Saturday, December 25, 2010

WAJIB BACA : MALAM PERTAMA

Adab-adab malam pertama

Oleh ZUARIDA MOHYIN

DALAM Islam, pernikahan adalah perkara yang agung dan suci. Al-Quran menyebutnya sebagai mitsaqan ghalizan atau ikatan yang kuat. Malah Islam tidak hanya mengatur persoalan hubungan suami dan isteri secara umum. Ia juga mengkaji pelbagai persoalan yang dianggap bersifat peribadi.

Semuanya bertujuan mewujudkan kebahagiaan suami dan isteri dalam hidup berumah tangga.

Menurut penulis buku berjudul Indahnya Malam Pengantin, Ummu Nayla, perkataan itu hanya disebutkan tiga kali dalam al-Quran iaitu, pada perjanjian Allah SWT dengan para Nabi-Nya iaitu Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW (dalam surah al-Ahzab ayat tujuh).

Yang kedua semasa Allah mengangkat bukit Thur ke atas kepala Bani Israel dan menyuruh mereka bersumpah setia di hadapan Allah (surah an-Nisa ayat 154).

Sementara yang ketiga apabila Allah menyatakan perihal ikatan pernikahan (surah an-Nisa ayat 21).

Menyentuh soal pernikahan, salah satu perkara yang sering menjadi topik perbualan atau perbincangan malah juga paling banyak mitos berkaitannya ialah bab adab malam pengantin atau malam pertama.

Hakikatnya, pengetahuan berkenaan cara melalui atau melayari malam pertama yang indah dan penuh keberkatan adalah amat penting. Ini kerana, hubungan intim yang dilakukan pada malam tersebut, menentukan kemesraan hubungan intim pada hari-hari akan datang, seterusnya membina keharmonian rumah tangga.

Selain itu, hubungan intim yang dilalui pada malam pertama itu diharap akan dapat melahirkan anak-anak soleh dan solehah, yang mampu menegakkan Islam di muka bumi.

Justeru, setiap umat Islam terutamanya yang bakal bernikah, lebih-lebih lagi pada musim-musim cuti persekolahan hujung tahun ini, perlu memahami adab malam pertama dari perspektif Islam.

Semoga dengan memahaminya, malam pertama dapat dilalui dengan indah dan penuh berkat serta meninggalkan kesan yang mendalam pada hati kedua-dua pasangan mempelai.

Realitinya, ilmu berkaitan malam pertama tidak diajar secara menyeluruh dan tidak mencukupi, apa lagi yang dijelaskan dari sudut pandangan Islam.

Ini berkemungkinan kerana hal ini dianggap sesuatu yang perlu dipelajari sendiri atau diturunkan oleh orang tua-tua kepada bakal-bakal pengantin. Ditambah, topik ini bukannya yang biasa dibincangkan secara terbuka atau terang-terangan.

Padahal, setiap orang yang mahu dan bakal bernikah serta melalui malam pertama perlu mempunyai ilmu yang cukup agar malam pertama dilayari bukan semata-mata aktiviti fizikal tetapi juga sebagai aktiviti mental.

Apabila persetubuhan hanya berfungsi sebagai aktiviti fizikal, apa yang diperoleh oleh pasangan itu hanyalah kenikmatan semasa orgasma. Tidak ada ketenangan hati dan ketenteraman jiwa semasa menjalani kehidupan bersama dalam rumah tangga.

Oleh itu, suami dan isteri perlu menyedari ada keindahan lain di luar daripada persetubuhan yang dapat menyempurnakan kebahagiaan rumah tangga.

Ibnu Qayyim al-Jauziyah berkata: "Allah menciptakan kehadiran suami dan isteri sebagai bentuk kebahagiaan. Kehadiran suami ataupun isteri lebih indah daripada jimak."

Semoga kehadiran suami mempunyai makna yang berharga bagi isteri. Mari kita sama-sama contohi rumah tangga Ali bin Abu Talib dan Fatimah az-Zahra.

Rumah tangga mereka mempunyai gambaran yang mempesonakan. Ali berkata: "Apabila aku memandang isteriku, Fatimah az-Zahra, hilang kesusahan dan kesedihanku."

Sesungguhnya setiap daripada kita sebenarnya mengharapkan serta sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT agar perkahwinan yang dibina kekal ke akhir hayat.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]