Sunday, December 5, 2010

SIRI PENDIDIKAN SIRI 3: PERISTIWA HITAM PEMERINTAHAN 14 HARI.

Jejak kejam - Lubuk komunis di Perak

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

LENGGONG, GRIK dan isu komunis - satu kaitan fakta sejarah yang kekal dalam ingatan dan menjadi igauan masyarakat yang menyaksikan puluhan ribu anggota keselamatan terkorban mempertahankan negara dengan pelbagai peristiwa kekejaman komunis.

Kawasan itu yang dulunya dikelilingi hutan belantara dan banjaran di situ diakui kawasan hitam kerana menjadi laluan komunis menghubungkan utara ke Pantai Timur serta bersempadan dengan Thailand.

Ketika banyak pihak berbicara mengenai soal kemasukan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, sewajarnya generasi muda yang ada insaf dan sedar bahawa bantahan suara rakyat menghalang kemasukan ketua komunis itu berasas, bukan sekadar gimik politik.

Di Lenggong saja sudah banyak peristiwa berdarah berlaku, pembunuhan anggota keselamatan dan penduduk yang enggan bekerjasama. Bahkan, lebih 100 bekas Konstabel Khas (SC) di Perak berhasrat membuat perarakan bantahan besar-besaran jika hasrat membawa pulang Chin Peng diteruskan. Pendirian itu memang tepat pada masanya, kerana mereka yang bersabung nyawa mempertahankan negara dan jika hasrat itu diteruskan, ibarat luka lama berdarah kembali.

Di perkampungan kecil Changkat Berangan, kira-kira 15 kilometer dari pekan Lenggong, tinggalan kesan aktiviti dan kekejaman komunis masih jelas kelihatan. Cuma, ia tidak dipelihara dan terjaga yang memungkinkan dua persoalan mengenai kedudukannya sekarang.


Demonstrasi membantah kekejaman komunis.

Pertama, kemungkinan penduduk langsung tidak mahu mengingati kekejaman komunis, keduanya memang tiada sebarang usaha mana-mana pihak mahu memelihara tinggalan sejarah itu sebagai tatapan generasi muda untuk menyedarkan pentingnya hidup dalam keadaan aman.

Antara secebis tragedi berdarah yang berlaku di situ ialah Peristiwa Bechah Kemahang yang berlaku di Changkat Berangan, Lenggong pada 1952, ketika era komunis mengganas memuncak. Kesan tempat kejadian dan sarang komunis masih jelas kelihatan.

Pondok estet tempat komunis menggantung hingga mati tiga penduduk ada, cuma gua tempat persembunyian mereka yang digunakan untuk mengurung lebih 20 penumpang bas agak tersorok di hutan di banjaran Bintang Hijau.

Pada tahun yang sama juga berlaku nahas udara sebuah pesawat penyerang dan pengebom British, Bristol Brigand PH755 yang terhempas ketika operasi mengebom sarang komunis di kawasan berkenaan menyebabkan tiga krew pesawat terbunuh.


Tinjauan Berita Minggu mendapati, semua kesan tinggalan sejarah penentangan komunis itu masih ada, cuma tidak dijaga, dibiarkan bahan sejarah dimamah usia dan berkemungkinan hilang terus pada pandangan mata dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Menyingkap ringkas Peristiwa Bechah Kemahang, Ketua Kampung Changkat Berangan, Hassan Shahriman Sulaiman, 68, berkata peristiwa bersejarah itu patut didedahkan kepada masyarakat umum, apatah lagi ketika ini muncul pihak tertentu yang seakan menyebelahi perjuangan komunis.

Peristiwa itu merujuk kepada serangan komunis ke atas sebuah bas awam ulang alik dari Taiping ke Grik yang digelar penduduk sebagai Mail Car kerana sering membawa bungkusan pos dan penumpang pada 1952. Ketika tiba di Bechah Kemahang, semua 30 penumpang diarahkan turun kerana komunis mengesyaki bas itu membawa anggota risik. Selepas menggeledah dan menyoal siasat, komunis tidak menemui individu dikehendaki menyebabkan mereka bertindak ganas.

Berdasarkan cerita lisan daripada datuk saya, Osman Mat Piah, komunis menggantung sampai mati seorang wanita Cina dan dua wanita Melayu di pondok estet di tepi jalan. Penumpang lain dibawa ke gua di Bintang Hijau dan dikurung.

Mereka mencabar penduduk, jika mahukan tebusan hidup datanglah selamatkan. Ketika itulah muncul tujuh bersaudara terdiri daripada pasukan Homeguard tempatan bangkit menyerang kubu berkenaan dan menyelamatkan tebusan, katanya.

Homeguard tujuh bersaudara itu terdiri daripada Osman Mat Piah bersama dua beradik, Hussien dan Yaakob disertai tiga lagi anak Yaakob iaitu Mior Ahmad, Mior Kassim dan Mior Ariffin serta menantunya, Sulaiman Pandak Yusoff.

Bersenjatakan senapang patah dibekalkan kepada pasukan kawalan kampung, tujuh bersaudara itu berjaya menyelamatkan tebusan selepas berlaku pertempuran selama tiga hari menyebabkan semua 30 komunis terbunuh.

