Wednesday, December 1, 2010

ANTARA KETUANAN MELAYU DAN KETUANAN RAJA.

Tiada istilah ketuanan Melayu dalam Perlembagaan: Kay Kim


2010/11/30


KUALA LUMPUR: Istilah 'Ketuanan Melayu' tidak perlu
dibahaskan kerana ia tidak wujud dalam Perlembagaan Negara, kata pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim. Beliau berkata dalam aspek sejarah, hanya 'Ketuanan Raja' yang termaktub
dalam perlembagaan kerana rakyat perlu menunjukkan taat setia kepada raja.
"Sebelum ini tidak pernah disebut 'Ketuanan Melayu' dalam masyarakat Melayu.
Dalam sejarah hal sebegitu tidak betul. Yang ada dalam perlembagaan cuma
'Ketuanan Raja' iaitu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
"Orang Melayu mendapat hak keistimewaan kerana mereka adalah rakyat raja,
kerana itu raja yang penting. Kedudukan orang Melayu memang diberikan
pertimbangan khas dan tidak perlu dipersoalkan," katanya kepada Bernama malam ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai Ketuanan Melayu yang dibangkitkannya
ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh parti itu
Ahad lalu.
Dr Wan Azizah meminta konsep Ketuanan Melayu dihapuskan bagi membolehkan
anak-anak membesar dengan visi 'bangsa bermaruah' atau 'Melayu bermaruah'.
Khoo berkata istilah Ketuanan Melayu hanya dibangkitkan oleh ahli politik
bagi tujuan politik semata-mata, dan beliau melihat ahli politik sekarang
sering membangkitkan isu yang boleh mendatangkan konfrontasi antara kaum.
"Ahli politik seharusnya memberi perhatian kepada perkhidmatan mereka kepada
rakyat, menolong rakyat. Bukan menggalakkan rakyat untuk bergaduh," katanya.
Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin sependapat dengan Khoo bahawa
istilah Ketuanan Melayu hanya ciptaan ahli politik dalam menggambarkan kedudukan
politik dan ekonomi orang Melayu.
Sambil mempersoalkan tindakan Dr Wan Azizah, beliau berkata kenyataan isteri
Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanyalah gimik politik dan untuk menutup kemelut
yang dihadapi PKR ketika ini.
"Saya tidak tahu kenapa timbulkan isu ini. Apa yang saya nampak adalah
'Ketuanan Anwar' dalam PKR. 'Ketuanan Anwar' yang perlu dihapuskan. 'Ketuanan
Melayu' hanya nak kaburkan 'Ketuanan Anwar'. Pada pandangan saya, konsep itu
(Ketuanan Melayu) tidak ada," katanya.
Beliau berkata Dr Wan Azizah perlu melihat semula apa yang dimaksudkan
dengan ketuanan itu dan tidak seharusnya mempersoalkan hak keistimewaan orang
Melayu yang telah termaktub sejak zaman kesultanan Melayu lagi.
Shamsul Amri berkata jika dilihat dalam soal ekonomi, kaum Cina mendominasi
sebanyak 70 peratus daripadanya manakala Melayu hanya 30 peratus, dan tiada
istilah kaum Melayu mendominasi dalam semua aspek.
"Kalau kita lihat sepatutnya 70 peratus itulah yang tuan. Jadi, ketuanan
Melayu itu menunjukkan apa? Apa dia ketuanan itu? Dia (Dr Wan Azizah) sendiri
tidak jelas apakah maksud ketuanan itu," katanya.
Beliau berkata ahli politik seharusnya memikirkan isu yang relevan untuk
dibincangkan dan tidak membangkitkan isu yang boleh mendatangkan kesan buruk
antara kaum. -- BERNAMA

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]