Sunday, January 16, 2011

BUKU JINGGA TAK PRAKTIKAL.....

Negara Bankrap Jika Pelan 100 Hari Dilaksanakan, Kata Awang Adek


BACHOK, 15 Jan. Negara akan bankrap jika Pelan 100 Hari yang dibentangkan pakatan pembangkang dilaksanakan sepertimana yang berlaku di beberapa negara Eropah yang membelanjakan wang negara di luar kemampuan sebenar mereka.

Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin memberikan contoh negara Sepanyol, Greek dan Ireland yang pernah menghadapi kemerosotan ekonomi yang paling buruk kerana kesilapan seumpama itu.

"Mereka terpaksa memohon bantuan pinjaman wang daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menyelamatkan keadaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Perupuk di sini, Sabtu.

Dr Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata negara-negara berkenaan terpaksa memohon pinjaman sehingga berpuluh bilion US dan ini satu pengajaran yang sangat berguna kepada negara lain termasuk Malaysia supaya jangan tersilap langkah.

Bulan lalu, pakatan pembangkang mengemukakan tawaran dalam Pelan 100 hari yang mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada pilihan raya umum (PRU) Ke-13.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Dr Awang Adek berkata parti pembangkang sengaja ingin mencari jalan mudah semata-mata untuk mendapat sokongan rakyat tanpa memikirkan dan mempedulikan kesannya terhadap negara dan rakyat pada masa hadapan.

Katanya untuk merosakkan ekonomi sesebuah negara lebih mudah daripada untuk membangunkannya yang terpaksa mengambil masa berpuluh tahun.

Beliau berkata pelan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang berada dalam landasan yang betul untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Jika pelan pembangkang itu dilaksanakan, ia akan merosakkan struktur matlamat ke arah itu serta kewarasan ekonomi yang sudah dirangka semenjak negara mencapai kemerdekaan," katanya. BERNAMA

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]