Polis yang menerima maklumat pertempuran menghantar pasukan diketuai pegawai British membantu menyerang komunis. Bagaimanapun, rasa terkilan wujud di kalangan penduduk kerana sumbangan tujuh bersaudara itu langsung tidak dicatatkan dalam sejarah.

Perkara ini perlu didedahkan, semua orang lama yang tahu cerita ini sudah meninggal dunia. Ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-50, penduduk kampung dengan kerjasama Askar Wataniah pernah melakonkan semula adegan pertempuran ini di padang Lenggong.

Memang kami ada perancangan menjadikan kawasan ini sebagai lokasi sejarah, tetapi kami perlukan bantuan untuk menjadikan hasrat ini satu kenyataan. Jangan biarkan sejarah hilang ditelan zaman, katanya.


'Lokasi serangan patut jadi tapak sejarah'

DARI Changkat Berangan menuju ke banjaran Bintang Hijau, pasti akan menemui lokasi yang dikatakan sarang komunis. Kedudukannya di lereng bukit di tanah agak rata memang strategik untuk pertahanan jika diserang.

Tinjauan Berita Minggu mendapati, selepas hampir sejam perjalanan mendaki bukit, kami menemui satu kawasan lapang di tengah hutan. Kawasan itulah yang dikatakan sarang komunis dan logiknya memang ada kerana di tengah hutan tebal, terdapat kawasan yang seolah-olah dibersihkan.

Pokok besar masih kekal, tetapi di bawahnya cuma tinggal pokok hutan renek setinggi paras lutut orang dewasa, menunjukkan seolah-olah ia pernah menjadi penempatan untuk tempoh yang lama.

Di kawasan dianggarkan 200 meter persegi itu kelihatan wujud satu lubang besar seperti kawah yang dalamnya melebihi paras lelaki dewasa.

Penduduk, Abdul Halim Saad, menjelaskan, kawah besar itu adalah bekas letupan bom yang dijatuhkan pesawat pengebom British ke atas kedudukan sarang komunis.

Sudah lebih 50 tahun kawasan ini dibom, sampai sekarang pokok di ini belum tumbuh, cuma tinggal pokok besar. Mungkin akibat campuran bahan kimia daripada bom. Beberapa tahun dulu, kami pernah jumpa serpihan bom melekat pada pokok.

Dulu, tiada siapa berani masuk ke sini ini kerana memang kawasan komunis. Mengikut cerita lisan kawasan ini memang dibersihkan kerana ia adalah satu daripada kem komunis. Mungkin faktor itu juga menyebabkan kawasan ini hanya ada pokok renek, ditambah pula faktor kesan letupan bom, katanya.

Sebaik tiba di lokasi tempat nahas pesawat Bristol Brigand RH 755, kami menemui kesan bahagian depan tayar pesawat. Sayangnya tayar jenis Dunlop itu kelihatan dibakar dipercayai dilakukan oleh rombongan pelajar yang menjejaki kawasan berkenaan.

Kira-kira lima meter dari penemuan pertama itu, kelihatan enjin pesawat berkenaan yang dikatakan terhempas pada Mei 1952. Enjin pesawat sebesar kereta perodua Kancil itu tersangkut pada sebatang pokok di lereng bukit.

Turut kelihatan, stereng pesawat tiga penumpang dan tidak jauh dari situ, kelihatan beberapa serpihan dinding pesawat serta pintu pesawat yang dicatatkan nombor pendaftaran pesawat PH755.

Seterusnya, longgokan serpihan badan pesawat turut ditemui dengan sebahagian besarnya hampir terbenam dalam tanah. Satu mesin gun sepanjang lebih tujuh kaki turut ditemui serta beberapa tong gas untuk pesawat.

Paling ketara, kira-kira 10 meter dari bangkai pesawat, terdapat empat bilah kipas pesawat yang masih dalam keadaan elok, cuma satu daripadanya terbenam dalam tanah. Kipas sepanjang enam kaki itu dikatakan satu daripada dua kipas utama pesawat berkenaan.

Walaupun lokasi nahas itu layak dikategorikan sebagai kawasan bersejarah, namun langsung tiada kelihatan sebarang usaha untuk mengekalkannya atau membawa keluar serpihan bangkai pesawat untuk tatapan umum, bahkan tanda arah juga tidak kelihatan.

Ketua Kampung Changkat Berangan, Hassan Shahriman menjelaskan, sebelum ini penduduk kampung pernah mendapatkan bantuan sepasukan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjadi anak angkat di situ untuk menjejaki kawasan berkenaan.

Mereka bawa unit pemusnah bom untuk meletupkan beberapa butir bom. Kami cukup hargai usaha itu sebagai langkah keselamatan. Sepatutnya kawasan ini perlu dijaga dan kami sedia membantu mana-mana pihak.

Semua bahan ini adalah sebahagian daripada tinggalan sejarah menentang komunis. Jika komunis tiada di kawasan ini, sudah pasti pesawat ini tidak terhempas di sini, katanya

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]