GUNAKANLAH MINDA BUKANYA EMOSI….. PENULIS tertarik dengan kenyataan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, S.K. Devamany yang menyebut walaupun jumlah penduduk masyarakat India di negara ini hanya merangkumi 8% daripada keseluruhan penduduk negara tetapi mereka sudah terpisah kepada lapan kelompok kecil. Lantas naib presiden MIC itu menyeru; “Apalah gunanya kita berpecah, marilah kita hidup bersama dan bersatu.” Itulah hakikatnya “dilema” atau mungkin lebih tepat dinamakan (The Indian Dilemma) dalam masyarakat India di negara kita ketika Malaysia memasuki satu era pembangunan dan permodenan menjelang 2020. Apakah “bangsaku” ini sudah bersedia untuk mengejar impian 2020? Itu tidak pasti lagi. Yang pasti ialah lima perdana menteri negara sudah bersilih ganti, negara sudah mencapai kemerdekaan yang ke-53, dua belas pilihan raya umum sudahpun berlalu tetapi “polemik sosioekonomi” masyarakat India masih lagi terus menerus diperkatakan, menjadi tumpuan dan kontroversi. Mengejar Kuasa Di satu sudut lain pula, ada kumpulan terlalu ghairah mahu mengejar “kuasa politik” sehingga menyebabkan masyarakat India Malaysia seolah-olah berada dalam senario “lintang–pukang”. Sudah tentulah implikasinya ialah masyarakat Indialah yang menjadi mangsa disebabkan percaturan politik diri mereka sendiri. Manakan tidak, selepas PRU 2008, jumlah parti politik yang mewakili masyarakat India dan juga penubuhan badan-badan bukan kerajaan berketurunan India semakin meningkat tetapi keberkesanan perjuangan mereka masih ditahap itu juga. Tambah menyedihkan, mereka sendiri tidak dapat bersatu dalam satu parti ataupun di bawah mana-mana pertubuhan kerana diselubungi ego yang terlalu besar, masalah kasta dan yang lebih teruk, tergila-gila mahu mengejar “kuasa” dan jika tidak boleh mencapai maksud tersebut maka dilakukan satu percubaan ala “rampasan kuasa”. Sebab itulah muncul kumpulan-kumpulan serpihan di kalangan mereka sehingga menambahkan lagi parah perpecahan di kalangan masyarakat India di negara ini. Sampai bila mereka mahu cabar-mencabar, desak-mendesak ataupun saling mencaci di media massa? Memang seronok membaca berita tentang kemelut dan pertentangan politik tetapi realitinya rakyat sudah naik meluat, benci, menyampah, bosan dan pening dengan sikap dan “gelagat politik” segelintir pemimpin politik yang kononnya mahu menjaga masa depan kaum India sedangkan imej mereka sendiri sudahpun tercalar. Jadilah pemimpin yang pegang pada janji, etika dan prinsip (walk the talk) sekiranya mahu menjuarai hati masyarakat India. Tak perlulah pemimpin politik sibuk nak jaga “tepi kain orang lain.” Jangan sampai nasib bangsa sendiri dibiarkan terabai sehingga menjadi satu bahan sejarah sepertimana isu pekerja ladang yang masih menderita apabila mereka tidak menerima ganjaran, pampasan, peluang latihan dan juga peluang memiliki rumah sendiri. Saban hari akhbar Tamil menyiarkan laporan mengenai “kesengsaraan masyarakat India .” Bisikan hati dan air mata mereka sudah cukup untuk menceritakan “kisah benar” mereka tetapi apakah penyelesaian terhadap masalah mereka apabila isu tersebut terpampang di media massa dan juga media alternatif? Kenapa Tidak Boleh Bersatu Persoalanya, kenapa bangsaku tidak dapat bersatu? Semua pihak tak kiralah, pemimpin kerajaan ataupun pembangkang perlu mendahulukan kepentingan, kehendak dan kemahuan masyarakat. Carilah penyelesaian untuk menangani sesuatu masalah supaya tidak berlarutan. Bantulah sesama bangsa sendiri. Dasar sudah ada, banyak program dan rancangan sudah disediakan tetapi bagaimana pula dengan sistem penyampaiannya? Justeru itulah, semua pihak baik pemimpin politik atapun badan-badan bukan kerajaan perlulah berganding bahu dan berkerjasama antara satu sama lain menunaikan tanggungjawab masing-masing. Masyarakat India juga perlu bersatu dari aspek bahasa dan budayanya juga. Janganlah malu bertutur dalam bahasa “ibunda” (bahasa Tamil) ketika bertemu sesama sendiri. Pergaulan dalam bahasa ibunda sendiri tidak akan menjatuhkan maruah ataupun standard seseorang. Sayangilah bahasa Tamil dan bersyukurlah anda dilahirkan sebagai seorang berketurunan India. Adalah menjadi tanggugjawab kita bersama untuk mempertahankan masa depan bahasa ibunda kita supaya tidak pupus ditelan peredaran zaman. Bersatulah memartabatkannya demi masa depan bangsa, agama dan negara. Di mana NGO India & Khidmat Sosial Bercakap mengenai khidmat sosial pula, ia bukannya umpama “pentas motivasi” semata-mata tetapi satu gerak-kerja yang melibatkan denyutan nadi rakyat dan perlu dilaksanakan secara dedikasi, rajin dan amanah. Berbalik kepada komen S. K. Devamany, selaku Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang terlibat dalam Unit Perancang Ekonomi yang melibatkan dasar-dasar kerajaan seperti program Rancangan Malaysia, Belanjawan, NKRA, ETP dan sebagainya, beliau boleh memainkan peranan yang penting menerangkan dasar-dasar kerajaan yang disediakan untuk rakyat ke peringkat akar umbi. Dasar kerajaan untuk kumpulan berpendapatan rendah sama ada di bandar ataupun luar bandar perlu diterangkan secara meluas dan terperinci kepada rakyat supaya mereka dapat meraih peluang yang disediakan serta menikmati faedahnya supaya dapat menjayakan visi Perdana Menteri melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi. Persatuan-persatuan belia seperti Kelab Bell Belia Tamil yang cukup “popular” suatu ketika dulu dalam mendokong aspirasi belia India di negara ini perlu bangkit untuk mengejar dan juga merealisasikan harapan serta impian baru masyarakat India sepertimana dahulu khususnya di kalangan generasi muda. Penulis masih ingat di zaman 80an Kelab Bell Belia Tamil sangat berpengaruh sehingga menjadi sebuah pertubuhan belia yang berani, berwawasan, lantang dan bertenaga sehingga dalam beberapa hal mendahului kekuatan dan pengaruh sesebuah parti politik seperti MIC sendiri. Pertubuhan belia seperti itu, perlu tampil menjalinkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan India yang lain termasuk Yayasan Strategik Sosial untuk menangani masalah sosial di kalangan remaja India termasuklah memperkatakan isu-isu gengsterisme, peluang pendidikan, peluang kerjaya dan sebagainya. Percayalah, jika kita bersatu kita mampu melakukanya, tetapi gunakanlah minda bukannya emosi… Oleh B. ANBUMANI (mediagemilang@yahoo.com) |
Thursday, October 14, 2010
(The Indian Dilemma)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment