BERITA UTAMA Kenapa tanah Melayu mudah tergadai? LAPORAN media mengenai nasib penduduk Melayu Pulau Pinang mula berkocak semula. Ia gara-gara tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mula ‘menceroboh’ tanah didiami dan dimiliki penduduk Melayu. Walau apa pun status tanah tersebut, sama ada tanah persendirian, tanah syarikat, tanah ceti, tanah tol atau tanah pemaju, nampaknya segala pembangunan yang dijalankan seolah-olah mahu mengusir penduduk Melayu dari menetap di bahagian pulau. Kampung Jalan Pokok Asam dan Kampung Tengah di Jelutong, Kampung Genting di Balik Pulau, Kampung Permatang Tepi Laut di Batu Maung dan Kampung Teluk Kumbar menyaksikan betapa ramainya penduduk Melayu telah dan bakal diusir keluar dari tanah yang didiami mereka sejak lama dahulu. Apa sebenarnya berlaku? Benarkah mereka dihalau keluar dari tanah mereka? Wartawan Utusan Malaysia, ROHANA MAN dan NURUL HUDA HASSAN serta jurugambar, ZHAFARAN NASIB mengupas isu yang hangat diperkatakan sekarang. KEMELUT dan nasib penduduk Melayu di Pulau Pinang yang terpinggir telah lama kedengaran. Tetapi ia kini semakin lantang kedengaran disebabkan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mula mengambil satu demi satu tanah untuk tujuan pembangunan. Ya...kita tidak boleh menolak pembangunan. Tetapi soalnya, pembangunan yang bagaimana perlu dilakukan agar keadilan sosial dapat dinikmati semua kaum di negeri itu. Apa yang jelas adalah pembangunan ‘berat sebelah’ iaitu sekadar membina pangsapuri mewah yang tidak mampu dimiliki majoriti penduduk Melayu. Menitip pantun lama yang berbunyi: Pulau Pinang bandar baru, Kapten Light menjadi raja; Bila terkenang zaman dahulu, Jatuh berlinang air mata. Hakikatnya, nasib orang Melayu di Pulau Pinang mula dibangkitkan selepas pilihan raya 1969. Sejak kira-kira 40 tahun lalu iaitu sewaktu Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional yang diterajui UMNO, Gerakan, MCA dan MIC memerintah, memang banyak hal ehwal berkaitan nasib Melayu Pulau Pinang diperkatakan termasuk dalam isu tanah. Namun kita perlu faham bahawa masalah berkaitan tanah Melayu di Pulau Pinang memang rumit untuk diselesaikan kerana ia melibatkan banyak perkara terutama berkaitan status. Ini kerana sebanyak 60 perkampungan Melayu di Pulau Pinang merupakan tanah ceti atau tanah tumpang. Kesemua kampung itu kini mempunyai kira-kira 7,000 penduduk. Begitulah status tanah di Kampung Jalan Pokok Asam, Kampung Tengah, Kampung Permatang Tepi Laut dan Kampung Teluk Kumbar. Kesemua tanah itu kini telah dan akan menjadi milik pemaju. Ia jadi begitu selepas tanah yang diwarisi daripada nenek moyang telah digadai kepada ceti. Ceti pula menjual tanah itu kepada pemaju. Memang menyedihkan kerana rupa-rupanya selama ini, orang Melayu menumpang teduh di atas tanah yang asalnya milik mereka, tetapi terpaksa keluar dari kampung selepas mendapat perintah mahkamah. Dalam kes Kampung Jalan Pokok Asam, ia akan dimajukan dengan projek kediaman bertingkat berharga RM800,000 seunit oleh pemaju dari Kuala Lumpur. Ya...kita akui tanah telah tergadai dan penduduk tidak boleh berbuat apa-apa untuk kekal di kampung masing-masing. Namun, jika benar-benar kerajaan negeri yang dikuasai DAP prihatin terhadap nasib rakyat, tentu kerajaan negeri campur tangan dalam isu yang melibatkan nasib dan masa depan penduduk Melayu Pulau Pinang. Setakat hari ini, apa yang kita nampak penduduk kampung terpaksa berjuang sendirian untuk mendapatkan keadilan terutama dalam soal pampasan. Malah, lebih teruk ada penduduk tidak mendapat apa-apa pampasan. Di mana tanggungjawab sosial yang sepatutnya dipikul kerajaan negeri? Di sebalik itu, banyak pihak tertanya-tanya kenapa begitu mudah tanah Melayu Pulau Pinang tergadai? Adakah salah kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sehingga tahun 2008? Marilah kita berfikir jauh ke hadapan. Banyak pihak menuduh UMNO yang menjaga kepentingan penduduk Melayu Pulau Pinang menjadi punca kenapa banyak tanah Melayu tergadai. Ia satu tuduhan tidak berasas kerana UMNO tidak memiliki tanah-tanah tersebut. Ia adalah hak milik penduduk yang mewarisinya daripada nenek moyang mereka. Ketika mahu menjual tanah-tanah tersebut, mereka tidak merujuk perihal itu kepada pemimpin UMNO. Justeru, kenapa UMNO dipersalahkan? Penduduk menjual tanah atas kehendak sendiri selepas ‘kelabu mata’ melihat habuan lumayan yang bakal diterima. Namun banyak juga faktor lain yang perlu dilihat iaitu kebanyakan anak-anak muda tidak mahu lagi tinggal di kampung. Mereka meninggalkan ibu dan bapa sendirian di kampung. Oleh kerana ‘tiada sesiapa’ lagi di kampung, maka ibu bapa ikut berhijrah ke tempat lain untuk menetap bersama anak-anak. Akhirnya, tanah kampung dijual dan ini juga merupakan salah satu punca kenapa semakin banyak tanah milik Melayu tergadai di Pulau Pinang. Soalnya, kenapa tanah Melayu mudah sangat tergadai? Ia bertitik tolak daripada pendidikan dan pemikiran generasi nenek moyang yang ketika itu kurang bijak membuat keputusan yang betul dalam soal tanah. Ilmu yang cetek mengenai selok belok tanah yang dipajak, tanah yang digadai dan tanah yang berpindah milik kurang difahami. Faktor ekonomi yang rendah menjadi antara punca kenapa penduduk sanggup menggadai tanah. Mungkin mereka berharap generasi berikutnya dapat menebus semula tanah yang digadai. Tetapi, sebaliknya pula yang berlaku apabila tanah tidak ditebus sekali gus memaksa ceti menjualnya kepada pemaju. Dalam majlis forum bertajuk Isu Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang: Apakah Jalan Penyelesaiannya? baru-baru ini, seorang ahli panel memberitahu harga tanah di Georgetown sekarang adalah RM400 sekaki persegi. Melihat angka yang besar itu, siapa yang tidak kelabu mata? Menurutnya, harga itu adalah harga semasa pada Mac dan April 2010. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa mereka yang berpendapatan rendah, majoritinya Melayu tidak akan mampu membeli rumah di bahagian pulau. Trend pemaju di pulau itu sekarang adalah membina pangsapuri mewah yang tidak mampu dibayar oleh orang Melayu. Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, purata pendapatan per kapita mengikut kumpulan etnik bagi tahun 2004 menunjukkan kaum bumiputera memperoleh RM2,856 berbanding kaum Cina RM4,268 dan kaum India RM2,687. Meneliti itu, nampaknya orang Cina juga ramai yang tidak mampu memilikinya, apatah lagi kaum bumiputera. Yang mampu adalah orang luar dari Korea dan Singapura yang semakin banyak membeli pangsapuri mewah di pulau tersebut. Memetik kertas kerja bertajuk Ekonomi-Permasalahan Melayu Pulau Pinang oleh Amir Hussin Baharuddin dalam buku bertajuk Melayu Pulau Pinang terbitan USM: “Dulu kita tidak pernah bimbang penghijrahan orang Melayu Pulau Pinang ke tempat lain kerana penghijrahan mereka dilakukan secara sukarela untuk membaiki taraf hidup. Tetapi pada hari ini kita amat bimbang kerana Melayu Pulau Pinang dipaksa berpindah secara tidak sedar, dari rumah yang selesa ke flat yang seperti sangkar burung merpati atau dari dusun yang disayangi ke rumah pangsa tanpa tanah untuk bercucuk tanam. Mereka menjadi mangsa pembangunan. Melayu Pulau Pinang semakin terpinggir, mereka sudah tidak boleh bertahan lagi, mereka kabur dan terhimpit.” Justeru, kita seluruh anak Melayu di negara bertuah ini seharusnya berkongsi sama masalah yang melanda saudara sebangsa dan seagama mereka di Pulau Pinang yang nampaknya semakin terhimpit dengan mencari titik penyelesaian, bukannya menuding jari mencari kesalahan pihak lain semata-mata mahu menutup kelemahan sendiri. Hanya 1.16% tanah milik Melayu Bangunan Perodua yang turut berpindah milik ini terletak di Jalan Dato' Keramat, Georgetown. DAERAH Timur Laut merupakan kawasan yang paling pesat membangun di negeri Pulau Pinang. Ia kini muncul sebagai pusat komersial terbesar di negeri itu sekali gus menyaksikan kaum Cina menumpu di daerah tersebut. Penumpuan kaum Cina di kawasan bandar yang kini meliputi hampir seluruh daerah itu bermula sejak kedatangan Francis Light pada 1786 yang mana beliau bertanggungjawab membawa masuk banyak imigran dari China. Kesannya adalah apa yang kita lihat sekarang iaitu daerah Timur Laut kini mempunyai penduduk majoriti Cina. Perkembangan itu memperlihatkan kaum Melayu yang telah ada di pulau tersebut 'ditolak' ke kawasan yang lebih jauh dari pesisir pantai Timur Laut. Ini menyebabkan banyak kaum Melayu menumpu ke kawasan Barat Daya yang mana Balik Pulau merupakan salah satu kawasan majoriti berpenduduk Melayu. Situasi tersebut sekali gus menjawab kenapa kaum Melayu hampir tidak memiliki tanah di daerah Timur Laut. Ini dibuktikan dengan statistik terkini yang menunjukkan hanya 1.16 peratus kaum Melayu memiliki tanah di daerah tersebut, berbanding kaum bukan Melayu sebanyak 19.84 peratus. Peratusan lain tanah dimiliki oleh syarikat, agensi dan kerajaan negeri. Faktor yang menyebabkan kaum Melayu kurang mampu memiliki tanah di daerah tersebut adalah kerana harga tanah yang terlalu tinggi. Jika ada pun kaum Melayu memiliki tanah yang 'sekangkang kera' itu, ia adalah tanah yang diwarisi daripada datuk dan nenek moyang mereka sejak ratusan tahun lalu. Untuk memiliki tanah baru adalah mustahil bagi kaum Melayu Pulau Pinang memandangkan ada tanah terutama di Georgetown berharga RM400 sekaki persegi. Ini menyebabkan kaum Melayu tidak ramai yang tinggal di daerah tersebut yang juga merupakan pusat komersial utama di Pulau Pinang. Jika diteliti dari aspek ekonomi, memang satu kerugian besar kepada kaum Melayu yang tidak mampu membeli rumah dan tanah di daerah tersebut. Ketidakmampuan itu juga adalah kerana harga rumah yang terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki oleh kaum Melayu. Rata-rata seunit rumah bertingkat iaitu pangsapuri kos sederhana dan pangsapuri mewah ditawarkan pada harga antara RM300,000 hingga RM500,000 seunit. Malah, ada yang menjangkau harga melebihi RM1 juta seunit. Rumah atas tanah pula seperti rumah berangkai, rumah teres dan banglo pula ditawarkan pada harga yang lebih mahal, iaitu melepasi tujuh angka. Harga yang terlalu tinggi itu bukan sahaja menyebabkan kaum Melayu tidak mampu memilikinya, malah kaum Cina juga begitu. Ini kerana kebanyakan penduduk Cina yang kaya dan profesional kini lebih suka berhijrah ke luar negara. "Saya ada banyak kawan berketutunan Cina yang bekerja sebagai jurutera di kilang-kilang di sekitar Bayan Lepas berhijrah ke luar negara, khususnya Australia," kata seorang penduduk, Fatimah Ariffin yang telah bermastautin di Pulau Pinang sejak 21 tahun lalu. Faktor semakin ramai golongan profesional Cina dan kaya raya berhijrah ke luar negara diakui