Thursday, December 9, 2010

PILIHANRAYA SERENTAK.........

Pilihan raya serentak kurangkan politiking
Oleh Jeniri Amir

2010/12/09
BN mampu ganggu strategi pembangkang kerana terpaksa agih sumber ke serata tempat

KALI terakhir Sarawak mengadakan pilihan raya serentak dengan pilihan raya umum (PRU) dan negeri lain kira-kira 35 tahun lalu. Dalam pilihan raya Parlimen 1974, BN Sarawak menguasai 15 kerusi, manakala Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), di pihak pembangkang menguasai sembilan kerusi dan Bebas gagal memenangi sebarang kerusi.
Sesudah itu, Sarawak mengadakan pilihan raya negeri berasingan dengan pilihan raya umum. Pilihan raya berasingan menyebabkannya mengadakan pilihan raya dua kali dalam tempoh lima tahun, satu pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu lagi Pilihan Raya Parlimen. Malah sejak PRU 1978 lagi, pasti menyusul setahun kemudian pilihan DUN Sarawak dan hanya beranjak dua tahun kemudian sesudah Pilihan Raya Umum 1999, dengan Pilihan Raya DUN Sarawak pada 2001.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan pilihan raya umum sejak 1959 bagi Semenanjung yang menawarkan sejumlah 104 kerusi Parlimen, manakala Sarawak mulai 1969. Seterusnya mengadakan Pilihan Raya DUN pada 1974, 1979, 1983,1987,1991,1996,2001 dan 2006.

Pilihan raya paling sengit berlangsung pada 1987 apabila Tun Rahman Yakub, mantan Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang juga bapa saudara Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menerusi Kumpulan Maju menentang Ketua Menteri.

Pilihan raya itu menyebelahi BN apabila menang 28 daripada 48 kerusi. Sabah mengadakan pilihan raya pertama pada 1967 sebelum disusuli pilihan raya pada 1971,1976,1981,1985,1986,1990,1994 dan 1999. Pada PRU Ke-11 pada 2004, Sabah mulai mengadakan pilihan raya serentak dengan Semenanjung.

Kini, di sebalik ramalan Sarawak akan mengadakan pilihan raya negeri ke-10 pada April depan, timbul teka-teki, mungkinkah pilihan raya itu diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-13? Dalam keadaan sekarang segala kemungkinan boleh berlaku. Apakah kelebihan dan kebaikannya jika diadakan serentak? Adakah lebih memihak kepada Barisan Nasional (BN) dan merugikan pakatan pembangkang?
Di Kuching Isnin lalu, Ketua Menteri mengatakan Sarawak sedia mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU Ke-13 jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memutuskan sedemikian. Beliau mengatakan tidak mempunyai masalah jika Najib mempunyai inspirasi untuk mengadakan PRU itu sebelum tamat penggal DUN Sarawak pada Julai 2011. Sekembalinya dari menunaikan fardu haji baru-baru ini, Taib mengatakan bahawa beliau sudah mempunyai ‘inspirasi’ mengenai bila pilihan raya negeri akan diadakan. Tetapi beliau tidak pula menyatakan secara khusus tarikhnya, melainkan sebelum ini pernah menyatakan ia akan diadakan pada hari Sabtu. Sarawak mempunyai 71 kerusi DUN, 62 daripadanya dikuasai BN.

Sesungguhnya, ini peluang terbaik mengadakan pilihan raya serentak, sesuai dengan gagasan 1Malaysia meskipun kita berdepan kemungkinan negeri ditawan pembangkang tidak akan membubarkan DUN mereka.

Pilihan raya membabitkan kos begitu besar. Dengan mengadakannya serentak sudah tentu ini menjimatkan kos meskipun penulis pasti faktor kos bukan menjadi pertimbangan tunggal atau utama PRU dan Pilihan Raya Negeri Sarawak diadakan secara serentak, yang menjadi perkiraan utama bagi BN ialah peluang membaiki kedudukan; iaitu menguasai lebih daripada dua pertiga kerusi Parlimen dan merebut kembali negeri ditakluki pembangkang.

Maksudnya, BN perlu memilih tarikh terbaik ketika ia sudah yakin bahawa kedudukannya selesa dan cukup kuat dan pengundi memihak kepadanya. Sejauh manakah ia sudah berjaya membujuk masyarakat dan pengundi Cina? Adakah Program Transformasi Kerajaan sudah terasa kesannya? BN sudah berusaha sedaya upaya membetulkan segala kesilapan dan kelemahan yang mengakibatkan ia terpukul teruk dalam pilihan raya lalu, melalui pelbagai inisiatif dan dasar diperkenalkan Perdana Menteri.

Kelihatannya, bola kini berada di gelanggang Perdana Menteri dan bukan di bawah kuasa Ketua Menteri untuk menentukan waktu yang sesuai meskipun Najib tentu mengambil kira pandangan Taib ketika membuat pertimbangan. Sarawak perlu mengadakan pilihan raya sebelum Julai.

Persoalannya, mampukah BN menguasai lebih banyak kerusi? Pada PRU 2004, BN meraih 91 peratus daripada 219 kerusi Parlimen dan 89.7 peratus daripada 505 kerusi DUN, sekali gus mencatatkan rekod paling cemerlang. Tetapi dalam PRU 2008, BN gagal menguasai dua pertiga kerusi Parlimen apabila hanya menakluki 140 kerusi daripada 222 kerusi dipertandingkan. Pada peringkat DUN pula, BN meraih 307 kerusi, PAS (83), DAP (71). PKR (42) dan Bebas (2), sekali gus menyaksikan empat lagi negeri terlepas ke tangan pembangkang.

Jika pilihan raya diadakan serentak, ini akan memberi tekanan kepada pembangkang melaksanakan strategi kempen kerana mereka terpaksa mengagihkan sumber bukan saja ke Sarawak. Ini tentu memberi kelebihan kepada BN Sarawak kerana tidak akan berdepan dengan serangan tertumpu gerombolan pemimpin pembangkang dari Semenanjung yang dikatakan membawa budaya politik keras ke negeri yang begitu mengutamakan keharmonian hubungan kaum dan agama.

Jika pilihan raya diadakan serentak, ini pasti dapat mengurangkan rakyat daripada sentiasa berpolitik. Mengadakan pilihan raya terlalu kerap dan rapat menyebabkan kempen terpaksa diadakan selang dua tahun, mengakibatkan tenaga dan sumber yang sepatutnya disalurkan untuk tujuan pembangunan dimanfaatkan untuk politiking.

Penulis ialah pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]