Di sebalik ketelusan WikiLeaks Oleh Ku Seman Ku Hussain Kerahsiaan menjadi agenda teratas bagi sistem pertahanan di mana-mana negara di dunia. Kehebatan strategi pertahanan bukan sahaja diukur oleh senjata berteknologi tinggi tetapi juga sistem yang melindungi sebarang rahsia mengenai pertahanan negara dibocorkan. Bayangkan apabila Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) atau Pentagon dicerobohi dan banyak rahsia tentang strateginya dicuri. Bayangkan pula apabila Agensi Perisikan Pusat (CIA) misalnya berjaya menceroboh sistem pertahanan Iran memusuhi AS. Kedua-dua negara ini terdedah kepada serangan musuh yang sudah menggenggam rahsia pertahanannya. Fail-fail rahsia mengenai keselamatan di sesebuah negara adalah nyawa. Sekiranya ini terjatuh ke tangan musuh, strategi dan kekuatan sudah bocor, benteng pertahanan dengan sendirinya runtuh. Selepas personaliti yang cukup digeruni ketika ini, Julian Assange melancarkan peluru berpandunya, WikiLeaks ke arah AS, beratus ribu dokumen rahsia AS menjadi tatapan dunia. Perisik sekaligus penceroboh seperti CIA atau KGB barangkali sudah tidak diperlukan lagi. Kehebatan dan kelicikan WikiLeaks jauh meninggalkan CIA yang hanya hebat dalam filem-filem Hollywood. WikiLeaks telah mendedahkan beratus ribu dokumen rahsia AS yang melibatkan perang di Afghanistan dan juga Iraq kepada umum. Laman sesawang itu kini menjadi satu fenomena baru pada era komunikasi siber. Dokumen-dokumen yang didedahkan memperlihatkan sistem pertahanan AS berada dalam bahaya. WikiLeaks merupakan pembocor rahsia terbesar melibatkan AS selepas muka depan akhbar New York Times mendedahkan The Pentagon Papers tahun 1971. The Pentagon Papers atau nama rasminya United States-Vietnam Relations, 1945-1967: A Study Prepared by the Department of Defense mendedahkan penglibatan jahat political-military AS dalam krisis di Vietnam pada 1945 hingga 1967. Perang siber telah bermula. AS bertungkus lumus mematahkan serangan WikiLeaks yang menceroboh Pentagon, simbol kehebatan teknologi pertahanan. Pada masa yang sama WikiLeaks terus menyerang negara-negara lain dengan membongkarkan dokumen rahsia masing-masing. Rusia pernah menggunakan kaedah perang siber semasa memerangi bekas negara Kesatuan Soviet, Estonia pada 2007 dan Georgia pada 2008. Dalam perang itu Rusia menceroboh dan melumpuhkan semua sistem komunikasi dan transaksi di semua pusat perdagangan. Ini telah melumpuhkan kedua-dua negara tersebut. Ketika Julian Assange dibebaskan dengan ikat jamin di London berhubung kes pencabulan wanita di Sweeden, pada masa yang sama AS mencari peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan ke atasnya. Tetapi lima lagi laman sesawang pembocor rahsia lain telah wujud dan memulakan operasi iaitu OpenLeaks, Brussels Leak, TradeLeaks, Balkan Leaks dan IndoLeaks. Laman sesawang ini menyerang balas AS selain menambahkan pembocoran rahsia sebagai sokongan kepada WikiLeaks. Ini membuktikan perang siber mengambil tempat perang konvensional pada abad 21. Apabila orang biasa boleh menyelinap masuk ke segenap bilik termasuk dalam "peti besi" yakni Pentagon yang menyimpan dokumen pertahanan penting, AS telah di dalam perang sebenarnya. Memanglah pendedahan itu memburukkan imej AS yang sudah sedia buruk. Tetapi yang lebih penting dihujah adalah semua negara terdedah kepada pencerobohan siber ini dan menganggu-gugat hubungan diplomatik. Mendedahkan Selain AS, WikiLeaks juga mendedahkan beribu-ribu dokumen rahsia negara lain. Rahsianya mengenai sikap terhadap negara jiran. Malah WikiLeaks juga menyeret Malaysia apabila mendedahkan sikap Singapura yang talam dua muka terhadap Malaysia. Pendedahan itu bukanlah mengejutkan kerana kita telah lama mengenali Singapura yang cuba menjadi "Israel" di tengah-tengah ASEAN. Setakat ini belum ada pihak yang menafikan dokumen itu sebagai palsu. Malah Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton sendiri mendakwa WikiLeaks sebagai penceroboh bukan penipu. Pengasas WikiLeaks ini menegaskan, "Kami adalah aktivis memperjuang ketelusan yang faham bahawa hanya kerajaan yang telus boleh menjadi kerajaan yang baik." Julian Assange sebenarnya seorang idealis, ketelusan mesti ada sempadan tertentu. Realiti sosial dan politik di dunia hari ini tidak mungkin menemukan dia dengan "kerajaan telus" seperti yang dimimpikan itu. Di sebaliknya baiknya mendedahkan kekejaman AS terhadap orang awam Iraq, WikiLeaks sebenarnya memberikan implikasi yang sangat bahaya terutama dalam hubungan antarabangsa. Ketelusan yang diperjuangkan oleh WikiLeaks mencetuskan ketegangan antara negara, malah menggugat dari aspek keselamatan. WikiLeaks sebenarnya bukan saja membuat pendedahan mengenai isu hak asasi manusia. Laman ini juga cenderung melagakan antara pemimpin-pemimpin negara dengan istilah-istilah yang boleh menegangkan hubungan diplomatik. Benar atau tidak dokumen itu kini bukanlah isunya tetapi kenapa WikiLeaks mulai cenderung kepada hal-hal gosip pemimpin. Kita semua dalam bahaya sebenarnya. Kita semua terjebak dalam perang siber yang dilancarkan oleh idealis Julian Assange ini. Kerana itu kita tidak boleh terlalu gembira apabila WikiLeaks mendedahkan pengakuan Lee Kuan Yew mengenai aktiviti seks songsang Anwar Ibrahim. Tetapi pemimpin-pemimpin kita yang lain juga tidak sepenuhnya selamat. Barangkali mereka ada rahsia mengenai rasuah atau skandal yang ditutup daripada pengetahuan rakyat. Kalau WikiLeaks boleh menceroboh dan membuka fail-fail rahsia Singapura, apakah kita akan selamat? Sebenarnya kita juga berada dalam perang yang sama. Kita terpaksa mulai memikirkan pendekatan paling berkesan untuk mendepani perang baru ini. Di sebalik WikiLeaks yang kelihatan memerangi kezaliman dan memperjuangkan kemanusiaan, definisi kebebasan dan ketelusannya memberikan bahaya dari sudut yang lain. Walaupun banyak pendedahan lebih kepada cerita "human interest" tetapi tahap cerobohnya memungkinkan juga maklumat-maklumat rahsia keselamatan boleh dibocorkan kepada pihak ketiga. WikiLeaks tentu tidak boleh memberi jaminan bahawa mereka hanya akan mendedahkan dokumen yang menyalahi hak asasi manusia. Bagaimana pula kalau mereka mendefinisikan maklumat-maklumat keselamatan negara ini sebagai "hak asasi manusia" dan didedahkan kepada umum? Di sebalik perjuangan ketelusan WikiLeaks akan untuk menuntut keadilan dalam soal hak asasi manusia, akan berlaku pula ketidakadilan dalam konteks yang lebih besar. Membocorkan rahsia perang Iraq misalnya lebih kepada sensasi kerana memang diketahui perlakuan kejam tentera AS terhadap rakyat Iraq. Malah dunia juga tahu konspirasi AS untuk mengacau negara-negara yang tidak sekutu dengannya. Tragedi penjara Abu Gharib misalnya telah mendedahkan kekejaman AS di Iraq. Jadi, pembongkaran dokumen rahsia Pentagon itu lebih dilihat sebagai kebebasan memberi dan menerima maklumat. Ketelusan yang diperjuangkan oleh WikiLeaks lebih menjurus kepada kebebasan media menyampaikan maklumat tanpa sekatan. Era baru media Adakah WikiLeaks boleh dianggap sebagai era baru media yang mendapat kebebasan mutlak dan menyiarkan maklumat tanpa melihat kesan di sebaliknya? Di sebalik perjuangan mencari keadilan, WikiLeaks menjadi tidak adil apabila membocorkan rahsia pertahanan sesebuah negara. Sekarang sasaran WikiLeaks melampaui AS dan "kejayaan" membocorkan rahsia keselamatan sesebuah negara akan meletakkan rakyat dalam keadaan tidak selamat. Bayangkan selepas ini WikiLeaks membocorkan rahsia pertahanan Iran atau negara Islam lain yang menjadi musuh AS. Akibat dari kebocoran ini akan membuka laluan kepada musuh. Apabila berlaku serangan seperti di Iraq, korbannya bukan sahaja tentera tetapi juga rakyat biasa. Apakah ertinya sebuah ketelusan kalau akhirnya mengorbankan manusia sendiri? Ternyata ketelusan saja belum cukup untuk memperjuangkan hak asasi manusia. Walaupun pendedahan yang dibuat WikiLeaks menggegarkan dunia, tetapi manusia setidak-tidaknya rakyat AS tetap menghargai dua wartawan The Washington Post, Bob Woodward dan Carl Bernstein. Mereka membongkarkan skandal Watergate yang melibatkan Presiden Nixon. Hasilnya Nixon terpaksa meletak jawatan pada 1974. Tetapi lebih penting daripada pembongkaran itu ialah meletakkan kembali kepercayaan rakyat kepada akhbar khususnya The Washington Post. Ia tidak sahaja memperjuangkan ketelusan tetapi berwibawa. Mampukan WikiLeaks berani dan berwibawa seperti The Washington Post pada era 1970-an? |
Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN
BANYAK isu kebelakangan ini berkisar tentang sedemikian banyak pendedahan WikiLeaks di dalam internet dan media alternatif. Walaupun pada awalnya ramai yang memuji WikiLeaks kerana begitu berani mendedahkan banyak perkara negatif yang dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat di Iraq.
Video 'Collateral Murder adalah antara pendedahan awal WikiLeaks yang mendedahkan bagaimana 'keji dan kejamnya' tindakan tentera Amerika yang menembak sesuka hati sekumpulan lelaki; termasuk dua orang wartawan yang membawa kamera.
Pendedahan WikiLeaks sebenarnya sudah membuka 'pekung' yang selama ini amat dirahsiakan oleh tentera dan kerajaan Amerika. Ini sekali gus memberi makna - WikiLeaks mempunyai pengaruh dan kesan yang positif kepada mekanisme diplomasi di peringkat antarabangsa. Sudah tidak banyak perkara yang boleh dirahsiakan sampai bila-bila.
Oleh kerana kita sudah tidak punya banyak 'rahsia'; maka istilah dan omong kosong 'transparency', keterbukaan dan sebagainya sudah diterjemah dalam bentuknya yang paling ekstrem. Sehinggakan, negara yang begitu berhati-hati dengan 'rahsia kerajaan' akhirnya terpaksa menerima hakikat - semua rahsia itu bakal menjadi 'rahsia yang terbuka'.
Sayangnya, WikiLeaks tidak akan hanya mendedahkan perkara-perkara yang menjurus kepada soal hak asasi dan keganasan perang. Beberapa hari kebelakangan ini, WikiLeaks sudah menjengah menjadi 'medan gosip dan umpat tahap tinggi'.
Ia melibatkan nota, perbualan para diplomat dalam pertemuan mereka dengan rakan-rakan sejawatan yang lain. Sudah banyak rahsia yang semakin terbongkar dan terlerai. Jiran, sahabat yang selama ini dirasakan 'jujur' sudah terbukti mempunyai niat yang sebaliknya.
Memang benar, kita tidak perlu mengambil sikap yang terlalu 'terasa hati' dengan apa yang diperkatakan. Ia mungkin pandangan peribadi. Namun, jika ia menjurus kepada soal mempertikai kewibawaan dan kepimpinan; ia sudah menjadi perkara yang tidak wajar dipandang sepi dan sebelah mata.
Kita perlu menerima kehadiran WikiLeaks sebagai 'sempadan baru' diplomasi. Mungkin ia memperkatakan perkara-perkara yang sudah berlaku atau cerita lama - namun itu tidak sepatutnya membuatkan kita cepat berasa senang hati. Kalau dahulu segala-galanya berlaku dalam suasana yang sangat tinggi kerahsiaan; WikiLeaks sebenarnya sudah membuka 'ruang demokrasi' kepada amalan diplomasi yang kadangkala menjadi senjata utama negara kuasa dunia. Hari ini, masyarakat umum dapat melihat 'hipokrasi' diplomasi dunia dalam bentuknya yang paling terbuka.
Collateral Murder sebenarnya sudah menceritakan segala-galanya tentang amalan diplomasi dan hubungan antarabangsa kuasa dunia. Dalam pada mereka bercakap mengenai amalan demokrasi, keterbukaan, transparensi dan sebagainya; mereka jugalah yang mengamalkan kekejaman pada tahapnya yang paling tinggi. Entah berapa jumlah keseluruhan manusia yang mati dengan amalan double-standard diplomasi yang diamalkan oleh kuasa dunia.
Hari ini, Amerika sendiri semakin cemas dan gelisah dengan pendedahan demi pendedahan WikiLeaks. Banyak lagi video dan bukti yang masih tersimpan. Bradley Manning, seorang perisik tentera Amerika dikatakan mempunyai 260,000 kabel diplomatik dan hampir 90,000 nota risikan telah pun menyerahkan segalanya kepada WikiLeaks.
Amerika nampak semakin cemas kerana ini dengan sendirinya mendedahkan banyak hipokrasi diplomasi yang dilakukan selama ini.
Segala macam undang-undang dicari bagi memastikan Julian Assange dapat dihadapkan ke mahkamah menggunakan kes jenayah. Undang-undang seperti Espionage Act 1917 dan Computer Fraud and Abuse 1986. Undang-undang tahun 1917 pun mahu diguna pakai terhadap Assange!
Namun jika usaha yang sama digunakan oleh orang lain - ia akan dituduh sebagai 'tidak terbuka, undang-undang kolot dan tidak berperikemanusiaan'. Hipokrasi lagi?
Dengan tidak semena-mena, WikiLeaks sudah menjadi 'masalah negara' kepada sebuah kerajaan yang menggila dengan takrif demokrasi, keterbukaan dan kebebasan memberi pandangan. Apakah Assange sudah kehilangan kebebasannya sebagai manusia sejagat?
Apakah Assange sudah menjadi sekujur tubuh yang tidak perlu lagi diperjuangkan dalam konteks hak asasi manusia?
Dalam konteks yang lebih terkini, penulis menginginkan semua pembaca membuka lembaran Foreign Affairs (November/December 2010). Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton menulis artikel yang sangat menarik, bertajuk - Leading Through Civilian Power: Redefining American Diplomacy and Development - sekali gus memperteguh pandangan bahawa Amerika bukan sahaja mengamalkan transformational diplomacy malahan meletakkan amalan diplomasi sebagai smart power' dalam memperkembang ideologi yang diinginkan.
