Hakikat politik tawar-menawarSAYA ingin melihat episod pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang penuh kontroversi seminggu dua yang lalu itu, dari sudut pandangan “tawar-menawar politik” (political bargaining) dan dari sudut pandangan “politik pentadbiran” (administrative politics).Dan saya juga ingin berhujah bahawa peranan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK Negeri yang baru (jika dimanfaatkan dengan bijaksana dan tanpa prasangka oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) akan dapat memperkuat kedudukan beliau sebagai Menteri Besar dalam konteks “politik tawar-menawar” sesama parti-parti rakan kongsi pakatan pembangkang, terutama antara PKR vis-a-vis DAP. Begitu juga dalam konteks “politik pentadbiran”, jika Abdul Khalid dapat mengetepikan sikap prasangka (prejudice) dan sekali gus dapat “memenangi hati” Mohammed Khusrin (yang telah mendapat kepercayaan dan pengiktirafan daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) di Putrajaya dan telah mendapat perkenan dan restu daripada Baginda Sultan di Istana Bukit Kayangan), saya percaya, urusan Menteri Besar itu dengan Kerajaan Pusat akan menjadi lebih lancar dan produktif manakala hubungannya dengan Baginda Sultan akan menjadi lebih mesra. Dengan terjalinnya hubungan yang sedemikian antara Abdul Khalid sebagai Menteri Besar dan Mohammed Khusrin sebagai SUK, saya percaya, beliau akan mempunyai kedudukan yang lebih kuat menghadapi Teresa Kok dan Ronnie Liu dalam konteks “politik tawar-menawar” antara PKR dan DAP di Selangor. Dan lebih daripada itu, beliau juga akan mempunyai hubungan yang lebih produktif dengan KSN Tan Sri Sidek Hassan dan Kerajaan Pusat di Putrajaya. Jika semuanya terjadi tentu kita dapat membayangkan betapa Abdul Khalid akan menjadi seorang Menteri Besar Selangor yang “hebat”, sukar digugat oleh Azmin Ali atau sukar diperlekeh oleh Dr. Khir Toyo. Dan sukar pula “ditundukkan” oleh Teresa Kok dan Ronnie Liu. Tetapi untuk menjadi Menteri Besar yang “hebat” seperti itu, Abdul Khalid mestilah benar-benar memahami hakikat “politik tawar-menawar” pada satu tahap dan pada satu tahap yang lain memahami pula “politik pentadbiran”. Beliau mestilah bijak “memilih musuh” dan mesti waspada pula “mengawal kawan”. Barangkali kerana kurang arif membaca yang “tersirat” itulah yang menyebabkan Abdul Khalid telah tersilap dalam “memilih musuh” (mengurangkan musuh) sehingga SUK yang sepatutnya disambut dan diraikan sebagai kawan telah dianggap dan dilayan sebagai “musuh”. Dan pada masa yang sama dia “menumpang kasih” kepada rakan-rakannya pimpinan DAP tanpa menyedari bahawa antara PKR dan DAP terdapat dua jenis hubungan yang berselang seli antara “bekerjasama” dan “bersaingan”. (berselang seli antara dua bentuk hubungan yang bersifat cooperative dan competitive). Ertinya, dalam konteks coalition politics (politik gabungan parti-parti), sebagai rakan kongsi dalam pakatan pembangkang, antara PKR dan DAP sewajarnya terdapat hubungan yang bersifat bekerjasama untuk menghadapi atau berlawan dengan Barisan Nasional . Tetapi dilihat dari satu dimensi yang lain (konteks dalaman pakatan pembangkang sendiri) antara PKR dan DAP terdapat hubungan yang bersifat persaingan. Ini adalah kerana masing-masing PKR dan DAP mempunyai sumber sokongan dan pengikut (constituents) yang berlainan dari segi kaum, agama dan latar belakang sosioekonomi, dan oleh kerana itu masing-masing mempunyai hasrat, keinginan dan kepentingan yang berbeza-beza, yang adakalanya bertembung dan bercanggah. Perbezaan dan percanggahan hasrat antara PKR dan DAP ini sebenarnya bukanlah rahsia dan bukanlah perkara baru. Jika kita susur galur asal-usul masing-masing parti, perbezaan tersebut akan semakin ketara. DAP seperti diketahui ramai adalah kelahiran kembali (peninggalan) People Action Parti (PAP) yang diwariskan oleh Lee Kuan Yew bila Singapura keluar dari Malaysia. Slogan “Malaysian Malaysia” peninggalan Kuan Yew memang menyakitkan hati orang Melayu dan menyebabkan meningginya suhu politik negara ini tidak lama selepas Malaysia terbentuk hingga akhirnya pulau kecil itu terpaksa dipisahkan dari Malaysia. Sebagaimana melihat PAP, imej anti-Melayu DAP itu sukar dipisahkan daripada tanggapan bangsa Melayu. Manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara am dapat dianggap sebagai parti serpihan UMNO yang didirikan dan didukung oleh beberapa orang tokoh yang kecewa dengan UMNO kerana pelbagai sebab. Erinya, walaupun turut dianggotai oleh beberapa orang tokoh bekas Parti Rakyat Malaysia (PRM), sebahagian besar penyokong PKR, dalam hati kecil masing-masing masih setia kepada perjuangan (atau ideologi) UMNO yang menurut anggapan sesetengah pihak tercemar oleh sikap angkuh dan perbuatan korup beberapa individu tertentu. Dengan kata lain antara PKR dan DAP terdapat perbezaan yang menjolok dan hakiki sifatnya. Walaupun pada zahirnya terdapat kerjasama melalui pakatan pembangkang, pada hakikatnya kedua-dua parti adalah bersaingan kerana masing-masing mempunyai matlamat yang berlainan, memperjuangkan kepentingan dan hasrat yang bukan sahaja berbedza malah bercanggah. Untuk memenuhi hasrat dan kepentingan konstituen atau pengikut yang berbeza-beza dan kadang-kadang bercanggah itu, maka antara pimpinan PKR (Abdul Khalid) dan pimpinan DAP (Teresa Kok, Ronnie Liu dan yang lain-lain) dari semasa ke semasa berlakulah proses tawar-menawar dalam pelbagai situasi termasuk (terutama) dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Dalam proses tawar-menawar sedemikian, saya percaya, kedudukan Abdul Khalid akan lelbih kukuh dengan kehadiran Mohammed Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri jika antara keduanya terbina persefahaman dan silaturahim serta persamaan matlamat dan persepsi tentang perkara-perkara yang asasi. Dengan demikian akan berkuranglah tuduhan dan prasangka bahawa Menteri Besar “dikepung” (atau “terkepung”) oleh pemimpin-pemimpin DAP yang mempunyai agenda yang berbeza. Akhirulkalam, pada hemat saya, Abdul Khalid, sewajarnyalah kembali ke pangkal jalan dan memahami serta menghayati hakikat “politik tawar-menawar” dan “politik pentadbiran” (terutama dalam konteks hubungan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat) yang dalam konteks Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada payung panji Raja Berperlembagaan yang masih berdaulat. Senator Datuk Dr. Firdaus ABdullah ialah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. |
Friday, January 14, 2011
Hakikat politik tawar-menawar
Label:
SELANGOR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment