Saturday, November 13, 2010

Buruan 9 emas bermula

Link artikel: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm

GUANGZHOU – Malaysia membuka tirai Sukan Asia XVI yang dirasmikan semalam, dengan misi memburu pingat pertama dalam empat acara sukan yang menawarkan rebutan pingat hari ini.

Renang, basikal trek, menembak dan wusyu menjadi taruhan hari pertama kontingen seramai 333 atlet dan sebanyak 144 orang pegawai sepanjang temasya dari 12 hingga 27 November ini.

Pun begitu, wusyu dan basikal trek wanita menjadi tumpuan hari ini, dengan harapan dapat menyumbang pingat pertama negara tanpa mengira apa warnanya sekalipun.

Wusyu yang tidak pernah menghampakan kontinjen negara sejak temasya Busan 2002 dan Doha 2006 akan mempertaruhkan empat disiplin, Taolu Changquan (lelaki), Taolu Nandao (wanita), Taulo Nandaou dan Nanquan (wanita) serta Sanshou 75 kilogram dalam saingan, hari ini.

Diana Bong yang menyumbang gangsa di Doha empat tahun lalu, akan menjadi sandaran skuad wusyu dalam acara Taolu Nandao dan Nanquan. Turut bersamanya ialah Tai Cheau Xuen sementara Lee Sew Ket akan memikul cabaran lelaki Sanshou 75kg.

Wusyu turut menyumbang emas di Doha 2004 menerusi Chai Fong Ying dalam disiplin wanita Taijiquan.

Apa pun, tumpuan pada hari pertama Sukan Asia juga terarah kepada pelumba basikal wanita negara, Fatehah Mustapa yang akan bersaing dalam acara 500 meter ujian masa yang akan berlangsung di velodrome Guangzhou.

Fatehah yang masih segar dengan kemenangan dalam acara berbasikal trek Piala Dunia di Melbourne tahun lalu, enggan meletakkan harapan tinggi dalam acara yang bakal disertainya tetapi menaruh keyakinan untuk memberikan cabaran terbaiknya tatkala berdepan dengan ujian besar pelumba-pelumba lain terutamanya tuan rumah, China, Jepun dan Korea.

Selain Fatehah, acara berbasikal pada hari ini juga akan menyaksikan saringan awal trek berpasukan lelaki yang akan menampilkan gandingan Mohd. Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Mohd. Rizal Tisin. Sekiranya kepadatan jadual perlumbaan diambilkira, kemungkian besar tempat Azizulhasni dalam pecut berpasukan akan digantikan dengan Muhammad Edrus Md Yunos.

Selain trio pecut berpasukan, basikal trek juga akan mempertaruhkan Mohd. Akmal Amrun dalam acara 4 kilometer kejar mengejar individu lelaki dalam saringan awal hari pertama.

Sementara itu, akuatik yang secara realitinya tidak menjanjikan pungutan pingat akan bersaing dalam acara pertama 200 meter gaya bebas wanita yang menampilkan Chan Kah Yan dan Khoo Cai Lin manakala 400m rampaian individu pula akan digalas Ian James.

Skuad renang yang kali terakhir meraih pingat, perak daripada Lim Keng Liat pada Temasya Busan 2002 juga akn mengambil bahagian dalam 50m kuak dada, 200m kuak kupu-kupu dan rampaian 4x100m wanita.

Badminton berpasukan lelaki dan wanita juga akan membuka tirainya hari ini dengan sasaran wanita untuk mara ke saingan 16 terakhir manakala berpasukan lelaki ke aksi suku akhir.

Lain-lain acara yang turut bersaing ialah snuker, catur (lelaki dan wanita), kriket wanita, menembak (raifal) dan pingpong.

Dalam pada itu, sebanyak 145 atlet dan pegawai kontinjen Malaysia yang diketuai ketua kontinjen, Datuk Zolkples Embong mengambil bahagian dalam perarakan perasmian yang penuh gilang gemilang dan keunikan tersendiri China selaku tuan rumah temasya XVI ini.

Keunikan pada perasmian kali ini ialah ia dibuat dua tempat berbeza dengan pelayaran membawa kontinjen dengan menaiki bot melepasi Dataran Haixinsha dengan Malaysia diketuai Timbalan Ketua Kontingen Negara, Datuk Musa Omar bersama sembilan atlet negara.

Acara kemudian beralih dengan perarakan masuk semua kontinjen ke pentas utama. Malaysia menghantar seramai 477 atlet dan pegawai ke temasya ini.

Seramai 9,704 atlet mengambil bahagian dalam temasya yang berlangsung dari 12 hingga 27 November ini.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]