Ruhanie Ahmad Seseorang individu bebas memilih bentuk dan aliran pemikirannya. Ada individu liberal, ada konservertif, ada super hipokrit, dan tak kurang juga yang berlagak pseudo Islamis par excellence. Tetapi, yang malang sekali adalah individu yang tidak mengenali asal-usul diri dan sejarah bangsa sendiri. Lantas tulisan saya kali ini adalah mengenai diri saya sebagai seorang anak Bangsa Melayu yang dilahirkan di bumi bertuah bernama Tanah Melayu dalam lokasi geografi Alam Melayu. Tanah Melayu dijajah orang asing dari 1511 hingga 1957, iaitu 446 tahun lamanya. Sepanjang tempoh itu Bangsa Melayu kehilangan digniti, maruah, dan harga diri. Tanah Melayu pula tergadai integriti dan kedaulatannya. Bangsa Melayu yang kehilangan digniti ditindas secara sistemik. Hidup mereka terbiar, mundur, dan daif di pinggir desa. Tanah Melayu yang kehilangan integriti pula diinjak-injak pendatang asing. Hasil buminya dirampok dan dieksploitasikan ke peringkat maksimum. Bangsa Melayu yang kehilangan digniti tidak mampu berbuat apa-apa untuk menebus integriti dan kedaulatan Tanah Melayu. Lantas penjajah pun datang dan pergi silih berganti. Penjajah terakhir adalah British. Mereka hanya memelihara dan menitikberatkan pedagangannya dengan Negara China (Cowan 1970:367). Oleh sebab itulah berjuta-juta buruh asing di import masuk ke Tanah Melayu untuk melombong bijih timah dan mengusahakan ladang getah milik kapitalis British. Akibatnya, bancian tahun 1921, 1931, dan 1941, mendapati jumlah Bangsa Melayu pada tahun 1921 hanya 49% daripada seluruh penduduk Tanah Melayu, pada tahun 1931 hanya 47%, dan pada tahun 1941 hanya 42%. Ini membuktikan bahawa pada tahun 1921 jumlah buruh asing di Tanah Melayu adalah 51%, pada 1931 sebanyak 53%, dan pada 1941 sejumlah 58%. (Ahmad Atory Hussain 1987:9). Apabila jumlah mereka kian besar dan mereka juga sudah beranak-pinak di Tanah Melayu, mereka mula mendesak supaya diberikan nasionaliti Tanah Melayu. Ini menyebabkan penjajah British jadi dilemma sehingga terdapat cadangan supaya digubal undang-undang kerakyatan baru bagi membolehkan pekerja asing ini jadi rakyat Raja-Raja Melayu (Lau 1991:16). Cadangan berkenaan ditolak. Tetapi, sesudah tamat Perang Dunia Kedua, British kembali menjajah Tanah Melayu dan cuba melaksanakan dasar Malayan Union yang antaranya mengandungi cadangan undang-undang memberikan kerakyatan kepada buruh asing yang diimportnya ke Tanah Melayu. British merancang gagasan radikal ini semasa zaman perang kerana ketika itu orang-orang asing kononnya membantu tentera British menentang Jepun, sementara Bangsa Melayu kononnya rata-rata memihak kepada Jepun. Apa yang sengaja dipadamkan daripada sejarah British ketika itu ialah pengorbanan pemuda-pemuda Bangsa Melayu yang bertungkus-lumus mati-matian mempertahankan tanah air mereka daripada Jepun. Contohnya kisah Leftenan Adnan dan Sarjan Hassan. Juga sengaja dipadamkan daripada sejarah kolonial ketika itu adalah kisah Bangsa Melayu dibunuh, disula, dibakar, dan dikuburkan hidup-hidup oleh gerombolan Komunis Bintang Tiga yang mengganas sewaktu Jepun sudah berundur dan sebelum British kembali menjajah pada Jun-Julai 1945 Pada ketika itu Bangsa Melayu yang kehilangan digniti hanya pasrah kepada Allah. Dengan jeritan Allahuakbar, mereka berjuang mati-matian untuk menumpaskan gerombolan Komunis Bintang Tiga. Kaum kerabat dan saudara mara saya turut menjadi mangsa gerombolan ini di Simpang Kiri, Batu Pahat, Johor. Kisah kepahlawanan Bangsa Melayu menumpaskan gerombolan ini di bawah pimpinan Kiyai Salleh tercatat dalam buku sejarah Malaysia (rujuk Harper 1999:53). Pada tahun 1946, berpuluh ribu Bangsa Melayu Batu Pahat yang darah saudara mara mereka pernah ditumpahkan oleh pihak gerombolan Komunis Bintang Tiga menunaikan Fardhu Jumaat di Masjid Jamek di Jalan Ampuan, Bandar Penggaram. Sesudah itu mereka mengadakan perhimpunan Melayu secara besar-besaran di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaffar selaku Pegawai Daerah. Sebelum bermesyuarat, mereka melaungkan perkataan Hidup Melayu dengan lantang dan bersemangat. Bertolak dari detik itu tertubuhlah Pertubuhan Melayu Bersatu atau United Malays Organisation. Gagasan UMO itu di bawa ke Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada Jun 1946. Di kongres itulah UMO ditambah dengan abjad N atau National dan menjadi United Malays National Organisation---UMNO---atau dulunya dikenali sebagai Pekembar. Untuk memendekkan kisah, gagasan kerakyatan untuk insan-insan pendatang yang termaktub dalam perancangan Malayan Union dijadikan senjata British untuk mendesak Bangsa Melayu bergabung dengan pendatang bagi memerdekakan Tanah Melayu. Bangsa Melayu yang baik hati pun setuju walau golongan berkenaan masih bertaraf pendatang, bukannya rakyat Tanah Melayu. Menerusi kemerdekaan Tanah Melayu, mereka menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu. MANA ADA NEGARA DI DUNIA INI MEMBERIKAN HAK POLITIK KEPADA PIHAK PENDATANG UNTUK BERGANDING BAHU DENGAN BANGSA MELAYU SELAKU PRIBUMI DALAM PERJUANGAN MEMERDEKAKAN NEGARA? PARADOKS INI HANYA TERJADI DI TANAH MELAYU DENGAN KERELAAN HATI BANGSA MELAYU YANG TERLALU GAIRAH UNTUK MENEBUS DIGNITI BANGSA MELAYU DAN KEDAULATAN TANAH MELAYU MENERUSI KEMERDEKAAN TANAH AIRNYA! SEBAGAI TANDA MUHIBAH KEPADA KESUCIAN HATI BANGSA MELAYU YANG MEMBERIKAN HAK POLITIK DAN KEWARGANEGARAAN, KELOMPOK PENDATANG ITU PUN SETUJU BAHAWA RAJA MELAYU JADI YANG DI-PERTUAN AGONG, ISLAM MENJADI AGAMA RASMI PERSEKUTUAN, BAHASA MELAYU JADI BAHASA KEBANGSAAN, DAN BANGSA MELAYU DIBERIKAN SEDIKIT KEISTIMEWAAN DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. (RUJUK TUNKU ABDUL RAHMAN 2009:112). Kelompok-kelompok pendatang yang ketika itu belum jadi warganegara dan tidak pula aktif dalam politik juga berperanan menentukan corak Perlembagaan Persekutuan. Di antara 131 memorandum yang diterima oleh para penggubal Perlembagaan Persekutuan, 47 adalah daripada pihak pendatang, 43 daripada Bangsa Melayu, dan selebihnya daripada parti-parti politik, kesatuan buruh, dan kelompok kapitalis barat. Dalam kalangan 47 yang diterima daripada pendatang itu termasuklah daripada persatuan guru-guru, dewan perniagaan dan lain-lainnya (rujuk Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957:7). Seluruh kisah di atas adalah kisah Bangsa Melayu dan kisah Tanah Melayu. Khususnya kisah Bangsa Melayu yang kehilangan digniti dan Tanah Melayu yang tergadai integritinya. Dalam bahasa mudahnya, kisah di atas adalah kisah Bangsa Melayu yang kehilangan maruah dan Tanah Melayu yang hilang kedaulatan. Lebih jelas lagi, kisah di atas adalah kisah Bangsa Melayu dan Tanah Melayu tanpa ketuanannya. Oleh itu, jangan rasa jijik dan gerun dengan perkataan KETUANAN MELAYU kerana ia bukannya bermaksud Melayu mahu jadi tuan. Hakikatnya begitu kerana KETUANAN MELAYU adalah konsep anti-penjajahan yang disemarakkan oleh Bangsa Melayu untuk mengembalikan digniti Bangsa Melayu dan menebus maruah kedaulatan Tanah Melayu. Konsep ini konsep anti-penjajahan. Bukannya konsep hendak mendabik dada dan mengagung-agungkan Bangsa Melayu di Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia dengan rakyatnya yang berbilang keturunan. SUMBER :KUDA KEPANG :Ruhanie Ahmad |
Wednesday, December 8, 2010
KETUANAN. PERMUFAKATAN. KEWARGANEGARAAN. PERLEMBAGAAN.
Label:
HIOM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment