Friday, September 17, 2010

BAHAYA BUDAYA PELAMPAU.


Minda Pengarang: Ketegasan kerajaan awasi ekstremis mampu kekang ancaman


2010/09/17
KETEGASAN kerajaan untuk terus mengawasi kumpulan pelampau di negara ini yang cuba mengganggu-gugat keharmonian negara, terutama kumpulan atau individu yang bersifat perkauman sewajarnya membuka mata semua pihak bahawa sikap keterlaluan atau ekstrem dalam memperjuangkan agenda mana-mana kaum atau kelompok sudah tidak mendapat tempat di negara ini. Kita percaya tindakan proaktif kerajaan dalam membendung unsur yang sejak kebelakangan ini dilihat ketara sama ada disuarakan melalui parti politik, individu atau kumpulan pendesak dapat memberi isyarat kepada pihak terbabit supaya menghentikan segera usaha berkenaan yang hanya akan memecah-belahkan perpaduan rakyat pelbagai bangsa dan agama yang sudah terjalin sejak sekian lama.

Keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi kenyataannya kelmarin, yang menentang sekeras-kerasnya perlakuan puak pelampau di negara ini membuktikan kepemimpinan negara menyedari masalah ini dan mahu mendepaninya segera sebelum menjadi lebih parah. Walaupun negara sudah mencapai banyak kejayaan, Najib gusar melihat kemunculan isu berpunca daripada fahaman pelampau ini yang menganggap pihak bertentangan fahaman sebagai musuh dan berusaha menakut-nakutkan mereka yang tidak menerima pemikiran serta ideologi berbeza daripada mereka. Kebimbangan itu dilahirkan melalui rencananya bertajuk ‘Perjuangan Kita Terhadap Faham Pelampau’ dalam blognya, www.1malaysia.com.my ketika negara dan seluruh rakyat Malaysia menyambut hari pembentukan Malaysia ke-47 semalam.
Click Here
Tentunya, Perdana Menteri tidak mahu melihat segala usaha yang sudah dicapai, bina dan hargai, berkecai dalam sekelip mata akibat budaya jumud dan melampau. Walaupun kumpulan ini kecil, kehadiran dan usaha menjadikan fahaman sempit mereka sebagai pendapat umum boleh menggugat keharmonian negara. Fahaman pelampau ini tidak terbatas kepada isu politik, malah merangkumi pertentangan kaum, seni, budaya, cara hidup dan apa saja isu yang boleh dimanipulasi. Gerakan pelampau ini sememangnya wujud dan bukan lagi retorik jika kita melihat usaha yang mereka lakukan menggunakan apa jua medium dan saluran menyampaikan fahaman mereka sejak akhir-akhir ini.
Kita bimbang dengan kumpulan atau individu ini yang tidak pernah mengambil kira sensitiviti kaum atau agama ketika memaksa pihak lain menerima fahaman dan pemikiran mereka. Kumpulan pelampau ini tidak dapat menerima hakikat bahawa rakyat negara ini mempunyai latar belakang berbeza dan rencam. Malah, mereka cuba mengelirukan konsep 1Malaysia dengan pelbagai tafsiran yang menjurus kepada kepentingan dan perjuangan kumpulan mereka, sekali gus meningkatkan kebimbangan antara kaum.

Bagi mereka, keadaan rakyat negara ini yang terus terpisah dan tidak bersatu akan memudahkan lagi mereka menyusup masuk dan menyerap fahaman melampau mereka. Namun, kita yakin kerajaan mampu menyekat kumpulan ini daripada menyebar pemikiran yang boleh memusnahkan negara. Jika sebelum ini, kerajaan berjaya menghalang kumpulan militan dan menangani beberapa kejadian perkauman ekstrem yang cuba membangkitkan konflik dan menggugat keselamatan negara, kita yakin pendekatan sama mampu menghalang kumpulan pelampau ini.
/td>

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]