Diplomasi bentuk baru Amerika bukan lagi terlalu bergantung kepada hubungan diplomatik 'formal'; malahan akan diterjemah dalam bentuk yang lebih luas.
Ini termasuklah 'bantuan langsung' yang diberikan pelbagai agensi Amerika Syarikat kepada NGO dan persatuan yang dirasakan boleh membawa bersama 'ideologi' dan 'keterbukaan politik' yang dihajati selama ini. Dengan menggunakan platform 'National Endowment of Democracy'; dana yang diberikan kepada NGO setempat yang membawa ideologi 'demokrasi' mencecah ratusan ribu ringgit.
Jika kita rajin, taip sahaja 'NED + Malaysia'; maka akan keluarlah nama International Republican Institute, Mkini Dotcom Sdn Bhd, National Democratic Institute of International Affairs dan Suara Inisiatif Sdn Bhd (SUARAM). Ini bukan fakta rahsia. Terpampang di dalam laman sesawang.
Apakah ini smart power yang dimaksudkan Hillary? Yang pasti, ia tidak sahaja dilaksanakan di Malaysia - malahan seluruh dunia! Apakah jaminan bahawa tidak ada 'sumbangan' berasaskan 'kuasa bijak' yang cuba menyusun sesuatu.
Apa yang didedahkan oleh WikiLeaks, jangkaan penulis hanyalah sedikit berbanding banyak lagi 'strategi diplomasi' yang diguna pakai oleh kuasa dunia. Sebagai negara kecil, kita mesti juga mengamalkan prinsip hati-hati dan senantiasa berwaspada dengan 'permainan diplomasi' yang boleh dijelmakan dalam pelbagai bentuk.
Tidak mustahil, bahawa instrumen politik juga diguna pakai dalam memastikan matlamat mereka dapat dicapai dengan jayanya.
Justeru, penulis merasakan - cakap-cakap kosong, umpat 'tahap tinggi' anggota kerajaan dan diplomatik negara jiran perlu juga kita santuni dan jadikan iktibar. Dalam senyum, mungkin ada niat yang tidak baik. Orang tua-tua mengingatkan kita, 'telunjuk mungkin lurus; namun kelingking mungkin berkait' bukanlah sesuatu yang kosong dan tidak punya makna.
Wibawa atau tidaknya kepimpinan di Malaysia bukan 'diplomat kiasu' yang perlu menilainya. Rakyat Malaysia sendirilah yang perlu menjadi juri dan meletakkan 'amanah' mereka kepada kerajaan yang mereka mahukan. Oleh yang demikian, mereka sendiri perlu lebih melihat wibawa kepimpinan yang selama ini menjadi 'fobia' dengan keterbukaan dan menutup suara yang bersifat bertentangan.
Tidak ada apa yang perlu kepimpinan Malaysia terlalu risaukan dengan 'permainan bahasa kiasu' seorang dua diplomat dan pemimpin sub-standard negara jiran. Fokus dan tumpuan mesti diarahkan kepada usaha kita membina negara yang lebih makmur buat sekalian rakyat.
Secara keseluruhannya, WikiLeaks sememangnya pendedahan yang membuka mata. WikiLeaks juga mempamerkan sifat 'hipokrasi' kalangan mereka yang kononnya menjadi pejuang dan pelopor demokrasi. Mereka sendiri tidak gentar menggunakan undang-undang keras; bagi memastikan 'permainan' mereka tidak terus didedahkan secara terbuka - dan akhirnya menanggalkan hormat umat dunia.
WikiLeaks sudah secara tidak sengaja - menyusun semula 'jalur diplomasi' yang ada di sekitar kita pada hari ini. Dengan istilah 'dunia tanpa sempadan', WikiLeaks juga sudah merobohkan sempadan rahsia dengan caranya tersendiri.
KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN
Penulis Bebas
No comments:
Post a Comment