Sunday, September 19, 2010

DEKATI ATAU JAUH ?

Khairy ikrar dekati rakyat

KETUA Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, mahu menggunakan kedudukannya untuk mendekatkan sayap parti itu dengan rakyat selain merapatkan hubungan sesama ahli.

Beliau berkata, kedudukannya sebagai ketua kepada sayap Umno yang mempunyai kira-kira 700,000 ahli itu, adalah peluang terbaik untuk berbuat demikian terutama menarik mereka yang di luar parti.

"Sekarang saya mempunyai platform mendekati rakyat, berkomunikasi dengan mereka dan cuba membuatkan mereka faham pandangan dan prinsip saya," katanya ketika ditemui semalam.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, Negeri Sembilan, berkata beliau tidak menjangka untuk menang pada pertandingan jawatan ketua pergerakan itu malam kelmarin kerana ia membabitkan calon popular.

"Saya tidak menjangka menang sebab (didakwa) menentang arus dan pertandingan membabitkan calon popular. Untuk menang dalam keadaan itu sesuatu yang tidak dapat dijangka," katanya.

Khairy menang pada pemilihan Ketua Pemuda Umno kelmarin selepas menewaskan dua calon lain iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pertandingan tiga penjuru itu tidak akan menyebabkan perpecahan dalam Pemuda atau memberi kesan kepada persiapan Barisan Nasional (BN) menghadapi tiga pilihan raya kecil pada 7 April ini iaitu di Parlimen Bukit Gantang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, Sarawak dan DUN Bukit Selambau, Kedah.

"Saya akan memanggil mesyuarat Exco Pemuda malam esok (hari ini) untuk membincangkan secara terperinci mengenai gerak kerja pilihan raya, termasuk pembahagian tugas," katanya.

Mengenai kekecohan di luar dewan yang berlaku sejurus selepas keputusan pemilihan Pemuda diumumkan malam kelmarin, beliau berkata, ia mungkin berpunca daripada pertandingan itu yang disifatkan penuh emosi dan sengit selain tempoh kempen yang panjang.

"Walaupun saya kesal berlaku kejadian itu, kita berupaya menyelesaikannya walaupun mengambil masa. Saya rasa siapa pun yang menang semalam (kelmarin), akan ada tindakan emosi itu, ia boleh dijangka," katanya.

Mengenai ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Khairy berkata, ia mengingatkan ahli parti supaya membuat perubahan pada diri sendiri terlebih dulu sebelum mengubah Umno.

"Ia adalah mesej jelas Presiden bahawa kegagalan kita kerana kita sombong, alpa dan lupa masalah rakyat," katanya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]