Sunday, December 5, 2010

Konvensyen BN berlangsung, Najib jadikan platform asah azam

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Di sebalik cakap-cakap bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun depan, lebih 2,000 pemimpin dan penyokong Barisan Nasional (BN) dilihat akan menzahirkan azam baru —  merangka strategi persiapan menghadapi pilihan raya umum yang dilihat lebih mencabar berbanding yang disaksikan dua tahun lalu.

Selain pilihan raya umum ke-13 BN perlu membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang mandat Dewan Undangan Negeri akan berakhir Julai 2011.

Semalam, pemimpin BN Sarawak berkata pilihan raya negeri itu akan diadakan selepas sambutan Krismas hujung tahun ini.

Justeru pertemuan pagi ini yang pertama selepas satu dekad lalu akan menjadi asas persiapan menghadapi dua pilihan raya iaitu nasional dan negeri Sarawak.

Konvensyen BN ini sepatutnya diadakan awal tahun lalu tetapi ditangguhkan ekoran peralihan pucuk kepimpinan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang mengambil alih jawatan itu April 2009, akan mengetuai barisan pemimpin BN untuk memperkukuh dan memperkuatkan perikatan itu dalam pertemuan yang akan diadakan secara tertutup di Wisma MCA di sini.

Pertemuan hari ini adalah yang pertama sejak pilihan raya umum 2008, yang menyaksikan BN berhadapan dengan prestasi buruk —  di mana ia kehilangan empat lagi negeri dan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pertemuan perikatan 13 komponen itu kali terakhir bertemu pada 2001.

Oleh itu, pertemuan hari ini dilihat penting bagi BN merangka strategi pilihan raya dan menyediakan asas kukuh sebelum menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Dalam pilihan raya umum ke-13, BN bukan sahaja akan berhadapan dengan pengundi-pengundi yang tajam membuat penilaian, tetapi Pakatan Rakyat yang dijangka akan memberikan saingan lebih sengit dalam sejarah pilihan raya negara ini.

Pakatan Rakyat pula meletakkan impian untuk menawan beberapa negeri lagi dan juga Putrajaya.

Sebagai persiapan pertemuan pagi ini, Najib, yang juga Pengerusi BN telah meraikan para peserta konvensyen di Seri Perdana, Putrajaya malam tadi.

Dalam kenyataannya semalam, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Najib dijangka akan menyentuh mengenai gagasan 1 Malaysia dalam ucaptama beliau pada konvensyen pagi ini.

Pemimpin daripada 13 parti komponen BN masing-masing berpeluang untuk membahaskan topik berkenaan, termasuk Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata semua parti komponen perlu menganggap Konvensyen BN hari ini sebagai persiapan bagi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata kira-kira 2,340 perwakilan daripada parti komponen BN, rakan-rakan BN dan Badan Bukan Kerajaan dijangka menghadiri konvensyen tahun ini yang bertemakan "1 Rakyat, 1 Negara, 1 Wawasan."

BN juga akan memperkenalkan lambang baru, yang diberikan solekan, bagi menggantikan lambang yang digunakan sejak 1974 tetapi asas simbol dikekalkan.

Najib, selaku Presiden Umno juga mahu menggunakan pertemuan sehari pada hari ini sebagai pendekatan untuk menggerakkan penyokong-penyokongnya dari kesemua parti komponen bagi mendapatkan mandat baru melaksanakan program dan dasar beliau yang diaturkan sejak dua April 2009.

Difahamkan Najib mahu mendapatkan semula majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Pada Perhimpunan Agung Umno 2010 Oktober lalu Najib berkata Putrajaya mesti dipertahankan dalam apa jua keadaan.

Pemimpin-pemimpin politik dari kesemua kumpulan ideologi juga mengakui bahawa parti pemerintah kerajaan pusat ini kini berada dalam kedudukan terbaik sejak 2008 walaupun tidak pulih sepenuhnya. Masalah dan kecacatan yang disaksikan awal 2008 tidak banyak kelihatan sekarang.

Mengikut maklumat diterima The Malaysian Insider, Najib dijadual menyampaikan ucapan perasmian sekitar 9 pagi dengan diikuti oleh perbahasan melibatkan presiden-presiden parti komponen secara tertutup bermula pukul 11.30 pagi.

Presiden Parti Rakyat Sarawak Datuk Seri Dr James Jemut Masing merupakan pemimpin parti komponen BN pertama akan berucap.

Beliau diberikan tugasan menyentuh aspek pendidikan dengan memfokus pada topik mencapai budaya pengetahuan.

Masing akan disusuli oleh Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan Ikom yang dijadual mengupas aspek kebajikan khususnya menyentuh memberi tumpuan ke atas kebajikan rakyat.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku pemimpin ketiga parti komponen BN akan bercakap mengenai usaha memelihara perpaduan nasional.

Mereka akan disusuli oleh Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu Tan Sri Bernard Giluk Dompok yang akan bercakap mengenai soal mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan proses, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup (memacu pertumbuhan negara), Presiden Parti Liberal Demokratik Datuk Liew Vui Keong (memperoleh kepercayaan rakyat), Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia Datuk M Kayveas (menjadikan negara tempat selamat bagi semua), Presiden Gerakan Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (kerajaan yang mendahulukan rakyat), Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak Tan Sri Dr George Chan Hong Nam (menjadikan kemajuan dan pembangunan negara satu realiti) dan Presiden Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud (pembangunan bangsa 1 Malaysia).

Selepas ucapan Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Wanita BN Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, presiden MIC dan MCA dijadual untuk menyampaikan amanat mereka.

Ia disusuli dengan ucapan Muhyiddin dan ucapan penggulungan Najib.

BN juga akan menerima piagamnya yang digubal untuk menggerakkan perikatan ini secara lebih dinamik.

Meskipun Najib dan Muhyiddin menafikan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat, kedua-dua pemimpin ini yang akan bertemu akar umbi Umno di seluruh negara mulai tahun depan, mahu menggunakan pertemuan hari ini sebagai penyuntik semangat menjelang cabaran pilihan raya umum akan datang.

Rata-rata 80 peratus peserta yang menghadiri konvensyen hari ini merupakan mereka yang pernah bertemu dengan Najib, yang telah merasmikan sebahagian besar perhimpunan atau konvensyen tahunan parti komponen BN sepanjang satu setengah tahun lalu.

Justeru, Najib dilihat akan menggunakan pertemuan hari ini sebagai platform untuk mengasah semangat pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti komponen —  sebahagian besarnya pemimpin ketua bahagian dan ke atas. Konvensyen BN ini menjadi satu lagi usaha mengingatkan pemimpin-pemimpin BN dalam satu majlis keramaian.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]