Wednesday, December 15, 2010

KBS Menghitung hari

E-Info@DRI

SEBAGAIMANA bergeloranya semangat pasukan-pasukan yang bakal bertanding pada pusingan akhir Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku penganjur juga tidak sabar-sabar untuk melancarkan kejohanan kemuncak itu yang bakal membuka tirainya Jumaat ini.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Kompleks Futsal, Presint 18, Putrajaya itu akan menjadi pentas untuk 444 pasukan lelaki dan wanita yang mewakili 222 Parlimen di seluruh negara berentap memburu gelaran juara keseluruhan.

"Kami kini menghitung hari. Tidak sabar untuk melancarkan kejohanan, menanti kehadiran pasukan-pasukan dan menyaksikan aksi yang bakal mereka tampilkan. Kita yakin, setiap Parlimen menampilkan pasukan terbaik mereka," kata Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan KBS, Madzrib Ibrahim kepada Kosmo! ketika ditemui di pejabatnya di Wisma KBS, Putrajaya semalam.

Setelah pasukan-pasukan bertarung di peringkat Parlimen pada Mei hingga Oktober lalu, Madzrib menyifatkan ini tentunya detik yang amat dinanti-nantikan para pemain yang bertanding.

"Masyarakat di luar sana juga amat menanti-nanti kejohanan seperti ini. Dengan minat terhadap sukan futsal yang semakin berkembang dan pusat-pusat sukan futsal tumbuh bagai cendawan selepas hujan, kejohanan yang besar seperti ini memberi peluang kepada pasukan-pasukan termasuk dari desa dan pelosok tempat bertarung di peringkat kebangsaan," tambahnya.

Madzrib berkata, kejohanan itu sebagai lanjutan daripada sambutan memberangsangkan yang diterima pada Kejohanan Rentap Futsal Kosmo! yang disertai 1,078 pasukan Mei lalu.

Bercakap tentang persiapan Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia, Madzrib berkata, KBS kini sudah bersedia lebih 80 peratus untuk melancarkannya.

"Pihak urus setia iaitu Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan sudah memulakan gerak kerja sejak bulan Oktober lagi.

"Pasukan pertama yang akan tiba dijangka pasukan-pasukan dari Sabah, Sarawak dan Labuan iaitu pada 15 haribulan (hari ini). Pihak KBS telah berbincang dengan syarikat penerbangan AirAsia untuk menawarkan kadar tambang terendah bagi mereka.

"KBS juga menawarkan tempat penginapan di Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk semua pasukan namun sekiranya mereka mahu menginap di tempat lain ia masih dibenarkan," katanya sambil memberitahu pengangkutan dan kos pengangkutan dari UPM ke Kompleks Futsal Putrajaya disediakan dan ditanggung sepenuhnya oleh KBS.

Semua pemain turut dilindungi insurans.

Pihak KBS juga akan bekerjasama dengan pasukan ambulans, doktor, polis trafik, pasukan RELA dan sebagainya untuk melancarkan perjalanan program dan kemudahan tempat letak kereta.

Terdahulu, majlis perasmian kejohanan akan berlangsung di Hotel Nouvelle, Sungai Besi pada pukul 8 malam esok oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan acara sepak mula kejohanan akan berlangsung pada pukul 8 pagi, 17 Disember yang akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Berhubung format pertandingan, semua pasukan akan bermula dengan bermain di peringkat kumpulan secara liga. Sebanyak 37 kumpulan bagi kategori lelaki dan 37 kumpulan bagi kategori wanita.

Kemudian, johan dan naib johan setiap kumpulan akan berlawan secara kalah mati bagi menentukan pasukan yang akan layak ke peringkat suku akhir.

"Bermakna, setiap pasukan berpeluang bermain sekurang-kurangnya lima kali dan pasukan yang mara ke peringkat akhir untuk merebut gelaran juara perlu melalui 12 perlawanan," ujarnya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]