30,000 hektar tanah rakyat dirampas oleh PASSokongan terhadap PAS diibaratkan 'menang sorak kampung tergadai', apabila ada kepemimpinan parti itu semakin rakus merampas tanah rakyat, membabitkan keluasan lebih 30,000 hektar di Hulu Kelantan sejak memerintah 20 tahun lalu. Malah, janji Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, untuk membenarkan rakyat meneroka tanah kerajaan bagi tujuan pertanian ketika mula memegang tampuk pemerintahan pada 1990 kerana menganggap tanah itu tanah Tuhan, kini semakin dilupakan. Timbalan Ketua UMNO bahagian Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah, berkata mengikut laporan diterima setakat ini, sudah berpuluh syarikat luar Kelantan diberi kelulusan membangunkan tanah terbabit dan ada banyak lagi menunggu masa untuk berbuat demikian. Beliau mendakwa, kebanyakan tanah yang dirampas itu sudah diusahakan rakyat dengan pelbagai tanaman, termasuk di perkampungan Orang Asli tanpa membayar sebarang pampasan. “Kalau nak diikutkan janji Nik Aziz ketika mula menerajui Kelantan selepas pilihan raya umum 1990, akan selesai semua hak milik namun lain pula yang berlaku apabila tanah berkenaan dirampas untuk diserahkan kepada syarikat luar. “Faktor rampas tanah itu memberi tekanan hebat kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas untuk menolak PAS kerana bimbang lebih banyak tanah penduduk dirampas selepas ini,” katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam. Nozula yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, berkata rakyat mula memihak kepada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil itu kerana tidak tahan kerenah pemimpin PAS yang mempunyai kepentingan diri terutama membabitkan pengambilan tanah. Beliau berkata, boleh dikatakan kebanyakan penduduk yang bergantung kepada punca hasil tanaman hilang pendapatan kerana tanah mereka dirampas tanpa terlebih dulu mendengar rayuan penduduk. “Kebanyakan tanah sudah dibayar deposit untuk geran hak milik, namun tidak memprosesnya disebabkan lebih mengutamakan syarikat luar dengan menyediakan pajakan selama 99 tahun,” katanya. “Apa yang kita khuatir, sejak kebelakangan ini banyak kawasan tadahan air bukit yang menjadi keperluan penduduk termasuk perkampungan Orang Asli tercemar kerana kegiatan pembukaan tanah hutan serta pembalakan tidak terkawal,” katanya. Beliau berkata, masalah utama ialah membabitkan penduduk Orang Asli kerana mereka bukan saja dihimpit hakisan ekoran kegiatan pembukaan tanah syarikat perladangan tetapi air tadahan bukit turut tercemar. “Ini bukan cerita dongeng, malah perkara benar berlaku di merata tempat di kawasan ini menyebabkan pengundi DUN Galas sudah merasa bosan dengan janji pemimpin PAS yang dilihat tidak mengotakan apa yang dijanjikan berkaitan dengan isu tanah,” katanya. |
Sunday, October 24, 2010
APA PAS BUAT DI GUA MUSANG ?
Label:
PRK GALAS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment