Batu Sapi: PKR atau SAPP beri laluan? | Okt 20, 10 12:03pm | |
| Pemimpin PKR dan Parti Maju Sabah (SAPP) akan berbincang di Kota Kinabalu esok bagi mencari kata sepakat mengenai calon untuk menentang BN dalam pilihan raya kecil kerusi parlimen Batu Sapi pada 4 November ini. Pertemuan itu dipercayai diatur setelah penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan meminta SAPP supaya tidak bertanding bagi memberi laluan kepada calon PKR. Ketika diminta mengulas pertemuan esok, timbalan presiden SAPP, Datuk Eric Majimbun, berkata majlis tertinggi parti itu telah membuat keputusan untuk bertanding di Batu Sapi dan keputusan itu tidak mungkin diubah. "SAPP adalah parti tempatan. Jika kami tidak bertanding di Sabah, di manakah lagi kami dapat bertanding," katanya. Bagaimanapun, katanya, SAPP sedia membincangkan kerjasama dengan PKR dalam menghadapi pilihan raya kecil itu. "Lagipun, dalam politik apa saja boleh berlaku," katanya. Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Edmond Chong Ket Wah daripada BN akibat satu nahas jalan raya pada 9 Oktober lalu. Pada pilihan raya umum lalu, Chong yang juga bendahari Parti Bersatu Sabah, menewaskan calon Bebas, Chung Ong Wing dengan majoriti 3,708 undi. Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi termasuk hampir 16,000 pengundi Bumiputera dan lebih 9,700 pengundi Cina. Penamaan calon ialah pada 26 Oktober ini.
Batu Sapi: PKR akan wakili Pakatan Rakyat | Okt 19, 10 11:06am | | | Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan pilihan raya kecil Batu Sapi pada 4 November in akan diwakili oleh calon daripada PKR.Berikutan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan perkara itu berharap sebuah lagi parti pembangkang di Sabah - Parti Maju Sabah (SAPP) - akan memberikan laluan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.
“Pemimpin Pakatan Rakyat telah bermesyuarat dan memutuskan bahawa calon PKR akan mewakili Pakatan dan kita akan umumkan (berhubung siapa calonnya) tidak lama lagi.
“Kami harap SAPP tidak akan bertanding supaya pertandingan ini adalah satu lawan satu menentang BN,” katanya.Pada 16 Oktober lalu, presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengumumkan parti itu akan bertanding bagi menyakinkan rakyat Sabah bahawa mereka mampu menguruskan pentadbiran negeri sendiri.
Katanya, keputusan untuk bertanding adalah ujian getir bagi SAPP setelah berkerat arang dengan BN dan mengisytiharkan mereka sebagai parti pembangkang pada 2008. Anwar yang membuat pengumuman di lobi parlimen hari ini berkata keputusan menyerahkan kerusi Batu Sapi kepada PKR dicapai pada mesyuarat Pakatan Sabah yang diadakan di Kota Kinabalu pada hujung minggu lalu.
Meskipun calon dari PKR itu belum dikenalpasti tetapi beberapa nama disebut-sebut sebagai mereka yang layak. Antara mereka ketua PKR Sabah - Ahmad Thamrin Jai, pengerusi cawangan Tuaran - Ansari Abdullah dan ketua cawangan Batu Sapi yang baru dilantik - Hasnar Ibrahim.
Pada sidang media yang turut dihadiri oleh pemimpin Pakatan yang lain, Anwar juga mengumumkan bahawa ahli parlimen Kota Kinabalu dan pengerusi DAP Sabah Hiew King Cheu (kanan) dilantik mengetuai kempen mereka di Batu Sapi.
Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu.
Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.
Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau dicabar oleh calon Bebas, Chung Kwong Wing tetapi berjaya mengekalkan kerusinya dengan mudah dengan majoriti 3,708 undi.Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.
|
No comments:
Post a Comment