Monday, October 11, 2010

Pembangkang menangguk di air keruh isu ucapan 2 pengetua Oleh Ridzuan Yop

Pembangkang menangguk di air keruh isu ucapan 2 pengetua

Pengetua rasis: Lim kemuka usul di Dewan Rakyat - Malaysia Kini.
Okt 8, 10 4:17pm

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini menghantar satu usul kepada speaker Dewan Rakyat untuk membahaskan kes dua guru besar didakwa menghamburkan kata-kata perkauman dan berbentuk penghinaan kepada pelajar-pelajar mereka pada Ogos lalu.

Lim berkata usul berkenaan terpaksa dikemukakan kerana selepas 57 hari berlalu, kerajaan gagal bertindak.

“Ini satu tamparan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membuat gesaan antarabangsa berhubung keganasan, toleransi sifar terhadap perkauman dan polisi 1Malaysia,” kata Lim.

Usul berkenaan, kata ahli parlimen Ipoh Timur itu dibuat menurut peraturan mesyuarat 18(1) dan dihantar kepada Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta Dewan ditangguhkan bagi membolehkan perkara itu dibahaskan.

Berikut kandungan usul berkenaan:

“Bahawa Dewan mengizinkan YB Lim Kit Siang, ahli parlimen Ipoh Timor untuk menangguhkan Dewan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) untuk merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendaki disegerakan, iaitu dua orang guru besar dari Kulai, Johor dan Bukit Selambau, Kedah yang melafazkan kata-kata racis dan menghina terhadap pelajar-pelajar mereka di sekolah dalam bulan Ogos tahun ini, sehingga kini tidak dikutuk atau diambil tindakan displin sekeras-kerasnya oleh pihak yang berkenaan selaras dengan semangat 1Malaysia.

“Dua bulan selepas guru-guru besar dari Kulai dan Bukit Selambau berkenaan - yang antara lain, melabelkan pelajar-pelajar bukan Melayu di sekolah mereka sebagai 'pendatang', menggesa pejalar-pelajar kaum Cina supaya 'balik Cina', serta membandingkan benang sembahyang yang dipakai oleh pelajar beragama Hindu sebagai pengikat anjing - menunjukkan sikap rasis tidak sejajar dengan jawatan mereka sebagai pendidik yang berkredibel, timbalan perdana menteri serta menteri pelajaran masih berkeras bahawa beliau tidak berdaya mengambil tindakan untuk memperbetulkan keadaan, sebaliknya mengizinkan kedua-dua guru besar yang berkenaan meneruskan tugas mereka seperti sediakala.

“Di samping itu, ketua pengarah kementerian pendidikan yang mengeluarkan pekeliling kepada semua guru-guru besar dan guru-guru dalam bulan Ogos untuk memberikan amaran bahawa 'tindakan akan dikenakan ke atas mereka yang mengeluarkan kata-kata rasis di sekolah', tidak pula mengenakan tindakan displin ke atas kedua-dua guru besar yang berkenaan sehingga kini, menunjukkan tidak wujud iltizam politik atau falsafah pentadbiran yang betul dalam negara ini untuk membanteras ketaasuban perkauman.

“Semua ini merupakan sindiran langsung terhadap tema hari kebangsaan tahun ini iaitu '1 Malaysia Menjana Transformasi' serta membelakangkan perisytiharan 'toleransi sifar terhadap rasisma' Perdana Menteri sendiri.

“Pada masa apabila Perdana Menteri cuba mengamalkan dasar '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Didahulukan', seluruh pasukan pentadbiran beliau nampaknya tidak serius langsung terhadap dasar berkenaan, malah lebih cenderung untuk mendahulukan budaya rasis Biro Tata Negara - atau lebih tepat sekali, Biro Tentang Negara yang meracuni generasi muda dan para pendidik kita selama ini dengan mesej rasis yang songsang dan lebih
merupakan 'Trojan Horse' dalam usaha kita mencapai perpaduan negara.

“Perdana Menteri yang baru pulang dari Mesyuarat Asia-Eropah Kelapan di Brussels telah membangkitkan sekali lagi gesaan beliau di Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini supaya diujudkan pergerakan sederhana global semua agama yang memainkan peranan penting di dunia yang kini menghadapi ancaman melampau. Gesaan ini sesuai sekali diulangi di negara kita sendiri yang kini semakin terancam oleh anasir-anasir ketaasuban rasis dan pelampau agama yang mengancam ketenteraman negara serta menggoncang semangat majmuk yang merupakan batu asas Malaysia.”

Dewan Rakyat akan memulakan persidangan kali ketiga bagi penggal ini pada Isnin, 11 Oktober ini.


Oleh Ridzuan Yop

2010/10/11
APAKAH isu sebenar di sebalik dua pengetua sekolah menengah masing-masing di Johor dan Kedah dilaporkan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman ketika memberi ucapan di sekolah mereka Ogos lalu, sehingga mencetuskan polemik mengenainya.

Walaupun siasatan berhubung dakwaan itu sudah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pada masa sama, pelbagai pihak kesal kerana ada pihak begitu emosional terutama pembangkang yang mahu pengetua terbabit segera dihukum.
Sudah pasti ada pihak yang sengaja memutar-belitkan isu itu dan tanpa usul periksa menuduh ia berbaur perkauman disebabkan ada pihak yang kurang senang atau menyalahtafsirkan ucapan yang dibuat oleh pengetua terbabit.
Persoalannya, benarkah pengetua berkenaan membuat ucapan sedemikian dan disifatkan oleh pihak tertentu sebagai perkauman atau berlaku provokasi terhadap pengetua terbabit? Pada masa sama tidak dinafikan ia mungkin berpunca daripada beberapa rentetan dan situasi yang berlaku membabitkan pelajar di sekolah itu sebelum ini.

Tugas hakiki seorang pengetua atau guru besar di sesebuah sekolah tidak sekadar memberikan ilmu kepada pelajar, tetapi antara keutamaan adalah mendisiplinkan mereka.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, sendiri dilaporkan berkata, insiden itu hanyalah salah faham. Namun, kenapa masih ada pihak yang mahu mengungkitnya dan beriya-iya mahu pengetua terbabit dihukum?

Sudah pasti ia tidak lebih daripada tindak tanduk pembangkang yang menggunakan apa saja isu bagi menangguk di air keruh. Semua tuduhan pihak terbabit sengaja diputar belitkan bagi membesarkan isu itu demi kepentingan politik sempit mereka sehinggakan ada pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) turut terperangkap sehingga ‘menari’ ikut irama mereka.
Sebagai penjawat awam, mereka tidak boleh diadili berdasarkan aduan pihak yang tidak berpuas hati dengan pengetua berkenaan atau andaian pembangkang semata-mata.

Selepas usaha pihak terbabit tidak berjaya untuk ‘menghukum’ pengetua berkenaan, mereka lantas mempolitikkannya dengan menjadikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran sebagai sasaran.

Pembangkang mendakwa kononnya Menteri Pelajaran enggan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengetua di Kulai Jaya, Johor dan seorang guru di Bukit Selambau, Kedah yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Bagi menolak tuduhan itu, Muhyiddin menegaskan walaupun sebagai Menteri Pelajaran, beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengetua dan guru walaupun didakwa melakukan kesalahan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata isu itu tidak wajar dipolitikkan lagi kerana ia sudah diselesaikan pada peringkat sekolah berkenaan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sendiri berjumpa dan menyelesaikannya secara baik dengan semua pihak terbabit.

Beliau berkata, semua pihak terbabit terutama pembangkang tidak wajar memanaskan lagi isu itu yang sudah pun reda kerana ia hanya akan membawa kepada perasaan benci membenci antara kaum jika terus berlanjutan.

“Perkara itu sebenarnya sudah diselesaikan oleh semua pihak terbabit di peringkat sekolah lagi dengan kerjasama PIBG sekolah berkenaan. Semua pihak memahami keadaan yang berlaku kerana salah tafsir terhadap ucapan dibuat.

“Kenapa pembangkang memainkan isu ini? Adalah jelas kerana mereka mendapat faedah politik dan saya mempersoalkan keikhlasan mereka dengan melakukan pendekatan terpilih sedangkan isu klip video yang diterbitkan Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee jelas mengandungi unsur perkauman,” katanya.

Klip video bertajuk Namewee F**k Racism Malaysia NAH! itu merujuk kepada kes seorang guru yang dikatakan memarahi pelajarnya dengan perkataan berbaur perkauman.

Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, pembangkang mahu jika Namewee dikenakan hukuman, dua pengetua terbabit juga patut dikenakan tindakan.

Bagaimanapun, katanya, ia adalah dua keadaan berbeza kerana isu perkauman yang dibawa oleh Namewee adalah jelas mengandungi unsur perkauman, hasutan dan boleh menggugat keselamatan negara, berbanding ucapan pengetua terbabit yang jelas disalah tafsir oleh pihak yang membuat aduan.

Namun, katanya, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengetua, guru besar atau guru yang dengan sengaja membuat kenyataan berbaur perkauman sehingga boleh menjejaskan keharmonian kaum di sekolah dan negara keseluruhannya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]