oleh Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk. Faktor berhijrah ke luar negara dan mempunyai anak yang sedikit dalam kalangan penduduk Cina menyebabkan jumlah penduduk majoriti Pulau Pinang hari ini adalah kaum Melayu. Sumber daripada Jabatan Perangkaan Negeri Pulau Pinang menunjukkan Statistik Penduduk Pulau Pinang Bagi Tahun 2009 adalah 44.89 peratus penduduk bumiputera, manakala penduduk Cina sebanyak 44.27 peratus. "Sungguhpun majoriti penduduk Pulau Pinang sekarang adalah kaum Melayu, tetapi jumlah mereka di bahagian pulau masih tidak dapat mengatasi jumlah penduduk Cina. "Ini kerana orang Melayu tidak mampu membeli rumah yang terlalu mahal di pulau terutama di daerah Timur Laut. Ia sekali gus memaksa mereka memiliki hartanah di Seberang Prai. "Mereka (orang Melayu) hanya berulang-alik dari seberang ke pulau untuk bekerja. Selain itu, kebanyakan kaum Melayu di daerah ini adalah kakitangan kerajaan. Dengan gaji kakitangan kerajaan, mana mereka mampu membeli rumah di sini," katanya. Menurutnya, kaum Melayu juga didapati lebih selesa tinggal di tanah besar kerana selain faktor harga rumah yang jauh lebih murah, mereka juga boleh memiliki rumah atas tanah seperti rumah teres, rumah berangkai atau banglo. Katanya, faktor keselesaan hidup di rumah atas tanah turut mempengaruhi kaum Melayu berpindah ke tanah besar. Keadaan itu juga katanya membuatkan kehadiran orang Melayu di daerah Timur Laut tidak ada kesan untuk mewujudkan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melayu di situ. "Dari aspek politik, apa yang patut wakil rakyat Barisan Nasional buat adalah mempertahankan kerusi yang sedia ada. Ini kerana kajian mendapati agensi amanah yang dianugerahkan tanah untuk bumiputera di daerah itu tidak mempunyai tanah yang cukup untuk bawa masuk orang Melayu (pengundi) ke Timur Laut," katanya. Beliau juga berkata, kebanyakan tanah milik agensi amanah bumiputera pula terletak di kawasan yang tidak strategik sekali gus gagal menarik minat kaum Melayu untuk menetap di situ. "Orang lebih suka tinggal di kawasan yang ada aktiviti ekonomi yang aktif. Kawasan seperti itu pula banyak terletak di pusat-pusat komersial di tengah bandar, sedangkan tidak ramai Melayu mampu tinggal di bandar. "Keadaan ini menyebabkan lama kelamaan kehadiran orang Melayu di bandar dengan sendirinya akan terhakis," katanya. Agak menakutkan melihat nasib orang Melayu di Pulau Pinang hari ini kerana di bawah kepimpinan kerajaan DAP sekarang, agensi amanah yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan kaum Melayu di negeri itu menghadapi kesukaran untuk menjalankan projek. "Projek-projek yang dijalankan oleh pihak swasta pula semuanya lebih menjurus kepada meraih keuntungan yang berlipat kali ganda. Ini menyebabkan mereka hanya mendirikan projek pangsapuri mewah yang berharga lebih daripada RM300,000 seunit. "Pada harga itu, tentulah orang Melayu tidak mampu membelinya. Lama kelamaan juga, orang Melayu dengan sendirinya akan berpindah ke seberang, sekali gus menghakis pemilikan hartanah di bahagian pulau,"tambahnya. Azeem menegaskan, oleh kerana faktor yang menolak orang Melayu keluar ke seberang adalah ekonomi maka meningkatkan pencapaian ekonomi kaum Melayu perlu menjadi agenda utama pemimpin Melayu hari ini. "Selagi orang Melayu tidak ada kuasa ekonomi dan kuasa beli sebagaimana kaum Cina, maka selagi itulah orang Melayu Pulau Pinang akan ketinggalan dan terus terpinggir," katanya |
Monday, November 22, 2010
MASIH ADAKAH TANAH MELAYU DI PENANG?
Label:
TM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment