cuba menyatukan semula orang Melayu dengan membuka pintunya kepada bekas-bekas ahli API, PKMM, AWAS, BATAS, sebagai ahli UMNO. Kemasukan mereka menyebabkan slogan Hidup Melayu ditukar kepada Merdeka pada awal 1951 sebagai tanda perubahan matlamat perjuangan UMNO.

Keduanya, UMNO menubuhkan Perikatan Pemuda UMNO pada 1949 dengan tujuan menyatukan semua tenaga pemuda Melayu ke dalam UMNO. Ini juga melahirkan satu arena politik baru bagi bekas-bekas penyokong golongan radikal/kiri.Ketiganya, menyerap semua tenaga ulama, terutama yang beraliran radikal ke dalam UMNO. Persidangan ulama pertama dan kedua diadakan di kuala Lumpur dan Muar pada tahun 1950 dan 1951. Dalam persidangan di Kuala Lumpur, Persatuan Ulama Malaya ditubuhkan bagi memberi cadangan untuk kemajuan masyarakat Melayu.

Ini termasuklah soal penyelarasan pentadbiran Islam, penubuhan Universiti Islam dan lain-lain lagi.UMNO dengan itu telah menjadi parti yang sempurna sebagai tonggak politik Melayu. Namun, perbezaan idea dan permainan politik British, bukan Melayu dan rebutan kuasa pemimpin memecahkan UMNO kepada tiga parti besar. Datuk Onn meninggalkan UMNO untuk menubuhkan IMP. Persatuan Ulama Malaya pimpinan Ahmad Fuad membawa diri sebagai sebuah organisasi politik ulama dan dalam Mesyuarat September 1951 di Seberang Perai, persatuan itu menjadi Parti Islam Se-Malaya (Pas).

IMP kemudian menjadi Parti Negara, yang menjadi lemah dengan kematian Dato Onn pada 1962. Namun, Pas kekal sebagai parti saingan UMNO hingga kini.Perpecahan memang tidak akan menguntungkan survival bangsa Melayu terutama dalam masyarakat majmuk yang menggunakan sistem demokrasi dan Parlimen sebagai alat pentadbiran dan politiknya.

Keterbukaan yang tidak bertempat, perebutan kuasa dan kelalaian kepada perjuangan utama, tanpa mengambil kira kehidupan generasi Melayu akan datang dan perpecahan yang berlarutan akan menjadi senjata makan tuan kepada orang Melayu. Semangat bulan Mac 1946 patut menjadi indeks politik masyarakat Melayu Malaysia. Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.”Wallahuallam.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]