Sunday, August 15, 2010

RAHSIA BANGSA MELAYU - SIRI 3.

Alter Terahsia Bangsa Melayu III


Rahsia yang terpendam beribu tahun tentang satu bangsa pengembara yang mencari 'Tanah yang Dijanjikan' semakin lama semakin terbongkar dengan penemuan pelbagai artifak yang penuh misteri dan mengundang pertanyaan seperti penemuan keris di sebuah kuil purba di Okinawa Jepun,kendi purba yang sama di Vietnam,Kemboja dan Pahang,penemuan kota purba yang dinamakan Jawi/Jawa di Jordan dan juga penemuan keris purba di Rusia selain gendang Dong Son dan Kapak Tua Asia Tengah yang popular itu.APA MAKSUD KEPADA SEMUA MISTERI INI?

Ketika Ptolemy,seorang ahli geografi Yunani melukis peta semenanjung Tanah Melayu,beliau telah menamakan semenanjung ini 'Golden Chersonese' yang bermaksud Semenanjung Emas ketika manuskrip-manuskrip India Purba menamakan tanah ini sebagai 'Suvarnabhumi' iaitu Tanah Emas.Sebuah manuskrip Yahudi Purba menceritakan sumber bekalan emas untuk membina negarakota Kerajaan Nabi Sulaiman diambil dari sebuah kerajaan purba di Timur Jauh yang dinamakan Ophir.Kajian dari manuskrip kuno Firaun Mesir dan hieroglif di dinding-dinding kuil telah mendapati bahan pengawet,kapur barus dan rempah-rempah untuk upacara ritual mengawet mayat diimport dari sebuah kawasan di sebelah Nusantara ini.Apa yang terjadi di Nusantara beribu tahun yang silam?Benarkah ketika Firaun-Firaun Mesir sedang membina Piramid,bangsa yang tinggal di Nusantara masih bercawat dan melukis gambar monyet di gua-gua? Nampaknya perdagangan rempah telah berjalan beribu tahun dahulu malah bangsa misteri di Nusantara telah mampu mengeksport emas dikala kerajaan lain hanya mampu memperdagangkan kendi-kendi,gendang dan seramik purba.ADAKAH SEJARAH YANG KITA BACA SELAMA INI BETUL-BETUL TEPAT?

Siri Alter Terahsia Bangsa Melayu meneruskan pengembaraannya menjejaki wangian yang hilang di Timur Jauh...


Selamat membaca




-M.O



Wangian Yang Hilang Di Timur Jauh



Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua´alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

(Usman Awang)


Di dalam koleksi alat-alat kebesaran Negeri Perak,terdapat sebilah pedang misteri.Pedang ini dinamakan Cura Simanjakini.Tiada yang istimewa tentang pedang ini.Ia tiada membawa kekayaan atau keajaiban kepada pemunyanya.Ia hanyalah pedang biasa yang dibuat oleh manusia biasa.Tetapi apa yang ingin diperkatakan di sini,pedang ini membawa 1001 cerita tentang satu teka-teki yang akan membuka satu pintu rahsia jika ia diselesaikan.

Pedang ini adalah kunci kepada rahsia bangsa misteri.

Kunci Rahsia-rahsia.

Tetapi kunci ini ada kembarnya.

Dapatkan kembarnya dan salah satu pintu rahsia akan membawa ke lorong lainnya.

Lorong gelap yang dihujungnya cahaya.

Tetapi di manakah kita mahu mencari kembar kepada kunci rahsia ini?Alangkah baiknya jika kita dapat menaiki mesin masa dan kembali ke zaman Wan Empuk dan Wan Malini pada suatu pagi yang aneh ketika kedua perawan misteri ini sedang menuai padi.Ketika tiga putera raja dikatakan muncul tiba-tiba.Alangkah baiknya jika kita dapat menyaksikan dialog di antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun.Atau ketika Sumpah Palapa diucapkan oleh Patih Gajah Mada.Mungkin di situ kita dapat mengutip kembar kepada kunci rahsia ini.Dan dapat mencari jejak-jejak yang ditinggalkan oleh bangsa Melayu kembali ke belakang sebelum mereka sampai ke 'Promised Land' ini.Alangkah baiknya jika kita dapat menyusuri langkah-langkah bangsa Melayu balik ke tempat kelahiran Mala 'Bapa Melayu' dilahirkan.Ataupun menjejak misteri ini di Lautan Hindi ketika bangsa ini tabah menghadapi ganas ombak dan sedang merenung bintang-bintang di waktu malam bagi memastikan 'Promised Land' yang dirindui tetap dalam haluan.

Kita terlampau pasrah dengan sejarah yang ada.Begitu lama bangsa ini dijajah sehingga kita buta jejak kita sendiri.

Baiklah,di sini terdapat dua peti menyimpan rahsia.Jangan bimbang,ia tidak berkunci.Kita boleh membuka peti-peti ini tetapi hanya satu yang menyimpan kembar kunci rahsia.Jika kita dapat mencantum kembar kunci ini,kita akan dapat membuka pintu rahsia itu.Peti yang satu lagi juga mengandungi kunci,yang akan membuka pintu yang lain...

Kita mulakan dengan membuka peti pertama...




SEJARAH MELAYU (MALAY ANNALS)

Kitab paling berharga yang diberi nama Sulalatus Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu ini diketahui dikarang oleh Tun Sri Lanang.Pelbagai sarjana barat tertarik untuk mengkaji karya agung ini seperti Winsted dan Shellebear.Namun hasil kajian terkini mendapati kerja-kerja Tun Sri Lanang sebahagian besarnya berdasarkan hasil karya penulis lain yang lebih lama dan juga manuskrip-manuskrip kuno lainnya.Sejarah Melayu mengandungi pelbagai kisah yang menerangkan pelbagai konflik antara kerajaan-kerajaan Melayu Purba dan juga ada diterangkan mengenai Empayar Melaka.Menurut pengenalan Sejarah Melayu naskah Shellabear, Yang diPertuan Raja di Hilir Sultan Abdullah Mu'ayat Syah ibni'l Sultan Abdul Jalil Syah telah mengutuskan Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad@Mahmud (Tun Sri Lanang) pada hari Khamis, 12 Rabiul Awal 1021 bersamaan 13 Mei 1612 agar menyunting salinan Sejarah Melayu yang dibawa oleh Orang Kaya Sogoh dari Goa/Gowa.

Di dalam Sejarah Melayu terdapat satu petikan popular yang mengaitkan keturunan raja-raja Melayu adalah berasal dari Iskandar Zulkarnain.Iskandar Zulkarnain di sini kerap terkeliru dengan Alexander The Great dari Macedonia.Sebenarnya tiada siapa pun yang memanggil Alexander The Great sebagai Iskandar Zulkarnain kecuali sesetengah orang yang keliru.Terdapat dua teka-teki di sini.Teka-teki ini muncul apabila diketahui bahawa Tun Sri Lanang hanyalah seorang editor yang mengkompilasi,menyunting serta menyusun manuskrip-manuskrip purba yang telah ada lama sebelum itu.

"... mengutuskan Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad@Mahmud (Tun Sri Lanang) pada hari Khamis, 12 Rabiul Awal 1021 bersamaan 13 Mei 1612 agar menyunting salinan Sejarah Melayu yang dibawa oleh Orang Kaya Sogoh dari Goa/Gowa."

Apakah yang terkandung di dalam manuskrip-manuskrip yang di bawa oleh Orang Kaya Sogoh?Teka-teki pertama adalah jika Iskandar Zulkarnain itu adalah Alexander The Great dari Macedon yang pernah menawan Parsi dan India,kemungkinan terdapat waris Melayu yang berasal dari kempen Alexander The Great yang menggalakkan askar-askarnya mengahwini orang-orang asing termasuk dirinya sendiri yang mengahwini seorang anak raja satu kerajaan di India (selain dari bangsawan Parsi) di mana di dalam Sejarah Melayu dinamakan Puteri Syahrul Bariyah.Dan Sejarah Melayu mendakwa raja-raja Melayu berasal dari keturunan Alexander dan permaisuri Syahrul Bariyah.

Petunjuk kedua adalah,adakah Iskandar Zulkarnain itu adalah bermaksud dari Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam AlQuran?Memandangkan ketika itu bangsa Melayu telah memeluk agama Islam maka petunjuk yang kedua ini lebih meyakinkan.

Perlu diingat Sulalatus Salatin (sejarah Melayu) sendiri mempunyai sekurang-kurangnya 29 versi dan versi-versi popular adalah hasil kajian sarjana Barat.Dan tidak mustahil sarjana Barat seperti Shellabear yang menambahkan kata 'Makaduniah' kepada nama Iskandar Zulkarnain untuk menamatkan jejak bangsa Melayu sekaligus menamatkan teka-teki ini.

