Maqasid Dan Manhaj Perjuangan UCAPAN DASAR KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 2010 20 OKTOBER 2010, 8.30 PAGI, DEWAN MERDEKA, PWTC “MAQASID DAN MANHAJ PERJUANGAN” Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap, Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap, Wakil-wakil Majlis Tertinggi - YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman - YBhg Dato’ Zainal Abidin Osman - YB Dato’ Dr Mohd Puad Zarkashi Yang Berhormat Dato’ Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Para Perwakilan dan Pemerhati 1. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, kerana dengan rahmat dan izin-Nya dapat kita semua berkumpul di Dewan Merdeka yang penuh bersejarah di pagi yang berbahagia ini bagi urusan Perhimpunan Agung tahunan kita, selaras dengan lunas-lunas demokrasi, perlembagaan dan tradisi parti. 2. Kita bersidang sekali lagi bagi menilai dan membahas bukan sahaja pencapaian kita dan parti kita bahkan hala tuju dan garis panduan perjuangan seterusnya. Di atas landasan ini, adalah diharapkan agar apa yang kita kerjakan diterima sebagai ibadah dan semoga kita dilimpahkan taufik dan hidayah oleh Allah SWT. 3. Sebagai sebuah organisasi politik yang berteraskan pencapaian, halatuju Pemuda UMNO perlu diukur dengan beberapa petunjuk prestasi, selaras dengan saranan YAB Timbalan Presiden semasa ucapan perasmian beliau pada tahun lepas. Secara khususnya, antara petunjuk prestasi politik yang menjadi kayu ukur kepada keberkesanan kita adalah pertambahan ahli dan juga sokongan pengundi muda terhadap UMNO dan Barisan Nasional. 4. Sukacita saya maklumkan bahawa semenjak penggal baru ini, Pemuda UMNO adalah penyumbang keahlian baru yang terbesar kepada parti, berbanding sayap-sayap lain dan parti induk sendiri, dengan pertambahan sebanyak 41,663 ahli, yang membentuk 43 peratus daripada keseluruhan ahli baru. Walaupun kita boleh merasa bangga dengan perkembangan ini, saya harap usaha Pemuda di setiap cawangan dan bahagian akan dapat dipertingkatkan lagi, kerana ada sesetengah bahagian yang hanya umpama melepas batuk di tangga dengan penambahan bilangan yang begitu kecil sekali. Setiap bahagian perlu mengambil tanggungjawab untuk meningkatkan jumlah pertambahan ahli baru seterusnya mendaftar mereka sebagai pengundi. 5. Sebagai parti gerakan massa, kita sememangnya memerlukan penglibatan besar dari anak-anak muda di peringkat akar umbi. Saya tidak mahu dengar lagi kes-kes di mana terdapat mereka yang mahu menyertai UMNO terpaksa menunggu beberapa tahun kerana karenah birokrasi dan juga sabotaj politik daripada mereka yang merasa terancam dengan kedatangan bakat baru. Saya telah berjuang untuk memastikan Ketua Pemuda Cawangan dapat menandatangani borang keahlian baru demi memudahkan anak muda menyertai UMNO. Pindaan ini perlu dimanfaatkan dengan usaha yang menyeluruh dan berterusan agar kekuatan jumlah keahlian kita dapat ditambah. 6. Kita telah melihat bermulanya bibit perubahan positif pengundi muda dengan beberapa siri pilihanraya kecil. Di Manek Urai, Bagan Pinang dan juga Hulu Selangor, keputusan dari saluran-saluran muda menunjukkan satu anjakan penerimaan generasi muda kepada UMNO dan Barisan Nasional. Di Hulu Selangor contohnya, kita telah memenangi 30 saluran pengundi muda pada pilihanraya kecil yang lalu berbanding hanya 11 dalam pilihanraya umum 2008. Pastinya ada beberapa faktor yang membawa kepada perubahan ini. Tetapi apa yang dapat kita halusi daripada semua keputusan ini adalah kebangkitan UMNO dan Barisan Nasional dalam pertimbangan pilihan politik generasi muda, antaranya, hasil dari usaha Pemuda dalam memenangi hati mereka. 7. Harus diingat bahawa kira-kira 80 peratus atau hampir 3 juta daripada pengundi baru pada pilihanraya umum akan datang terdiri dari pengundi muda. Peratus undian mereka dijangka naik daripada 41 peratus pada pilihanraya umum ke-12 kepada 49 peratus pada pilihanraya umum ke-13 nanti. Ini selari dengan dapatan kajian kita yang menyatakan bahawa 75 peratus orang muda merancang untuk keluar mengundi pada pilihanraya akan datang. Pada masa yang sama, kajian kita juga mendapati bahawa 62 peratus daripada mereka adalah kelompok atas pagar yang hanya akan memilih parti dan calon yang dianggap terbaik. 8. Kita mesti menerima hakikat bahawa pengundi muda sekarang boleh menilai antara retorik dan servis, wayang tinggi atau usaha yang jujur dan ikhlas. Politik yang seringkali hanya bermodalkan retorik, demonstrasi, membuat laporan polis dan mendesak kerajaan untuk menangkap sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan pemikiran politik kita, walaupun sesuai dalam konteks tertentu, tidak lagi digemari oleh anak-anak muda. Kemungkinan besar, cara berpolitik begini hanya akan mengakibatkan mereka pergi lebih jauh dari kita. 9. Peredaran zaman juga menuntut kita mencorakkan kepimpinan muda yang lebih terbuka dan progresif, yang disegani oleh setiap lapisan masyarakat dan juga semua kaum dan agama. Ini juga konsisten dengan politik moderat atau siyasah wasatiyyah yang diamalkan oleh YAB Presiden UMNO sendiri. Politik kontemporari juga tidak lagi mengizinkan kita untuk bergantung kepada politik teka-teki di mana strategi dicongak hasil telahan sendiri tanpa merujuk kepada pandangan dan buah fikiran kumpulan sasar. Kebangkitan pengundi muda menuntut cara dan halatuju baru. 10. Pendekatan ini telah kita lunaskan melalui satu proses penglibatan ataupun engagement process yang sebelum ini tidak pernah dibuat oleh Pemuda secara tersusun, sistematik dan terperinci. Bermula dari idea cetusan Presiden sendiri, Pemuda Barisan Nasional telah mewujudkan Makmal Generasi Muda atau BN Youth Lab untuk lebih memahami hati naluri anak muda Malaysia serta aspirasi, harapan dan kebimbangan mereka. 11. Beberapa saranan telah dicetuskan dalam Makmal ini yang merangkumi pelbagai aspek seperti perumahan, pendidikan, penjagaan anak-anak dan ibu bapa, gaji minimum, pinjaman PTPTN, pinjaman perniagaan dan harga barangan. Alhamdulillah, semasa pembentangan Belanjawan 2011, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan telah mengiktiraf suara anak muda negara yang di bawa oleh Pemuda BN dengan memasukkan ke dalam belanjawan beberapa cadangan penting dari Makmal Generasi Muda:- Pertama: Skim Rumah Pertamaku bagi membantu golongan muda yang baru bekerja dan berpendapatan kurang daripada RM3 ribu sebulan memiliki rumah dengan lebih mudah; Kedua: Penubuhan Dana Belia 1Malaysia bagi tujuan pembangunan generasi muda dan pelaksanaan program bercirikan semangat 1Malaysia dengan peruntukan RM20 juta; Ketiga: Komitmen Kerajaan ke arah gaji minimum melalui penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara; Keempat: Peruntukan dana RM474 juta bagi meningkatkan kemahiran melalui pelbagai institusi latihan bagi golongan bukan siswazah seperti lepasan sekolah; dan Kelimanya: Perluasan skop pelepasan cukai sedia ada bagi perbelanjaan menghantar ibu bapa ke pusat jagaan harian serta kos penjagaan mereka. Bahkan, buat pertama kalinya dalam sejarah, inisiatif Pemuda disebut dan diberikan pengiktirafan dalam ucapan belanjawan negara. Ini adalah sesuatu yang amat kita hargai. Yang lebih penting lagi, ramai anak-anak muda yang telah kita bantu melalui pelaksanaan dasar-dasar ini. Dalam isu gaji minimum, lebih daripada 6 juta pekerja muda akan diangkat martabatnya dengan pendapatan yang lebih setimpal. Manakala Skim Rumah Pertamaku pula memberi harapan dan juga peluang kepada ramai orang muda yang mungkin sebelum ini tidak mampu memiliki rumah sendiri. Saya juga telah dibanjiri dengan ratusan pesanan penghargaan di atas usaha Pemuda yang telah menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada mereka. Inilah dia perjuangan kita, pejuangan sejati demi generasi muda. Pemuda sebagai hati naluri, wadah aspirasi, jurubicara dan juara kepada semua anak Malaysia. Selain itu, Pemuda Barisan Nasional juga telah menganjurkan Rally 1Malaysia yang berjaya menghimpunkan 15 ribu anak muda berbilang kaum. Kita juga telah memulakan Jelajah 1Malaysia yang bukan sahaja bertujuan menggabungkan penyertaan anak-anak muda dengan program-program bercirikan perpaduan, bahkan akan menjelajah ke serata negara bagi membaik pulih ribuan rumah keluarga miskin. 12. Suka juga saya umumkan bahawa gelombang gerak kerja Pemuda yang seterusnya adalah bagi mengatasi masalah pengangguran di kalangan generasi muda. Kita tidak mahu pada ketika negara menuju ke arah status berpendapatan tinggi, masih ramai yang masygul dan melarat kerana tiada pekerjaan. Untuk itu, kita akan padukan agenda ini dengan pelbagai inisiatif yang meliputi perjuangan bagi skim insurans pengangguran generasi muda bagi mereka yang diberhentikan, penumpuan ke arah latihan bagi meningkatkan kemahiran dan penganjuran ekspo kerjaya bagi menemukan antara majikan dan pencari pekerjaan. 13. Dalam iltizam kita untuk menghayati dan menjuarai aspirasi orang muda, kita juga telah mengusulkan supaya Akta Universiti Kolej Universiti 1971 dipinda bagi membolehkan mahasiswa menceburkan diri dalam politik. Apa guna kita memukul canang bahawa orang muda adalah aset penting dan bakal pewaris kepimpinan negara jika hasrat mereka untuk diberikan kebebasan berpolitik kita kekang dan pandang serong? Sekali lagi, saya bersyukur atas pendirian dan sikap terbuka Presiden yang setuju mempertimbangkan cadangan ini. Pemuda bukan hanya mahu memberikan ruang kepada golongan cerdik pandai untuk menyumbang melalui politik tetapi lebih dari itu, mengiktiraf dan memartabatkan golongan ini yang sememangnya mengharapkan kepimpinan dari kita. 14. Bak kata Presiden, era ‘kerajaan tahu segalanya’ sudah berakhir. Mungkin dahulu, kita boleh menyuruh anak-anak muda untuk bersyukur dengan pembangunan yang dibawa oleh UMNO dan Barisan Nasional. Saya masih ingat tatkala saya di bangku universiti, kami diminta bersyukur dan berterima kasih, dan disuakan dengan dasar-dasar kerajaan tanpa diberikan ruang dan peluang untuk memberi input atau pandangan – semuanya sudah ditetapkan. Ini yang dimaksudkan dengan era ‘kerajaan tahu segalanya’. Hari ini, sekiranya kita menggunakan pendekatan yang sama dan cuba memikat hati orang muda dengan formula hutang budi politik, sudah pasti kita tidak akan diterima. 15. Ini bukan kerana orang muda buta akan sejarah atau tidak mengenang jasa orang lama, tetapi mereka tidak mahu terperangkap dan menjadi tebusan kepada sejarah. Walaupun generasi muda perlu diperingatkan tentang detik-detik hitam seperti peristiwa 13 Mei, mereka tidak mahu diugut atau dimomok-momokkan dengan ancaman bahawa jika mereka tidak ikut cakap kerajaan, pertumpahan darah antara kaum pada 13 Mei akan berulang lagi. Sudah menjadi lumrah jiwa muda, paksaan dalam membuat sesuatu pastinya tidak akan berakhir dengan baik, malah mungkin mengundang pemberontakan. 16. Perkara ini disentuh oleh Presiden sewaktu beliau berucap di sesi balairaya Makmal Generasi Pemuda BN. Beliau menyebut tentang political milieu atau persekitaran politik yang baru. Dalam dunia politik hari ini, kita tidak boleh menang hanya dengan bertongkatkan kuasa. Sebagai contoh Presiden menyebut tekanan yang diberi oleh mereka yang masih berpegang kepada taktik lampau dalam menangani kenyataan dan tindakan yang dianggap sensitif. Desakan mereka dalam menangani apa sahaja adalah untuk menangkap orang yang berkenaan dengan menggunakan kuasa yang ada. 17. Pastinya ada waktu dan masanya untuk kita menggunakan kuasa terutamanya apabila keselamatan negara diancam oleh puak-puak pengganas dan pelampau. Tetapi untuk kita bertindak menggunakan kuasa semata-mata setiap kali kita didepani dengan kenyataan yang menguji kesabaran pastinya tidak akan menyelesaikan masalah. Kita mungkin dapat menahan seorang dua tetapi bagaimana pula dengan ratusan ribu penyokong mereka yang lain? Akhirnya kita yang mendapat musibah kerana terkesima dengan sorak kuasa yang ada, akhirnya kampung kita yang tergadai. 18. Apa yang diperlukan hari ini adalah politik yang berteraskan pemikiran dan idea. Gelanggang siasah semasa tidak lagi memberi ruang kepada pertembungan kuasa semata-mata tetapi juga persaingan minda dan pertempuran idea – a battle of ideas. Suka tak suka, mereka yang mencabar ideologi politik kita perlu kita depani di pentas politik yang bertunjangkan ilmu, agar mereka dapat kita tewaskan dengan kekuatan hujah dan ketajaman intelek, bukannya bergantung kepada kuasa eksekutif semata-mata. 19. Anak-anak muda sekarang lebih gemar disajikan dengan pilihan politik yang menguji daya fikiran mereka. Penyebaran maklumat melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter sudah menjadi alternatif pilihan kepada media massa tradisi. Terdapat hampir 8.5 juta pengguna Facebook di Malaysia dan 84 peratus daripada mereka dalam lingkungan usia 35 tahun ke bawah. Pemikiran mereka dibentuk bukan melalui kenyataan atau ulasan Menteri dalam Buletin Utama atau Warta Perdana tetapi melalui apa yang mereka lihat dan dengar dalam YouTube yang tidak boleh dikawal atau dipengaruhi. Dunia anak muda begitu berbeza sekali – hari ini, dunia mereka dunia siber; dunia yang dipenuhi pelbagai maklumat dan interaksi 24 jam sehari, 7 hari seminggu. 20. Justeru, usaha mendampingi mereka juga mesti melalui pendekatan berpaksikan pemikiran dan pandangan yang lebih kritis dari era dahulu. Kita tidak boleh menyumbat mereka dengan propaganda berat sebelah. Kita perlu mengamalkan budaya inklusif yang menghargai partisipasi belia dan remaja; dan bukan lagi budaya politik dari atas ke bawah atau top down. Anak-anak muda ini mempunyai idealisme dan pandangan tersendiri dan cara untuk memenangi hati golongan ini adalah dengan melibatkan mereka secara langsung dalam proses pembinaan negara. 21. Bawalah mereka bersama dengan kita sepertimana pendekatan Rasulullah SAW terhadap pengikutnya. Walaupun Baginda dipilih oleh Allah SWT sebagai Rasul-Nya, kepimpinan Baginda tidak pernah menunjuk sikap bongkak dan sombong sehingga tidak mendengar pandangan orang lain. 22. Firman Allah SWT di dalam Surah Ali Imran, ayat 159 mengingatkan kita: Yang bermaksud: Maka adalah sebahagian daripada rahmat dari Allah (yang melimpah-limpah) bahawa engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (para Sahabatmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah (cacat-cela) mereka, dan pohonkanlah keampunan bagi mereka; dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan-urusan (yang penting). Kemudian. Apabila engkau telah berazam (membuat keputusan), maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. 23. Rata-rata generasi muda merasa gembira dengan kepimpinan Presiden parti yang bersifat inklusif, turut membuka ruang bagi mendengar pandangan golongan muda. Jelas keterbukaan Presiden memberi sinar harapan kepada orang muda bahawa mereka turut mempunyai hak dan peranan dalam mencorakkan masa depan negara. 24. Namun keterbukaan yang sama masih belum ditarikan oleh semua. Masih ramai yang ragu-ragu dan takut untuk membuka ruang partisipasi yang lebih luas lagi untuk orang muda. Malah, ruang untuk memperkasa dan menghakupayakan anak-anak muda dalam UMNO masih lagi sempit. Orang muda amnya amat berharap agar UMNO bersikap lebih terbuka kepada Pemuda. Didik dan bimbinglah kami, berilah tunjuk ajar serta pedoman agar kami tidak tersilap langkah. Anggaplah kami sebagai harapan dan bukan ancaman. Berikanlah juga kami peluang dan kepercayaan; upayakanlah kami untuk memegang dan menggalas tanggungjawab yang lebih berat lagi kerana saya percaya Pemuda hari ini bukan Pemuda yang mengejar jawatan, gila kuasa, tamak projek tetapi kami pendokong harapan, pembela nusa, pencetus semangat, satria setia. Pasang lilin jalan ke taman Hari malam gelap gelita Pemuda bukan tamak jawatan Kami pejuang nusa dan bangsa Buah kurma berlambak-lambak Orang memesan sini dan sana Keris bertempur disapu minyak Pokok ditanam ditabur baja 25. Pada ucapan dasar sulung saya selaku Ketua Pemuda, saya telah menyentuh tentang masa depan orang Melayu dan Bumiputera. Mutakhir ini kedengaran suara yang mengatakan UMNO tidak lagi menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera. Oleh kerana terlalu tertumpu kepada landasan kenegaraan, agenda bangsa dianggap dipinggirkan. Kumpulan-kumpulan lain, yang tidak perlu mengimbangi antara aspirasi bangsa dan kepentingan negara cuba mengambil kesempatan untuk menjadi wira. 26. Justeru hari ini, saya berdiri di hadapan saudara dan tanpa terbetik sedikitpun keraguan, menegaskan bahawa agenda perjuangan bangsa Melayu dan Bumiputera tidak akan sekali-kali dipisah dari UMNO dan sudah tentunya tidak dari Pergerakan Pemuda. Hakikatnya, UMNO itu lahir demi memperjuangkan hak dan suara orang Melayu. Biarpun masa berlalu yang turut membawa perubahan kepada lanskap politik, namun wadah perjuangan dan denyutan nadi politik kita masih sejitu dan seutuh selalu, senada dan seirama dengan pejuang-pejuang terdahulu. 27. Persoalan sama ada UMNO merupakan satu-satunya landasan untuk memperjuangkan nasib anak bangsa tidak sepatutnya diungkit. Dulu kini dan selamanya, UMNO lah yang menjadi benteng, UMNO lah yang menjadi perisai dan UMNO lah yang akan meneruskan perjuangan demi memartabatkan agama, bangsa dan negara. 28. Yang sepatutnya menjadi persoalan kita sekarang bukanlah matlamat perjuangan. Tanpa dipengaruhi emosi, kita harus berani memisahkan apa itu matlamat dan apa itu cara atau pendekatan. Kita harus memahami perbezaan antara maqasid atau objektif perjuangan dan manhaj atau cara dan pendekatan yang diamalkan. Perubahan yang dituntut kini bukan pada maqasid. Matlamat untuk memartabatkan orang Melayu tak pernah dilupa, jauh sekali dibuang. Apa yang perlu diubah adalah manhaj perjuangan atau cara yang digunapakai selama ini. 29. Ada yang mungkin bertanya, apakah manhaj yang sekian lama dilaksana itu perlu diubah? Bukankah pendekatan tersebut membawa segala kejayaan yang kita nikmati hari ini? Secara spesifik, bukankah pendekatan Dasar Ekonomi Baru (DEB) punca utama kemajuan orang Melayu dan kestabilan politik Malaysia pada hari ini? Kenapa perlu ada perubahan, meskipun dihadkan kepada manhaj dan bukan pada maqasid sekiranya pendekatan itu sudah terbukti menghasilkan kejayaan untuk Bumiputera selama ini? Mengapa perlu diperbaiki sesuatu yang tidak rosak? 30. Secara peribadi, saya melihat pencapaian DEB sebagai sesuatu yang amat membanggakan. Selain kemajuan ekonomi, keamanan negara dapat dipelihara sekian lama hasil keberkesanan DEB dalam membasmi kemiskinan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, disamping penyusunan semula masyarakat agar tidak lagi wujud pemisahan kaum yang ketara berdasarkan peranan ekonomi masing-masing. DEB telah mengurangkan kadar kemiskinan tegar rakyat daripada 50 peratus pada tahun 1970-an kepada 4 peratus ketika ini manakala kadar kemiskinan tegar Bumiputera dari 65 ke 5 peratus. 31. Usaha penyusunan semula masyakat melalui DEB telah melahirkan masyarakat perniagaan dan perindustrian serta para profesional Bumiputera. Kejayaan ini tidak dapat kita nafikan. Tetapi dalam apa juga dasar – waima dasar yang begitu penting kepada orang Melayu seperti DEB – sudah tentu ada kelemahannya. Dan apa juga dasar perlu dikaji semula setelah dilaksana sekian lama agar dapat dikemaskini sejajar dengan perubahan masa. 32. Dalam hal ini, kita perlu jujur dan jangan dipengaruhi emosi. Janganlah pula hanya semata-mata kerana kita menilai semula pendekatan atau manhaj agenda perjuangan bangsa, tuduhan pengkhianat dilempar. Jangan pula hanya kerana kita mahu meningkatkan lagi keberkesanan dasar atau mengenalpasti kelemahan pelaksanaan DEB, orang Melayu dihasut kononnya kerajaan BN tidak lagi peka dan prihatin terhadap nasib bangsa. Janganlah anak-anak muda Melayu ditakut-takutkan seolah-olah Melayu akan hilang dari muka bumi semata-mata kerana manhaj atau pendekatan perjuangan direkayasa untuk mencapai hasil yang lebih baik. 33. Sekiranya kita ikhlas dan mahu melihat pencapaian maqasid – matlamat – perjuangan bangsa, yakni Bumiputera yang maju dan berjaya atas kekuatan dan usaha sendiri, kita harus berani mengaku apa yang baik dan apa yang kurang baik dalam pendekatan kita. Apabila Model Baru Ekonomi diumumkan, ramai yang menzahirkan kebimbangan mereka bahawa agenda bangsa seolah-olah hilang dan lenyap, seumpama satu manifestasi lapuk yang tiada tempat dalam dunia tanpa sempadan. Terdapat segelintir orang Melayu yang merasa tercabar hingga beranggapan seolah-olah kita diserang dari pelbagai sudut sehinggakan usaha murni untuk mengkaji semula pelaksanaan dasar ini dipandang serong dan dianggap sebagai satu lagi cubaan untuk menghakis hak dan kedudukan istimewa Bumiputera. 34. Adakah kaum Bumiputera dapat terus melangkah maju sekiranya kita bersikap defensif dan hanya gah melaungkan kata-kata kononnya mempertahankan itu dan ini? Akan menjadi istimewakah orang Melayu hanya dengan kita memekik bertempik tentang kedudukan istimewa Melayu itu sendiri? Apakah dengan hanya kita memberi amaran kepada kumpulan-kumpulan pendesak tertentu supaya jangan bermain dengan api, Bumiputera akan berjaya? Atau adakah realitinya kita ini hanyut dibuai emosi sehingga kita lupa akan soal pokok – guruh berdentum, hujan tak ada; cakap besar, hasil tiada. 35. Apa yang perlu kita lakukan adalah mengakui kelemahan yang ada dan membina satu gagasan baru yang boleh melonjak kedudukan Bumiputera kepada satu tahap yang membanggakan. DEB sememangnya telah membawa pelbagai kejayaan tetapi ia tetap ada kelemahannya. Ekuiti Bumiputera telah meningkat jika dibandingkan dengan era pra-DEB tetapi pada era pertumbuhan ekonomi yang paling pesat sekitar tahun 1990an di mana peluang untuk mengagihkan kekayaan baru tersebut cukup luas, ekuiti Bumiputera telah susut daripada 20.6 peratus pada tahun 1995 kepada 19.1 peratus pada tahun 1999. Kita juga menyaksikan peningkatan jurang ketidaksamaan di dalam nisbah pendapatan Bumiputera dan etnik Cina dari nisbah RM1.74 pendapatan etnik Cina bagi setiap RM1 yang orang Melayu ada pada tahun 1990 ke RM1.81 pada tahun 1995. 36. Pada waktu itu, kita saksikan ramai jutawan Melayu yang diangkat dan diberi peluang melalui program penswastaan dan pemberian saham melalui pink form. Malangnya, saham yang diagih kepada Bumiputera untuk melonjakkan ekuiti bangsa dijual kerana ada yang mahu cepat kaya, mahu banglo mewah, mahu Mercedes mata bulat, mahu isteri muda sesuai dengan status yang baru. Mereka ini umpama lupa daratan dengan kekayaan yang jatuh ke riba. Pemberian yang sepatutnya menjadi amanah dan tangga membantu anak bangsa yang masih tidak menikmati apa-apa menjadi habuan dan milik sendiri. Sikap tamak haloba membuatkan mereka lupa kepada semangat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Semangat DEB untuk melahirkan lebih ramai tokoh korporat Melayu menyusuri kejayaan mereka yang dipilih tidak tercapai, disebabkan kerakusan yang mengaburi mata dan mendahului tanggungjawab kepada bangsa. 37. Inilah dianya antara ketirisan dan kepincangan yang melemahkan pelaksanaan DEB yang merupakan manhaj lama. Sepatutnya dengan segala kuasa dan dasar yang menyebelahi kita, orang Melayu tidak perlu lagi untuk bercakap tentang soal kuota pada hari ini. Kerana setelah sekian lama, bangsa kita sepatutnya sudah mampu berdiri gagah di atas dua kaki sendiri dan melepasi sasaran ekuiti 30 peratus, mencapai tahap pendapatan yang setanding dengan kaum lain serta berjaya menerokai sektor ekonomi yang menjana nilai yang tinggi. Malangnya kita perlu mengakui bahawa semua ini masih tidak tercapai. 38. Selaku Ketua Pemuda UMNO, saya banyak bergaul dengan anak-anak muda Melayu dari pelbagai lapisan masyarakat. Apabila saya ceritakan soal DEB dan perjuangan bangsa, mereka jawab: “Minta maaf. Apa yang saya dapat dari DEB?” Gaji mereka di bawah paras kemiskinan, ramai di kalangan mereka berhijrah ke bandar di mana kos sara hidup meningkat dengan lebih pantas dari pendapatan. Mereka Melayu, Bumiputera tetapi nikmat DEB tidak mereka rasai. Tanggapan mereka – persepsi yang mereka ada – DEB hanya menguntungkan segelintir Bumiputera elit yang ada kabel besar. Bagi golongan ini, sasaran ekuiti 30 peratus tidak bermakna kerana kebanyakkan mereka tidak pernah dan tidak mampu untuk membeli saham. Inilah juga satu contoh ketirisan di mana DEB, yang bertunjangkan kepada kesejahteraan semua, menjadi polisi yang dianggap elitis sehingga ramai di kalangan orang Melayu sendiri terpinggir dan tidak terbela. 39. Realiti ini menuntut kita membuat perubahan. Kita harus jelas bahawa Model Baru Ekonomi tidak mengetepikan agenda bangsa. Apa yang dilakukan adalah pengemaskinian terhadap cara pelaksanaan agar segala kelemahan DEB dapat diatasi. Mengapa kita perlu takut dengan agenda ekonomi yang berteraskan merit? Mengapa kita perlu gusar apabila mereka yang berkebolehan, yang genuine, diberi peluang untuk ke depan? Apakah kita terlalu dengki dengan bangsa sendiri yang rajin dan berbakat sehingga kita sanggup menghalang kejayaan mereka? Adakah kita umpama ketam di dalam bakul yang menarik turun sesama sendiri? 40. Manhaj baru mestilah berpandukan merit dan keperluan. Merit menekankan elemen daya tahan dan daya saing. Merit bemaksud anak Melayu yang mempunyai kebolehan, bakat dan potensi tinggi akan dicungkil, digilap dan diberi ruang untuk berjaya. Merit juga menuntut gelanggang sama rata dan sama luas agar petani yang paling inovatif, penjaja yang paling tekun, profesor yang paling ilmuan dan kontraktor yang paling kompeten diberi segala galakan tanpa disekat oleh kepentingan politik dan kekurangan kabel besar. Insya’Allah, dengan penerapan nilai dan budaya merit di dalam manhaj pengupayaan bangsa, orang Melayu akan mampu bersaing di persada global tanpa ditongkat lagi. 41. Prinsip keperluan bererti rakyat termiskin yang tiada harapan pembelaan kecuali melalui kerajaan tidak diabaikan. Bagi anak-anak muda yang merasakan bahawa mereka tidak memperoleh manfaat dari DEB selama ini, Model Baru Ekonomi wajib mengangkat martabat mereka. Jurang perbezaan pendapatan sama ada antara kaum mahupun dalam mana-mana kaum perlu dikurangkan. Tidak ada guna kita bercakap soal negara berpendapatan tinggi sekiranya golongan kaya jadi lebih kaya dan golongan miskin tetap sengsara. Model Baru Ekonomi yang berpandukan keperluan akan memastikan semua yang tercicir dalam pendekatan lama akan terbela. 42. Apa yang cuba disimpulkan di sini adalah antara matlamat dan cara. Pemuda UMNO merupakan harapan bangsa – dulu, kini dan selamanya. Tetapi harapan kita untuk bangsa adalah kejayaan yang hakiki dan kemajuan yang sejati. Kita mahu melahirkan naratif baru untuk orang Melayu yang tidak hanya sekadar tertumpu kepada mempertahankan hak, kedudukan dan keistimewaan. Kita perlukan naratif yang lebih berani demi mencapai kejayaan yang tidak kita kecapi sepenuhnya sebelum ini. 43. Sememangnya manhaj atau pendekatan itu terbina dengan onak duri dan cabaran di dalamnya. Adakalanya manhaj itu dipertikaikan dan mengambil masa yang panjang untuk diterima. Wajar kita menyingkap kembali sirah Islam yang menceritakan bagaimana ketajaman pemikiran dan pandangan jauh Rasulullah SAW di dalam perencanaan manhajnya bagi pengembangan agama Islam di dalam perjanjian Hudaibiyyah. Pada waktu itu, Suhail bin Amr, selaku wakil golongan Quraisy, menolak cadangan merujuk Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah di dalam perjanjian tersebut. Sungguhpun ditentang oleh para sahabat terutama Saidina Umar Al-Khattab dan Saidina Ali bin Abi Talib, Rasulullah tetap akur, dan dengan penuh hikmah bersetuju dengan panggilan Muhammad bin Abdullah. Rasulullah turut mengambil keputusan untuk menangguhkan perjalanan ke Mekah dan menerima beberapa syarat yang seolah-olah mengalah dan tunduk kepada sekatan orang Quraisy terhadap kemasukan para Mukminin di situ. Tindakan Rasulullah ketika itu sama sekali tidak disenangi para sahabat. Namun apa yang pasti kerendahan hati, kemuliaan serta hikmah yang ditonjolkan oleh Rasulullah itu bukan sahaja telah menjana pengiktirafan daripada golongan Quraisy malahan membuka jalan dakwah, yang akhirnya, menjadi kunci kemenangan besar Umat Islam dalam membuka kota Mekah. 44. Oleh itu, marilah kita mengakui dan menginsafi bahawa naratif baru ini tidak sesekali mengubah matlamat kita. Apa yang ingin ditekankan ialah cara bagaimana Bumiputera dapat diperkasakan, melalui pembaharuan kepada suatu agenda bangsa yang lebih segar dan relevan. Hari ini, kita ketepikan manhaj lama yang tidak memberi kejayaan menyeluruh kepada kita dan menerima pendekatan baru bertunjangkan merit dan keperluan yang akan membina keupayaan dan kapasiti bangsa tanpa melembabkan kerancakan ekonomi negara. Kita mahu melahirkan lebih ramai usahawan, teknokrat dan profesional yang mempunyai swadaya dan tidak mengharapkan bantuan dan ehsan Kerajaan, yang berdikari, berdiri di atas kekuatan mereka sendiri. Kita bukan bangsa subsidi tetapi kita bangsa yang punya harga diri. Kita mahu mengantarabangsakan kemampuan bangsa agar tidak terbatas dengan kebergantungan kepada keistimewaan dan kuota di dalam sempadan negara tetapi mampu mekar dan berjaya di persada dunia. 45. Naratif baru ini tidak hanya terhad kepada agenda ekonomi bangsa. Pendekatan baru yang lebih progresif juga melahirkan orientasi politik yang baru. Kerisauan bangsa mutakhir ini juga menyentuh soal kuasa politik. Ada yang berpendapat Melayu akan hilang kuasa politik kerana kebangkitan orang bukan Bumiputera sebagai kuasa penentu pilihanraya. Kumpulan ini mencadangkan agar Melayu bersatu untuk menjamin kuasa di tangan bangsa pribumi. 46. Saya tidak menentang penyatuan politik orang Melayu. Malah Pemuda UMNO pernah mengalu-alukan muzakarah yang dicadangkan antara UMNO dan PAS. Tetapi saya juga sedar bahawa telah terpahat dalam sejarah yang Melayu itu jarang sekali bersatu. Dalam lipatan sejarah moden, kecuali dalam penentangan terhadap Malayan Union dan perjuangan kemerdekaan, orang Melayu acap berpecah terutama dalam pemahaman dan ideologi politik. 47. Apatah lagi sekarang di mana setiap kali cadangan penyatuan itu dibangkitkan, ia disambut dengan sinis oleh pihak lain termasuk PAS. Malah dalam soal asas agama dan bangsa pun, PAS sanggup menolak tangan yang kita hulurkan dengan ikhlas kerana ketaksuban mereka kepada kuasa – sehingga yang haram menjadi halal, yang mungkar menjadi ma’ruf. 48. Walaupun ini tidak bermakna saya menolak kemungkinan kita bersatu semula, tetapi kita harus menerima realiti hari ini bahawa undi orang Melayu itu sudah berpecah. Tidak ada parti Melayu – baik UMNO mahupun PAS – yang boleh mendapat seratus peratus undi Melayu. Di kebanyakan kawasan, perpecahan politik orang Melayu adalah 50 peratus di satu pihak dan 50 peratus di pihak yang lain. 49. Ini bermakna siapa sahaja yang mahu menang mestilah menang dengan sokongan dari semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Kalau kita mengharapkan undi orang Melayu semata-mata, kita harus ingat bahawa hanya 73 kerusi Parlimen sahaja yang mempunyai majoriti dominan Melayu 70 peratus ke atas. Inilah hakikat dan realitinya. 50. Kita harus belajar dari keputusan pilihanraya umum yang lalu di mana jelas kita hampir kalah sebab hilang sokongan bukan Melayu. Sekiranya kita masih lagi berkhayal bahawa kita boleh menang tanpa sokongan mereka, 50 kerusi Parlimen BN yang sedia ada berada dalam bahaya. Sekiranya tidak ada usaha untuk mengamal kepimpinan yang inklusif lagi moderat, kepimpinan Melayu UMNO akan hilang pada pilihanraya akan datang umpama pepatah Melayu bagai pintu tak berpasak, perahu tak berkemudi. 51. Sudah tentu tanggungjawab utama menarik sokongan bukan Melayu terletak atas bahu parti-parti komponen tertentu. Segala kelemahan yang ada perlu diatasi dengan segera dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Tetapi dalam arena politik semasa – apatah lagi dengan gagasan 1Malaysia menjadi pegangan bersama – rakyat Malaysia mahu melihat semua parti BN mengamalkan pendekatan yang muhibbah, adil dan saksama. Kita tidak mahu menjadi pemimpin politik sesumpah sebagaimana yang wujud di pihak lawan, yang cakapnya tidak boleh dipegang. Lafaz janji yang hari ini ditutur kepada orang Melayu tanpa segan silu dipusing ceritanya bila ditutur kepada orang bukan Melayu. 52. Pada masa yang sama, janganlah pula memasang tanggapan bahawa pendekatan inklusif yang berjalan di atas landasan wasatiyyah ini adalah hanya suatu sandaran untuk menang pilihanraya. Sekiranya ia satu taktik politik semata-mata, matlamat untuk mewujudkan negara yang bersatu dan harmoni tidak akan tercapai. Politik moderat atau siyasah wasatiyyah ini perlu menjadi pegangan kita kerana keharmonian rakyat Malaysia adalah kunci kesejahteraan bersama. 53. Allah SWT berfirman dalam Surah Al Hujurat Ayat 13: Yang bermaksud: Wahai umat manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kamu daripada berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih berketurunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi mendalam pengetahuannya (tentang keadaan dan amalan kamu). 54. Inilah saranan dan panduan hablun minannas atau hubungan sesama manusia yang dianjurkan oleh Islam. Bahawa di dalam perbezaan itu ada rahmat dan hikmahnya dan adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai Khalifah di muka bumi Allah ini untuk menjaga keharmornian dan hubungan baik semua pihak. 55. Lantaran itu, adakah terhakis kemelayuan kita sekiranya perjuangan kita adalah perjuangan untuk semua kaum dan agama, tanpa menggadai prinsip perjuangan asas? Apakah kita murtad kerana mengutuk kecaman atau serangan yang dilakukan oleh pihak tertentu terhadap penganut agama lain? Apakah kita petualang bangsa kerana tidak bersetuju apabila orang bukan Bumiputera dipanggil pendatang dan penumpang? Jawapannya pasti tidak! 56. Dalam kita menyeru orang Melayu agar berjiwa besar dan menghayati politik kesederhanaan, sensitiviti Bumiputera juga perlu dijaga. Penghinaan agama Islam dalam YouTube baru-baru ini adalah satu contoh bagaimana kesabaran kita diuji. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan sasaran 30 peratus ekuiti perlu dihormati sebagai tiang seri dan aspirasi Bumiputera yang tidak menggugat hak mahupun merampas harta bangsa lain. Sekiranya kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan diminta dipelihara, sudah pasti kedudukan istimewa Bumiputera juga harus dipertahankan oleh semua rakyat Malaysia. Bagaimana pula perasaan orang Melayu apabila sukar mendapat pekerjaan di syarikat swasta kerana tidak boleh bertutur bahasa Mandarin yang rata-rata menjadi syarat dalam iklan pekerjaan. Atau lihat sahaja pada 50 syarikat yang mempunyai modal pasaran terbesar di Bursa Malaysia, tiada seorang pun CEO anak bangsa Melayu yang menjadi peneraju syarikat-syarikat milik bukan Bumiputera di dalam kumpulan ini. Takkan tidak ada seorang Melayu pun yang layak sedangkan ramai yang berjaya mengurus syarikat bertaraf antarabangsa seperti Petronas dan CIMB? 57. Pada masa yang sama, kita juga mesti memahami perasaan orang bukan Melayu – apabila dipanggil pendatang atau disuruh balik ke China atau India, bagaimanakah perasaan mereka? Ini juga negara mereka. Ini tanah kelahiran mereka; malah ibu bapa serta nenek moyang mereka juga lahir di sini. Apakah perasaan pelajar bukan Melayu yang miskin tetapi dinafikan biasiswa kerajaan walaupun mendapat keputusan yang amat cemerlang? Sering kali kita juga mendengar rungutan bahawa pentadbiran kerajaan didominasi orang Melayu. Takkanlah segelintir sahaja orang bukan Melayu yang layak memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam? 58. Apabila kita gagal untuk memahami dan menghayati perasaan kaum lain, tembok yang memisahkan kita akan menjadi lebih tinggi dan tebal. Anak muda Malaysia hidup dalam alam persekitaran kaumnya sendiri. Anak Melayu yang menghadiri sekolah agama, universiti di Timur Tengah dan menonton siaran Melayu di Astro Ria ibarat seorang mahkluk asing kepada anak Cina yang belajar di sekolah jenis kebangsaan, universiti di Taiwan dan dihibur dengan saluran Wah Lai Toi. Masing-masing masih menaruh syak wasangka sesama kita disebabkan tembok pemisah yang ada. 59. Gagasan 1Malaysia hendaklah didukung sebagai aspirasi bersama oleh semua kaum. Ibarat pepatah, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Sememangnya hidup bermasyarakat dalam sebuah negara berbilang bangsa menuntut banyak kesabaran dan hemah dari semua pihak. Kita jangan cepat menuding jari kepada kaum lain apabila timbul sebarang isu, baik besar ataupun kecil. Kita perlu memahami hati dan perasaan orang lain jika kita mahu orang lain memahami hati dan perasaan kita. Kita semua perlu mengandaikan diri kita menjadi orang yang lain, andaikan diri kita bertukar tempat, berganti nasib, barulah kita dapat menjiwai kebenaran sejagat bahawa sifat kemanusiaan kita bersama lebih menyatukan dari memecah belahkan kita. Rakyat Malaysia perlu bertolak ansur antara satu sama lain, dan ini sama sekali tidak bermakna satu kaum menolak kaum yang lain beransur-ansur. Justeru, biarlah jatuh bangun dan maju mundur negara ini, kita bersama juga menentukannya. 60. Kanta pemandangan kita – Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban mahupun kumpulan etnik lain – masih dipengaruhi identiti kaum dan agama. Walaupun identiti ini penting dan tidak mungkin terpisah dari diri kita, kepentingan negara, kepentingan bersama sebagai rakyat Malaysia harus sentiasa mengatasinya. Adalah menjadi kewajipan kita semua untuk meruntuhkan tembok dan benteng yang memisahkan kita. Apa juga perbezaan yang ada tidak boleh dijadikan halangan untuk hidup saling menghormati, saling memahami, berganding bahu, bersatu hati. Apa juga perbezaan kita, sebagai rakyat bumi bertuah ini, kita daulatkan Tuanku yang sama, kita tegakkan Perlembagaan yang sama, kita hidup di bawah undang-undang yang sama, kita berpegang pada nilai-nilai murni yang sama. Oleh itu, aspirasi, cita-cita, kepentingan nasional dan keharmonian bersama, jiwa dan semangat Malaysia mesti kita utamakan. Bagi setiap seorang dari kita, baik di dewan ini mahupun di luar sana, di desa mahupun bandar, di new village, estet mahupun kampung – bagi segenap warga Malaysia, di sinilah rumah dan keluarga, di sinilah kita bertaruh nasib, inilah negara kita, tanah tumpah darah kita, bumi dipijak langit dijunjung. 61. Inilah tradisi Barisan Nasional yang kian lama berjaya menyatukan kita semua, pelbagai kaum pelbagai agama, setiap dari kita adalah anak Malaysia. Kita perlu meyakinkan semula rakyat bahawa hanya Barisan Nasional yang mampu mengotakan ini semua. 62. Rentak tari pembangkang bermula dengan taburan harapan menggunung tinggi, sedalam lautan dan seluas benua. Namun, setelah pilihanraya umum ke-12 lebih 30 purnama berlalu, rentak tari mereka kelihatan semakin canggung, lagu iringan juga semakin sumbang. Ternyata mereka ini hanya indah khabar dari rupa. Nyiur manis lebat setandan Masak di bawah mayang mengurai Pembangkang dilanda krisis keyakinan Janji rakyat terhempas berderai Tinggi bukit Gunung Senanti Tempat unggas berulang siang Sudah lama tadbirkan negeri Lemah urusan salahkan orang 63. Rakyat juga sudah semakin mual dengan helah dan alasan mereka, bahawa setiap yang salah itu BN puncanya. Yang kita lihat selama ini, aset penyatuan mereka hanyalah politics of blame atau politik menyalahkan apa sahaja yang BN lakukan. Masalah agama, sosial, ekonomi dan perpaduan – semuanya ditalakan kepada BN. Apakah ekonomi negara akan bertambah maju dengan politics of blame ini? Apakah rakyat dapat disatukan dengan mencaci cerca BN? Apakah negara dapat mereka transformasikan hanya dengan menghentam BN? Pastinya tidak, melainkan hanya menimbulkan kekecohan dan porak peranda. Politik salahkan BN sebenarnya taktik murahan untuk menutup pekong mereka sendiri. 64. Di Selangor, kecurian pasir yang melanda bukan sahaja menodai muka bumi dan kepercayaan rakyat bahkan mendedahkan kepincangan pembangkang mentadbir negeri. Apa tidaknya, pada awal pendedahan kecurian pasir, mereka sekonyong-konyongnya menafikan masalah tersebut. Namun, setelah bertali arus pendedahan di buat oleh pihak UMNO barulah akhirnya mereka mengaku. Sudahlah mengaku hanya selepas kantoi, Kerajaan Pakatan di Selangor boleh dengan selamba meminta Kerajaan Pusat pula menyelesaikan masalah tersebut. 65. Pembangkang memang cakap tak serupa bikin. Lihat sahajalah isu surat sokongan. Lim Kit Siang sendiri dengan lantangnya menggesa agar ianya dihapuskan tetapi ibarat meludah ke langit, budaya surat sokongan ini ternyata lebih kronik di gelanggang mereka, apabila dicemari dengan elemen kongsi gelap, penipuan dan salahguna. Dalam manifesto pilihanraya lalu, DAP bukan main menabur janji bahawa parti itu akan memastikan bekalan air yang selamat, murah dan mencukupi. PAS pula berjanji akan menangani isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang. Itu janji-janji manis mereka. Tapi adakah kata sudah dikota; adakah janji sudah ditepati? Ternyata jauh panggang dari api. Realitinya, dalam kemeriahan umat Islam menyambut Aidilfitri, Khalifah Pakatan Al – Lim Guan Eng membawa ‘hadiah raya’ yang istimewa dengan menaikkan harga air. Hadiah raya yang sama turut diterima oleh rakyat Negeri Kedah. Murai berkicau riang bermain Rusa berjalan terkena jerat Janji lain buatnya lain Bermuka-muka menipu rakyat Ramai orang menggali perigi Dirikan khemah hari nak hujan Bila pembangkang tadbir negeri Barang dimuntah dikutip makan 66. Perbezaan fundamental antara Barisan Nasional dan pakatan pembangkang amat ketara. Bagi BN, gagasan kita jelas iaitu 1Malaysia. Tapi bagi pembangkang mereka umpama Cerberus, raksasa hodoh di dalam hikayat klasik Rumani dengan tiga kepala terjulur dari badan. Bayangkan betapa susah dan menyesalnya menjadi badan kepada raksasa ni – satu kepala nak makan, satu kepala nak tidur, satu lagi nak jalan, pasti huru hara jadinya. Itu belum lagi kalau ketiga-tiga kepala itu bergaduh, saling menggigit hingga boleh terjelepok jatuh di tengah jalan. 67. Politik raksaksa hodoh ini semakin nyata. DAP, sehingga mayat mereka dilangkah, tidak akan sebulu dengan PAS. Sungguhpun ada segelintir pemimpin PAS yang berkata penubuhan negara Islam bukan keutamaan demi menjaga hati DAP, tetapi jika ditanya Dewan Pemuda PAS, mereka masih tegar dengan perjuangan ini. DAP terus ditolak oleh orang Melayu yang tidak boleh menerima impian cauvinis mereka untuk meroboh tiang seri dan asas penubuhan negara. 68. PKR pula berkecamuk dengan krisis dalaman akibat politik ghanimah gilakan kuasa sehingga kerusi boleh terbang, pengundi hantu boleh wujud dalam senarai pemilih dan demokrasi dibunuh kerana jawatan tertinggi parti itu dianugerahkan kepada satu keluarga tanpa bertanding. 69. Penyatuan pakatan pembangkang ini hanyalah satu wayang bagi memastikan ikatan rapuh mereka tidak terungkai, agar tembelang dalaman mereka tidak dapat dihidu oleh sesiapa. Pakatan pembangkang kini bergolak, mereka semakin kusut dan tiada keupayaan untuk mentadbir negeri yang mereka kuasai. Pendek kata, they are not fit to govern. 70. Namun begitu, jangan sampai kita pula yang mengikut jejak langkah mereka; tidak membina kekuatan diri namun hanya bersandar dengan kelemahan pihak lawan. Kita tidak boleh leka dan mengharap sokongan rakyat datang bergolek. Kita perlu bekerja keras dan berjuang di dalam jihad kita menyelamatkan negara dari dimusnahkan Cerberus, raksasa berkepala tiga, sebelum ia menghancurkan negara. Walau badai datang melanda, walau bercerai jasad dan nyawa, Pahlawan Pemuda akan terus mengejar Cerberus sehingga ke hujung dunia bagi menghapuskan si biang keladi penjahanam rakyat dan pemusnah negara ini. 71. Apa yang terang lagi bersuluh ialah maqasid perjuangan kita tidak pernah hilang ditelan zaman, ia masih kekal, ia masih sama. Sama ketika bendera UMNO – Sang Saka Bangsa – mula-mula dikibarkan, sama ketika lagu keramat UMNO mula-mula dinyanyikan dan sama ketika pejuang terdahulu mula-mula menegakkan agenda perjuangan bangsa. Maqasid perjuangan inilah yang menjadi tunggak kekuatan UMNO selama ini. Maqasid perjuangan yang tidak mempunyai titik noktah ini wujud sebagai amanah yang diwarisi kepada generasi pejuang bangsa seterusnya. 72. Sedarlah saudara seperjuanganku, kekuatan UMNO itu datang dari kekuatan setiap ahlinya. Sejarah telah membuktikan bahawa biar apa jua kemelut yang melanda, ahli UMNO dari setiap pelusuk tanahair akan bangun menyahut cabaran demi menunaikan amanah perjuangan yang kita dukung bersama. Pada hari ini kita berada di persimpangan yang bakal menentukan halatuju perjuangan kita. Inilah saat dan ketika untuk kita berdiri dalam satu barisan, berlandaskan manhaj perjuangan yang sesuai dengan kehendak zaman dan menunjukkan kekuatan kita sebagai ahli UMNO yang tidak gentar diuji walaupun didepani dengan pelbagai ranjau, onak dan duri. 73. Saya ingin bertanya, adakah saudara bersedia untuk bersama-sama dengan saya menunaikan amanah yang kita warisi ini demi generasi masa hadapan? Jika saudara bersedia, berdirilah bersama saya dalam satu barisan dan kita buktikan di Galas, kita buktikan di Batu Sapi, kita buktikan pada pilihanraya yang bakal tiba bahawa generasi Pemuda hari ini kuat azam, kental semangat, membanting tulang menabur bakti, tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Dan dengan azam dan semangat ini, biarlah kita dikenang di dalam sejarah sebagai penerus maqasid perjuangan yang berjaya menyemarakkan obor perjuangan, demi masa hadapan kita bersama bertunjangkan semangat membujur lalu melintang patah, patah sayap bertongkat paruh, namun gunung tetap didaki. Berundur berpatah pantang sekali. Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!/td> |
Friday, October 22, 2010
UCAPAN DASAR KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA
Label:
PEMUDA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment