Friday, November 12, 2010

MENANG PRU 13 : KEKALKAN MOMENTUM 4 NOVEMBER

SEORANG pensyarah sains politik dari Singapore Management University, Associate Professor Dr. Bridget Welsh telah menyenaraikan lapan faktor yang menyumbang terhadap kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Batu Sapi dan Galas pada 4 November lalu. 

Di samping mengikuti kedua-dua pilihan raya kecil itu melalui media cetak, maya dan elektronik, Profesor Welsh turut menyaksikan sendiri proses berkempen di kedua kawasan berkenaan.

Wajib dipertahankan oleh BN demi menjamin kemenangan yang lebih besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

APA DIA ?
Analisis Profesor Welsh yang saya anggap cukup objektif dan sistematik bolehlah dijadikan asas dalam merangka strategi yang lebih berkesan untuk meningkatkan prestasi BN bukan sahaja di Galas dan Batu Sapi malah di kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang lain.


Seiring dengan itu, langkah-langkah muhasabah atau introspeksi bukan sahaja perlu diteruskan, malah perlu dipertingkatkan. Dan yang tidak kurang pentingnya muhasabah atau introspeksi mestilah disusuli dengan tindakan-tindakan konkrit yang sistematik terutama dalam bidang latihan berorganisasi (terutama untuk memenangi pilihan raya) dan pendidikan politik (untuk memantapkan ideologi parti UMNO/BN).


Untuk meneliti lebih lanjut analisis Profesor Welsh itu, saya sarankan lapan faktor yang dikenal pastinya itu dibahagikan kepada tiga kategori. Kategori pertama ialah faktor-faktor dalam kawalan BN sendiri iaitu (i) jentera pilihan raya yang lebih berkesan, (ii) sentuhan peribadi dan peranan pemimpin-pemimpin utama tempatan (Tengku Razaleigh Hamzah di Galas dan Datuk Musa Aman di Batu Sapi), (iii) pesanan perpaduan kaum yang lebih baik khususnya yang disarankan dalam gagasan 1Malaysia.


Kategori yang kedua berhubung kait dengan masalah dalaman pakatan pembangkang termasuk (i) percakaran sesama sendiri antara puak-puak dan tokoh-tokoh tertentu dalam pakatan itu (ii) daya tarik (kehadiran?) tokoh-tokoh kebangsaan yang kurang memberi impak.
Dan kategori ketiga ialah persekitaran sosio-ekonomi yang berubah-ubah, seperti (i) ekonomi yang secara relatif dapat dianggap makmur, (ii) pengundi generasi muda yang berubah selera, (iii) keupayaan memberi 'habuan'.


Galas dan Batu Sapi, dianggap mempunyai persamaan sebagai kawasan spara-desa (semi rural) dengan profil pengundi yang bercampur (pelbagai kaum atau pelbagai kumpulan etnik). Kawasan pilihan raya spara-desa dengan profil pengundi yang sedemikianlah seperti juga Hulu Selangor yang sebenarnya menjadi 'medan penentu' penting dalam persaingan BN dan pakatan pembangkang.


Kawasan yang dianggap 'sepenuhnya bandar' sememangnya sudah diketahui sebagai lubuk DAP. Manakala kawasan yang berstatus 'luar bandar,' pada umumnya masih cenderung menyokong UMNO kecuali di kawasan-kawasan tertentu di Kelantan.


Justeru, BN perlu mengkaji dengan teliti faktor-faktor yang menyumbang terhadap kemenangannya di Galas dan Batu Sapi untuk dijadikan iktibar dalam pertarungan Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Kata perbilangan Melayu: 'Mengambil contoh kepada yang sudah, mengambil tuah dari yang menang.'


Antara contoh yang patut diteladani daripada pengalaman BN di Galas ialah 'kematangan politik' yang diperlihatkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau mengutamakan kepentingan parti berbanding dengan 'ego' atau 'kemegahan peribadi.'


Umum mengetahui bahawa Tengku Razaleigh mempunyai pendapat yang berbeza dengan Kerajaan Pusat mengenai isu pemberian royalti minyak kepada Kelantan. Tetapi perbezaan pendapat sedemikian tidak menghalangnya daripada memberi kerjasama sepenuhnya untuk menjamin kemenangan BN di Galas.


Tengku Razaleigh memperlihatkan watak seorang negarawan, 'berhati rendah, berhemah tinggi.' Beliau masih belum lupa dengan gaya politik lama pada zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak yang mana 'sentuhan peribadi' dan kesederhanaan menjadi pedoman.


Watak sedemikianlah yang perlu ditauladani oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang lain untuk menangkis tuduhan 'angkuh' dan 'tamak' yang sering diulang-ulang oleh pihak-pihak yang muak dengan UMNO.
Sesungguhnya menangkis tuduhan angkuh dan tamak itulah salah satu tanggungjawab utama UMNO untuk mengembalikan keyakinan rakyat.


Dari satu sudut lain saya melihat kehadiran Tengku Razaleigh dalam pilihan raya kecil itu sebagai satu pengiktirafan terhadap tradisi dan sejarah. Saya melihatnya sebagai satu gambaran (atau kesedaran baru ) betapa pentingnya kesinambungan dalam proses perubahan.


Justeru, salah satu kesilapan UMNO selama ini, pada hemat saya ialah melupakan aspek kesinambungan dalam proses perubahan. Sudah sekian tahun kita tidak dapat merasakan kesinambungan peranan pelbagai biro dalam batang tubuh UMNO. Sedangkan di suatu masa dahulu kita melihat Biro Kebudayaan, Biro Pendidikan, Biro Agama, Biro Buruh (di zaman Radin Supartan) berfungsi mengadakan pelbagai kegiatan masing-masing.


Kegiatan-kegiatan tersebut bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan pemahaman terhadap isu-isu tertentu dalam bidang-bidang berkenaan, malah yang tidak kurang pentingnya ialah meningkatkan esprit de corps dalam kalangan ahli parti.


Semuanya itu mengingatkan kita kembali tentang peranan sejarah atau pengetahuan tentang masa silam untuk meningkatkan pemahaman kita tentang hakikat masa sekarang dan memberi perspektif yang betul tentang masa depan yang hendak dituju.


Kesimpulannya, jika Menteri Pelajaran telah berazam hendak menjadikan subjek Sejarah sebagai wajib lulus untuk memperoleh SPM, maka wajar pulalah Biro Latihan atau Biro Pelajaran UMNO menganjurkan kursus 'Sejarah Parti' untuk meningkatkan pengetahuan dan penghayatan perjuangan UMNO di kalangan para pemimpin dari peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya.


Semoga semuanya ini akan menolong meningkatkan dan melanjutkan 'Momentum 4 November.'


Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya


Sebab itu boleh dikatakan 'musim bunga' bagi BN masih jauh lagi.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]