Jika kita pergi ke petunjuk pertama,pencarian kita akan tamat di sini.Maka raja-raja Melayu adalah berasal dari hibrid bangsa Yunani dan satu bangsa di India (ingat,kaum di India juga berbeza-beza seperti Tamil,Benggali,Punjab,Hindustan dll).Pencarian akan tamat sepertimana kes Melayu dari Yunnan.

Tetapi mari kita lihat petunjuk yang kedua.Petunjuk kedua nampaknya akan membuka banyak pintu rahsia.Satu pintu rahsia akan membawa ke banyak lagi pintu rahsia.

Iskandar Zulkarnain,begitulah nama yang disebut dalam AlQuran surah Al-Kahfi.

Mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Dzulkarnain. Katakanlah: "Aku akan
bacakan kepadamu cerita tentangnya.

(AlKahfi ayat 83)

Iskandar Zulkarnain ini mempunyai empayar yang luas.

"Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu, "

(AlKahfi ayat 84)

Zulkarnain bermaksud Pemunya Dua Tanduk.Zulkarnain juga yang membina tembok untuk menghalang Ya'juj dan Ma'juj.



Mengikut kajian ahli sejarah dan arkeologi,Iskandar Zulkarnain bukanlah Alexander dari Macedon tetapi lebih menepati sifat-sifat Cyrus The Great, Emperor Parsi yang menyatukan bangsa-bangsa Parsi Kuno.Cyrus The Greatlah yang dipercayai menganut agama Allah,seorang yang warak dan berpekerti mulia tidak seperti akhlak Alexander The Great yang diketahui berfoya-foya dengan arak dan menyimpan kekasih lelaki.Empayar Cyrus meliputi Timur dan Barat dari Eropah termasuk Mesopotamia,Parsi dan India dan membentang sejauh negeri China.Cyruslah yang dipercayai mula-mula membina tembok-tembok di negeri China.Sesungguhnya bukanlah Emperor Shih Huang Ti yang membina Tembok Besar sepenuhnya di mana catatan purba menjelaskan bahawa beliau hanya menambah,menyambung dan memperbaiki tembok-tembok purba yang terlebih dahulu wujud di negeri China.


"Mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Dzulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepadamu cerita tentangnya."

Ayat ini menceritakan tentang kedatangan rombongan Yahudi (atau Nasrani?) yang menanyakan tentang kisah Zulkarnain yang terdapat di dalam kitab Taurat/Injil.Sememangnya di dalam Taurat/Injil ada menceritakan tentang raja Kurosh/Cyrus yang mempunyai kerajaan yang hebat.Petunjuk ini akan membawa kita ke kisah epik bangsa Melayu yang jejaknya dapat ditelusuri sejauh sejarah purba Cyrus The Great sehingga Cambyses,emperor-emperor Parsi dan Medes.



Petunjuk ini akan bercantum dengan petunjuk dari bangsa Keturah yang membuat perjalanan dari arah Sumeria menuju ke Timur.Mereka tidaklah membuat perjalanan terus-menerus sehingga ke Timur Jauh tetapi di satu-satu tempat mereka akan membuat penempatan beberapa lama sehingga menurunkan bangsa-bangsa lain.Mereka berasimilasi dengan etnik tempatan dan menghasilkan hibrid bangsa hebat yang mampu membina empayar-empayar.

Apakah dia kunci yang telah mencantumkan kdua-dua petunjuk ini?Kunci tersebut adalah Cura Simanjakini.

Kunci Rahsia dari Pedang Misteri



Cura Simanjakini adalah salah satu alat kebesaran negeri Perak.Pedang ini, yang juga dipanggil 'Pedang Kerajaan (Negeri Perak Darul Ridzuan)', berasal dari perkataan Sanskrit 'Churiga (Si) Mandakini' yang bererti Mata Pisau dari Tasik Mandakini, iaitu sebuah tasik berhampiran dengan Sungai Ganges di Negara India.

Mengikut cerita, pedang ini pada asalnya adalah kepunyaan Sang Sapurba (juga digelar 'Nila Utama') yang tiba-tiba menjelma di Bukit Si Guntang Mahameru bersama-sama dengan dua orang adindanya.

Mengikut Hikayat Ketinggian Salasilah Perak keturunan Sultan Perak (Darul Ridzuan) adalah berasal dari keturunan Sang Sapurba, anakanda kepada Raja Suran dan Puteri Mahtab al-Bahari (puteri kepada Raja Aftab al-Ardzi). Adalah dipercayai Sang Sapurba telah memerintahkan Permasku Mambang untuk membunuh seekor naga yang diberi gelaran 'Saktimuna' sedang mengancam penduduk-penduduk di Minangkabau, Sumatera. Pedang yang sama juga digunakan oleh Parameswara semasa beliau ditabalkan sebagai Maharaja Melaka yang pertama. Nama gelaran Maharaja ini ditukarkan kepada Sultan apabila Parameswara menganut agama lslam.

Sultan Mahmud Shah, Sultan terakhir Negeri Melaka, mewarisi pedang ini dan disimpan oleh baginda sehingga baginda menjadi Sultan Kampar, Sumatera selepas baginda berjaya melarikan diri dari serangan Portugis pada tahun 1511. Baginda mangkat di Kampar pada tahun 1530.

Sebelum mangkat, Sultan Mahmud Shah telah menghantar anakandanya, Raja Mudzafar Shah, untuk menjadi Sultan yang pertama bagi Negeri Perak Darul Ridzuan. Di dalam keberangkatan Raja Mudzafar Shah, baginda dilengkapkan dengan pedang ini dan Alat-alat Kebesaran Kesultanan Melaka dahulu. Dari tarikh itu, pedang 'Cura Si Manja Kini' yang melambangkan keagungan dan kekuasaan Raja Pemerintah telah menjadi alat perkakas turun-temurun bagi Sultan yang memerintah Negeri Perak (Darul Ridzuan).

Mengikut kajian sejarah,pedang ini bukanlah berasal dari etnik Hindu India tetapi dari satu kerajaan Parsi Purba yang memerintah India ketika itu ataupun satu bangsa Indo-Aryan yang menduduki Tanah India dan menakluk etnik-etnik asli India.Teori perjalanan bangsa Mala dari arah Parsi ke Tibet dan seterusnya ke India dapat juga ditelusuri pada sejarah Negeri Kedah di mana nama Raja Kedah yang pertama ialah Maharaja Derbar Raja yang berasal daripada Parsi.
Baginda terpaksa melarikan diri setelah dikalahkan oleh raja lain. Baginda sampai di suatu tempat yang dipanggil Kedah atau Qalha.Menurut buku ini, Kedah menerima agama Islam pada awal kurun ke 12.Maharaja Derbar Raja menggunakan gelaran Sultan Muzaffar Syah setelah memeluk agama Islam. Baginda diislamkan oleh Syeikh Abdullah.

Petunjuk ini bercantum pula dengan satu petunjuk lain,jika kita ingin membayangkan epik pengembaraan bangsa Mala kita perlulah mengetahui satu alter lain pada nama Mala itu sendiri.Alter Terahsia yang ditemui dalam peti rahsia kedua.Apa yang ada di dalam peti kedua?

'Bangsa Gunung'

Nama 'Melayu' adalah nama moden yang digunakan untuk menerangkan bangsa atau bahasa yang mendominasi Tanah Melayu dan kepulauan Melayu di Asia Tenggara.Sebelum itu bangsa ini bukanlah bergelar Melayu lagi.Ini samalah dengan perkataan 'Hindu' yang diberikan oleh sarjana Barat merujuk kepada Hind atau satu lembah di Sungai Ganges.Padahal sebelum itu ajaran purba ini bukanlah Hindu tetapi satu ajaran kuno yang berasal dari agama meyembah Tuhan yang Satu.Begitu juga dengan masalah yang kita bincangkan ini,perkataan Melayu,'Malaya' ,Malay atau Malaysia adalah nama moden yang digunakan pada abad-abad terakhir hingga kini.Namun bangsa ini sebelum digelar Melayu mempunyai pelbagai nama yang menerangkan tempat tinggal bangsa ini semasa pengembaraan atau gelaran atau sifat bangsa ini.Di antara nama-nama ini adalah Malai,Funan,Sailendra,Nam dan Champa.Malai adalah nama yang berasal dari tradisi Vedic-Parsi yang bererti 'gunung'.Begitu juga dengan yang lainnya SEMUANYA MERUJUK KEPADA 'GUNUNG' ATAU 'BUKIT'.Ini memberikan satu petunjuk tentang kemaraan bangsa Aryan dari arah pergunungan utara India seperti Himalaya-Tibet dari arah Asia Tengah,dari perbatasan Parsi seperti Bactria,Parthia dan Aria.Bangsa ini juga menerbitkan suku pahlawan Kamboja berkasta Ksyatria,merupakan salah satu suku Aryan yang menyerang perbatasan India dan menubuhkan kerajaan-kerajaan purba India.

Bangsa misteri ini digelar bangsa gunung atau kaum yang datang dari pergunungan adalah kaum yang dihormati dan digeruni oleh suku-suku asli atau kerajaan-kerajaan kecil di Benua India.Bangsa ini berubah-rubah namanya akibat asimilasi dan percampuran bangsa ini dengan etnik-etnik asli tempatan.Bangsa ini telah melahirkan keturunan Sakya dan Ksyatria ketika tinggal di Tibet dan di Benua India.Bangsa ini juga menghasilkan sukukaum Champa,Funan dan Khmer juga sebahagian Viet dari asimilasi Mala dengan etnik-etnik yang kecinaan di perbatasan sempadan Yunnan-China dan Indochina.Nampaknya bangsa misteri inilah yang mewarnai sebahagian besar bangsa-bangsa Asia di mana bangsa ini yang berasal dari keturunan Keturah seperti ditugaskan untuk membawa risalah ajaran Ibrahim ke Timur dan memajukan bani Adam yang terdiri dari etnik-etnik asli yang kurang bertamadun yang berasal dari keturunan para pengikut Nabi Nuh yang bertebaran ke sana.

Perjalanan darat bangsa Mala dapat ditelusuri dari salah satu suku Mala-Aryan Purba yang digelar Kambuja.



Kambuja

Menurut kajian antropologi terkini,Kamboja adalah suku kaum Ksyatria dari Zaman Besi di India,selalu disebut dalam kesusasteraan Sanskrit dan Pali,tampil kali pertama di dalam Mahabharata dan kesusasteraan Vedanga semasa (secara kasar dari abad ke 7 Masehi).Kerajaan Kemboja terletak berdekatan Gandhara di barat laut India di Asia Tengah (ingat Teori Kapak Tua?).Sesetengah sarjana menerangkan Kamboja Kuno adalah sebahagian dari Indo-Aryan,sebahagian kecil yang lain kemungkinan dari Indo-Iranian,ketika yang lainnya menurut Vedic Index of Keith and Macdonnel,mengiktiraf mereka sebagai mempunyai kedua-dua keturunan India dan Iran.Walaupun begitu kebanyakan komuniti sarjana kini bersetuju yang Kamboja adalah dari Iran yang sama dengan Indo-Scynthian.Kamboja juga dikenali oleh sarjana sejarah sebagai sukukaum diraja bagi Scynthian.



Ketika penaklukan ke atas India ketika era Pra-Kushana,suku Kemboja telah bergerak ke Gujerat,Selatan India,Sri Lanka dan kemudian ke Bengal dan seterusnya ke Cambodia.

Berdasarkan manuskrip purba,kaum Kamboja adalah kaum terhormat dari bangsa Aryan dan dikelaskan setaraf dengan Vasishtas-hero dalam budaya India Kuno,dan diperkirakan di antara 6 golongan sarjana dalam Kesusasteraan Vedic India.Pakaian dan tahap sosial Kamboja adalah sama dengan Vasishthas.Selain muncul dalam Mahabharata,Kamboja juga muncul dalam Kshatria-Dharama sebagai pahlawan dan pemerintah dan juga disebut sebagai pakar dalam Vedas.Dari sukukaum Kamboja inilah munculnya kerajaan Champa dan Funan dan juga mewariskan kerajaan Khmer.Cambodia adalah nama Perancis merujuk kepada sukukaum Kemboja.

Walaupun begitu ramai sarjana berpendapat Kemboja Kuno adalah pusat kepada Tamadun Iran Purba.Dalam perbincangan setakat ini tentu ada pembaca yang masih tertanya-tanya kaitan antara budaya Iran dan India Kuno.




Kaitan Antara Budaya Iran dengan Vedic India

Semenjak di dapati bahawa terdapat persamaan kata di dalam bahasa Sanskrit dan bahasa Parsi Kuno Zoroaster,sememangnya para sarjana antropologi sudah maklum akan penyerapan budaya Iran kuno dengan India dan fenomena hibrid ini digelar budaya Vedic.Bangsa Iran Kuno sudah lama berhubungan dengan etnik-etnik asli yang mendiami India.Dalam kesusasteraan India,bangsa Iran yang datang menduduki India pada zaman purba dahulu dikenali sebagai bangsa Aryan (perhatikan perubahan 'Iran' ke 'Aryan').Bangsa Aryan inilah yang membawa budaya Vedic berserta bahasa Sanskrit yang berasal dari bahasa Iran Kuno yang dapat ditelusuri dalam kesusasteraan Avestan seperti di dalam Kitab Zoroaster, Zend Avesta.Mereka juga membawa juga dikatakan orang-orang yang bertanggungjawab membawa agama Hindu ke India bermula di sebuah lembah di Sungai Ganges.Walaupun ada sarjana yang menentang teori ini berdasarkan teori Mohenjo-Daro dan Harappa,sebenarnya dua negarakota ini bukanlah ada kaitan dengan budaya Vedic-Aryan malah usia kota ini lebih tua dan sezaman dengan era Sumeria-Babilon.Ini kerana terdapat bukti perdagangan antara negarakota Ur di Sumeria dan Harappa berdasarkan penemuan artifak-artifak yang sama di kedua-dua tapak arkeologi.Malah pakar-pakar sejarah begitu bingung dengan penemuan kaca-kaca hitam yang berselerakan di jalan-jalan kedua-dua negarakota,padahal kaca-kaca hitam itu tidak dapat ditemui di mana-mana tempat dan bukan semulajadi kerana hanya didapati di loji-loji nuklear.Hasil dari penguraian uranium dan haba berantai akan menghasilkan sisa-sisa buangan berbentuk kaca-kaca hitam tadi.Inilah yang mewujudkan teori perang nuklear tambahan pula boleh dikatakan tiada rangka manusia ditemui di tapak arkeologi.Dan ini menyebabkan Mohenjo-Daro dan Harappa dikatakan sezaman pula dengan Kerajaan Rama,Atlantis dan Lemuria yang telah tenggelam.

Bahasa Iran Purba iaitu Avestan adalah asal kepada bahasa Sanskrit.Dan bahasa Sanskrit adalah bahasa elit di dalam agama Hindu.Bahasa Avestan pula digunakan dalam kitab Zend Avesta dan terdapat dalam manuskrip-manuskrip purba Iran seperti Agatha.Lihat persamaan bahasa di antara kedua-duanya.

təm amavantəm yazatəm

tam amavantam yajatam

surəm damohu scvistəm

suram dhamasu savistham

miθrəm yazai zaoθrabyo

mitram yajai hotrabhyah


Di sebelah atas adalah Avestan dan dibawahnya adalah Sanskrit.Perhatikan juga kata 'deva' dalam Sanskrit bermaksud dewa/tuhan tetapi dewa dalam Avestan adalah 'ahuras' atau 'asuras' manakala 'devas' pula bermaksud syaitan.

INI ADALAH PEMBAYANG KEPADA AKTIVITI BANGSA MALA DISEMPADAN INDIA DAN PARSI.

MISI TERAHSIA KE TIMUR JAUH

Sesungguhnya memang terdapat kisah-kisah peperangan Raja-raja Babilon atau Sumeria di dalam kitab-kitab Veda terutama di dalam Rig Veda yang merupakan yang tertua di antara keempat-empat Veda.Kisah-kisah Mahabharata juga di dalam Upanishad juga diketahui berasal dari kitab-kitab Babilon Purba.Ini amat menakjubkan.Malah lebih menakjubkan terdapat juga nama Ibrahim dan Muhammad di dalam kitab Veda.Pada tahun 1935, Dr. Pran Nath menerbitkan artikel di dalam Times of India yang menunjukkan bahawa Rig Veda mengandungi peristiwa-peristiwa mengenai raja-raja Babilonia dan Mesir dan peperangan-peperangan mereka. Selanjutnya, beliau menunjukkan bahawa se per lima daripada Rig Veda adalah berasal daripada Kitab-kitab Babilonia. Dari sudut pandangan Muslim adalah mungkin bahawa penganut Hindu telah diwahyukan kitab atau kitab-kitab yang mengandungi cerita mengenai perjuangan Nabi-nabi Allah yang telah diutuskan kepada kaum-kaum lain yang terdahulu. Adalah mungkin juga bahawa ulasan-ulasan yang ditulis mengenainya telah digabungkan dan kemudiannya menjadi sebahagian daripada kitab-kitab yang diwahyukan.

Terdapat beberapa contoh seperti ini di dalam kitab-kitab Hindu. Atharva Veda juga dikenali sebagai 'Brahma Veda' yang bermaksud Ilmu Suci. Analisa ke atas Veda menunjukkan bahawa 'Brahma' sebenarnya adalah Abraham (Ibrahim), di mana huruf A di dalam Abraham telah dipindahkan ke belakang untuk menjadikannya Brahma. Analisa ini tepat apabila seseorang menulis dua perkataan di dalam huruf Arab, di mana Bahasa Arab adalah bahasa yang mirip kepada bahasa yang dituturkan oleh Nabi Ibrahim. Begitu juga, isteri pertama Ibrahim, iaitu Sarah, disebut di dalam Veda sebagai Saraswati, dan Nabi Nuh disebut sebagai Manuh atau Manu. Segolongan Pandit menganggap Athrva Veda sebagai Buku Ibrahim. Nabi Ismail dan Nabi Ishak dinamakan Atahrva dan Angira, masing-masing di dalam Veda.Ramalan tentang Nabi Muhammad di dalam Purana:




"Seorang Malechha (dari negara asing dan bertutur dalam bahasa asing) yang merupakan guru kerohanian akan muncul bersama-sama sahabat-sahabatnya. Namanya adalah Mahamad..."

(Ayat 5 Bhavishya Puran, Prati Sarg Bahagian III:3,3)

Juga di dalam Purana:

"Seorang Malechha (dari negara asing dan bertutur dalam bahasa asing) yang merupakan guru kerohanian akan muncul bersama-sama sahabat-sahabatnya. Namanya adalah Mahamad. Setelah Raja (Bhoj) memandikan Mahadev Arab (dengan keperibadian seperti malaikat) ini, dia mempersembahkan kepadanya hadiah sebagai tanda ketaatannya yang ikhlas dan tanda penghormatannya dan berkata, 'Aku patuh kepadamu'. 'Wahai engkau, kebanggaan manusia, penghuni Arabia. Kau telah mengumpulkan kekuatan yang besar untuk membunuh Syaitan dan kau sendiri telah dilindungi daripada penentang-penentang malechha (penyembah berhala). Wahai engkau, yang merupakan gambar Tuhan Yang Maha Suci, Tuhan yang terbesar, aku adalah hambamu, terimalah aku yang tunduk di kakimu."

"Malechha telah memijak tanah Arabia yang masyhur. Arya Dharma tidak akan ditemui di negara itu. Sebelum itu telah muncul seorang roh jahat yang terseleweng yang telah kubunuh [nota: contohnya Abrahah Al-Ashram, gabenor Yaman yang menyerang Mekah]; dia kini muncul lagi dan dihantar oleh musuh yang gagah. Untuk menunjukkan musuh-musuh ini ke jalan yang benar dan membimbing mereka kepada Mahamad (Muhammad) yang dikenali, yang telah kuberi nama julukan Brahma dan berusaha keras untuk membawa golongan Pishacha ke jalan yang benar. Wahai Raja! Kau tidak perlu pergi ke negara Pishacha yang tolol, kau akan disucikan melalui kemurahan hatiku di tempat kau diam. Pada waktu malam, dia yang seperti malaikat, manusia yang licik, yang menyamar sebagai Pishacha berkata kepada Raja Bhoj: "Wahai Raja! Arya Dharma mu telah menang mengatasi agama-agama lain, tetapi menurut perintah 'Ashwar Parmatma (Tuhan, Roh Yang Tinggi), aku akan melaksanakan rukun yang kuat daripada golongan pemakan daging. Pengikut-pengikutku terdiri daripada lelaki yang telah disunatkan, tanpa ekor (di kepalanya), menyimpan janggut, melancarkan revolusi, mengumumkan panggilan sembahyang dan memakan semua yang halal. Dia akan memakan semua jenis binatang kecuali khinzir. Mereka tidak akan mencari kesucian dari pohon suci, tetapi disucikan melalui peperangan. Kerana mereka menentang bangsa-bangsa yang tidak beragama, mereka akan dikenali sebagai Musalman (Muslim). Aku akan menjadi pengasas agama golongan yang memakan daging ini."

(Bhavishya Puran:Prati Sargh Part III:3,3,5)

Di dalam Kuntap Sukt (Antharva Veda):

Terjemahannya oleh Pundit Raja Ram diberikan seperti berikut:


"Dia memberikan kepada Rishi Mamah seratus keping wang emas, sepuluh kalungan, tiga ratus ekor kuda dan seribu ekor lembu"

Perkataan akar kepada perkataan Mamah adalah Mah yang bermakna yang disanjung tinggi, dihormati, disegani, dibesarkan dan bertaraf tinggi. Perkataan "Muhammad" di dalam bahasa Arab bermaksud "yang dipuji". Di dalam bahasa Sanskrit, banyak nama-nama Muslim yang digunakan dengan sedikit pengubahsuaian. Contohnya, 'Mahmud' Ghaznavi yang memerintah sebahagian daripada India, dipanggil dengan nama 'Mamud' Ghaznavi. Oleh itu, Mamah adalah sinonim dengan Muhammad apabila makna keseluruhan ayat tersebut dipertimbangkan. Di dalam agama Hindu, perkataan Rishi bermaksud guru ilmu mistik atau Nabi, dan mungkin juga seorang yang tinggi tarafnya. Kelihatannya perkataan ini diterbitkan daripada nama Nabi Idris dengan huruf pertama 'i' dipindahkan ke penghujung perkataan, sama seperti nama Abraham dan Brahma, dan huruf 'd' digugurkan seperti mana Mamah (Muhammad, yang diterbitkan daripada huruf akar h, m dan d).

Seratus keping wang emas merujuk kepada sahabat-sahabat awal Nabi Muhammad, yang mana lapan puluh daripada mereka berhijrah ke Habsyah untuk melepaskan diri daripada penindasan yang tidak tertanggung. Di dalam Shatpath Brahmana yang merupakan ulasan yang diwahyukan ke atas Yajur Veda, emas adalah digunakan sebagai metafora untuk kuasa spiritual manusia yang tinggi.

Sepuluh kalungan merujuk kepada sepuluh sahabat Nabi Muhammad yang paling rapat yang diberikan berita gembira mengenai syurga oleh Nabi. Umat Islam mengenali mereka sebagai 'Ashra-i-Mubbashshara'. Mereka adalah Abu Bakar (r.a.) , 'Umar, 'Uthman, 'Ali, Talha, Zubair, 'Abdul Rahman bin Auf, S'adbin Abi Waqqas, S'ad bin Zaid, dan Abu 'Ubaidah (moga Allah memberkati mereka). Mereka adalah orang-orang yang disebut di dalam Veda sebagai Dash ashrijah - 'sepuluh jambangan bunga dari syurga'.

Tiga ratus ekor kuda yang bagus (dari baka Arab) merujuk kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad yang berjuang di Badar. (Bilangannya yang tepat adalah 313, tetapi dalam kebanyakan ramalan angka ini digenapkan). Perkataan Sanskrit Arvah bermakna kuda Arab yang pantas, terutamanya yang digunakan oleh golongan Asura (bukan Arya).

Sepuluh ribu ekor lembu merujuk kepada sepuluh ribu sahabat yang mengiringi Nabi semasa pembukaan Mekah. Perkataan Sanskrit 'go' diterbitkan daripada gaw yang bermakna pergi berperang, dan digunakan bagi kedua-dua kerbau dan lembu. Di dalam Veda, kerbau atau lembu digambarkan sebagai simbol peperangan, keamanan dan persahabatan. Kita dapati kedua-dua sifat ini pada sahabat-sahabat Nabi Muhammad. Mereka adalah manusia yang beriman dan pemurah seperti lembu, dan kuat serta perkasa dalam memastikan keamanan dan keadilan.Inilah sebab orang-orang Hindu menganggap lembu sebagai haiwan suci padahal istilah zaman purba Avestan-Sanskrit 'lembu' bermaksud 'orang suci' atau sahabat orang suci.Penyelewengan ini juga terdapat dalam bahasa Aramaik Kuno yang mengistilahkan 'anak-anak Tuhan' sebagai orang-orang suci tetapi orang-orang Kristian menyalahanggap istilah ini.



Apakah yang terjadi kepada bangsa Mala (Aryan) yang berasimilasi dengan kaum purba India?Apakah nama yang diberi oleh orang-orang Iran Kuno kepada saudara mereka dari Bangsa Mala?

Siapakah Bani Jawi?

Apakah dia yang pemberian (gift) diberi oleh Nabi Ibrahim kepada anak-anaknya?Apakah misi yang digalas oleh Bani Jawi dalam perjalanan mereka ke Timur Jauh?Nantikan sambungan Alter Terahsia Bangsa Melayu IV...


---------------------------


Alter Terahsia Bangsa Melayu IV




Menyusuri jejak-jejak Melayu sehingga ke Emperor Cambyses di Parsi dari haluan Sungai Mekong...

-Rahsia Sungai Mekong
-Jayavarman,Sailendra dan Khmer
-Angkor Wat dan Borobudur
-Dari Cambyses ke Kemboja
-Funan dan asimilasi Viet dari Mala Laut (Indonesia)
-Tatabahasa Veda dan Avestan
-Hyperborean,Aryan dan rahsia Hitler-Nazi
-Operasi rahsia Nazi di Tibet mencari bangsa yang hilang
-Catatan-catatan pengembara Eropah
-Kapal-kapal Bangsa Mala
-Siapakah Bani Jawi?
-Misi Terahsia Bani Jawi

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]