Yang penting pasukan ini dapat semangat sebagai JUARA dan proses untuk menjadi juara telah ada dalam diri pemain.
Barisan muda skuad kebangsaan bawa keajaiban
TAHNIAH kita ucapkan kepada barisan muda skuad bola sepak kebangsaan yang melakar sejarah menjuarai Piala Suzuki AFF tempoh hari. Kemenangan ini cukup bermakna apa lagi selepas sekian lama sukan bola sepak tanah air dilihat tidak begitu bermaya. Sebab itu kehebatan Harimau Malaya menundukkan Garuda dengan agregat 4-2 di depan 95,000 penyokong Indonesia, malam Rabu lalu, sampai hari ini masih menjadi perbualan di kedai kopi, kafe mahupun pejabat.
Kaki bola yang sudah lama menjauhkan diri kini begitu ghairah mengikuti semula sukan itu dari dekat. Malahan, yang tak ambil kisah pasal bola pun mula meminati sukan itu dan bercerita macam dia lebih tahu daripada orang lain. Pemain yang sebelum ini tak dikenali pula mula menjadi sebutan ramai termasuklah di kalangan makcik-makcik, nenek atau opah.
Kanak-kanak yang sebelum ini lebih mengenali bintang bola sepak antarabangsa, seperti Christiano Ronaldo, Wayne Rooney dan David Beckham, juga sudah mula memuja nama-nama seperti Safiq Rahim, Safee Sali, Mohd Ashari Samsudin, Khairul Fahmi Che Mat dan barisan pemain skuad kebangsaan yang lain.
Kebetulan beberapa jam selepas skuad Harimau Malaya pulang dari Jakarta, petang Khamis lalu, Khairul atau nama jolokannya Fahmi Apek, berkunjung ke ibu pejabat Berita Harian di Jalan Riong, Kuala Lumpur. Ramailah kakitangan, wartawan dan editor yang bertugas pada malam itu mengerumuni beliau untuk mengucapkan tahniah dan memuji penjaga gol skuad kebangsaan itu. Mereka juga cukup seronok bergambar dengan penjaga gol yang menyelamatkan tendangan penalti dalam aksi final kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam Rabu lalu.
Begitulah keajaiban yang dibawa Harimau Malaya. Suasana muram sukan bola sepak tanah air secara tiba-tiba dihangatkan semula. Kejayaan mereka turut mendapat perhatian dan pujian bintang pertahanan England dan Manchester United, Rio Ferdinand.
Sememangnya Harimau Malaya yang 100 peratus dibarisi pemain tempatan, layak mendapat pujian itu. Namun, timbul juga persoalan apakah momentum ini dapat dikekalkan? Apakah ngauman Harimau Malaya akan terus meledak? Atau apakah kejayaan yang dicapai akan terhenti setakat ini? Persoalan sebegini memang tidak dapat dielakkan kerana pengalaman sebelum ini menyaksikan ramai pemain kita selepas menjadi bintang, tidak konsisten dan sering menimbulkan masalah seperti tidak mahu mengikuti latihan, keras kepala dan tidak berdisiplin.
Kita harap skuad Harimau Malaya tidak akan mengulangi kesilapan seumpama itu. Mereka masih muda dan banyak yang perlu ditempuh serta dipelajari. Kejayaan mereka memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF, baru peringkat permulaan.
Kita percaya mereka mampu melangkah lebih jauh sekiranya mereka mengekalkan disiplin dan bersungguh-sungguh menjalani latihan.
Wujudkan skim latihan jurulatih
Bercakap mengenai latihan, kita juga bangga kerana skuad Harimau Malaya dibentuk hasil bimbingan jurulatih tempatan, K Rajagobal. Beliaulah yang menjadi tulang belakang kejayaan skuad kebangsaan menjuarai dua kejohanan berturut-turut – Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010.
Memanglah sukar untuk kita membandingkan kelebihan jurulatih tempatan dan luar, tetapi secara logiknya tentunya Rajagobal, misalnya, lebih baik daripada jurulatih Indonesia Alfred Riedl dari Austria kerana Harimau Malaya dapat menewaskan Garuda dengan agregat 4-2.
Tahniah Rajagobal. Kejayaannya diharap dapat membuka mata pihak-pihak yang masih mencurigai dan memperkecilkan kemampuan anak tempatan. Kita percaya banyak sukan lain yang boleh memanfaatkan tenaga tempatan.
Barangkali sudah tiba masanya, kementerian atau agensi berkaitan mengadakan program jangka panjang untuk melahirkan lebih ramai jurulatih tempatan yang berwibawa untuk semua bidang sukan. Kita mempunyai ramai bekas ahli sukan dan pengalaman mereka seharusnya dimanfaatkan untuk membimbing pemain muda.
Memang sekarang ini mereka yang hendak menjadi jurulatih perlu menjalani kursus dan ujian untuk mendapatkan sijil. Ada juga yang dihantar menjalani latihan di luar negara, tetapi program itu cuma diadakan dari semasa ke semasa yang diatur pada peringkat persatuan.
Sepatutnya mereka yang berpotensi dikenal pasti pada peringkat awal dan diberi kursus atau latihan di luar negara untuk tempoh tertentu sebelum diserapkan sebagai jurulatih. Ini penting kerana anak tempatan lebih memahami sikap pemain, suasana serta budaya dan bahasa kita. Mungkin inilah kelebihan Rajagobal berbanding Riedl.
Bersama martabatkan bola sepak tanah air
Masih mengenai bola sepak. Seperkara lagi yang tidak boleh kita ketepikan ialah sokongan padu seluruh rakyat. Dalam hubungan ini, kita ucapkan syabas dan terima kasih kepada semua penyokong yang membanjiri Stadium Bukit Jalil pada perlawanan akhir pertama menentang Indonesia tempoh hari.
Terima kasih juga kepada kerajaan kerana mengisytiharkan cuti umum semalam bagi meraikan dan menghargai kemenangan skuad bola sepak negara. Tetapi entah macam mana, harapan kita untuk menyaksikan ribuan penyokong kita di Jakarta tidak kesampaian. Apakah penyokong kita hanya jaguh di tempat sendiri? Dalam hubungan ini, kita harap kelab-kelab penyokong pada peringkat negeri dapat bergabung tenaga untuk memberi sokongan padu apabila skuad negara bertandang di tempat lawan pada masa akan datang.
Selain itu, kita juga terkilan kerana sokongan sektor korporat dilaporkan tidak begitu memberangsangkan. Tabung Akujanji Ganjaran Piala Suzuki anjuran Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dikatakan tidak banyak menerima sumbangan sektor korporat. Setakat ini SAM hanya berjaya mendapatkan akujanji berjumlah RM88,200.
Rakyat dan kerajaan sudah pun memberi sokongan yang cukup kuat. Apa lagi yang hendak ditunggu sektor korporat. Ayuh sama-sama kita membantu meningkatkan martabat sukan bola sepak tanah air. Selamat menyambut tahun baru 2011.
Oleh Mahfar Ali
mafa@bharian.com.my
2011/01/01
Aset negara Oleh Shamsudin Husin
bhsukan@bharian.com.my
2011/01/01
Skuad Harimau Malaya disaran terus digilap, beri pendedahan antarabangsa
BARISAN juara Piala AFF Suzuki negara berpotensi untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi bagi memartabatkan semula imej bola sepak negara di masa akan datang.
Kejayaan skuad bimbingan jurulatih K Rajagobal menjuarai saingan rantau Asia Tenggara itu buat kali pertama selepas 14 tahun, meletakkan mereka sebagai aset penting negara, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Begitupun, katanya, bakat sedia ada barisan pemain muda negara ini perlu terus digilap dan diberi pendedahan peringkat antarabangsa secara berterusan.
“Ini adalah langkah permulaan untuk kita mengorak langkah lebih jauh dalam arena bola sepak, khususnya di peringkat antarabangsa. Kemenangan ini (menjuarai Piala AFF) adalah pembakar semangat untuk kita lebih maju ke depan, khususnya di pentas antarabangsa,” katanya.
Malaysia muncul juara Piala AFF buat julung kalinya selepas menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat dalam perlawanan final timbal balas di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Sabtu lalu.
Kata Ahmad Shabery, tanpa semangat juang tinggi yang ditunjukkan ketika final kedua di Jakarta, sukar bagi skuad digelar Harimau Malaya itu untuk mencipta kejayaan, khususnya dalam situasi tertekan diasak penyokong Indonesia dari segenap penjuru di gelanggang lawan.
“Belum ada dalam sejarah bola sepak dunia, pemain dibawa masuk ke stadium menggunakan kereta perisai. Kereta perisai lazimnya digunakan tentera untuk berperang, bukan untuk bawa pemain bola sepak masuk stadium,” katanya pada Majlis Program Komuniti Sihat peringkat Parlimen Kemaman, di Kampung Gong Limau, Chukai, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, walaupun skuad negara tewas 1-2 pada final kedua itu, semangat juang tinggi yang pemain muda negara tunjukkan di sepanjang 90 minit perlawanan, melayakkan mereka untuk digelar wira negara
No comments:
Post a Comment