Friday, January 7, 2011

Lim Kit Siang juga mudah lupa, pelupa atau sengaja lupa?


Kontroversi pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu, mengingatkan saya kepada istilah "lupa," terutama seperti yang digunakan dalam ungkapan "Melayu mudah lupa."

Ungkapan tersebut mungkin bertujuan "memperli" atau mempersendakan orang Melayu. Atau mungkin juga bertujuan mengingatkan bangsa Melayu agar senantiasa berhubaya-hubaya, berwaspada dan berjaga-jaga sesuai dengan satu nasihat yang terkandung dalam perbendaharaan sastera lama: "jika duduk meraut ranjau (mempertajam senjata), bila tegak meninjau jarah (melihat-lihat kiranya ada musuh yang hendak merempuh atau sedang mengendap).

Jika tidak salah, ungkapan "Melayu mudah lupa" mula popular setelah digunakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad satu ucapan (atau puisinya?) beberapa tahun yang lalu. Sejak itu ungkapan tersebut dikutip (dirujuk) dari semasa ke semasa untuk tujuan-tujuan tertentu.

Sehubungan itu saya ingin memperkenalkan satu ungkapan lain yang juga menggunakan perkataan "lupa" iaitu: "Lim Kit Siang juga mudah lupa." Ini ada kaitannya dengan beberapa komen (atau 'arahan'?) Kit Siang mengenai pelantikan Datuk Mohammed Khusrin sebagai SUK Negeri Selangor yang baharu.

Bila Kit Siang dilaporkan sebagai menyeru (mengarahkan?) supaya Ketua Setiausaha Negara (KSN) menggantung jawatan baharu Mohammed Khusrin itu, Kit Siang seakan-akan "sudah lupa" bahawa dia belum lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri seperti yang dijanjikan oleh kuncu politiknya Anwar Ibrahim. Oleh kerana itu bila dia memandai-mandai "memberi arahan" kepada KSN, Tan Sri Sidek Hassan, orang bertanya: "Siapa Lim Kit Siang?"

Sebelum itu Kit Siang juga dilaporkan sebagai mengingatkan supaya pelantikan Datuk Khusrin itu mengambil kira constitutional conventions (amalan-amalan perlembagaan yang tidak tertulis). Dengan komen yang sedemikan sekali gus dia menyindir (dan menimbulkan keraguan) seakan-akan pelantikan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan. Dan bila merujuk kepada constitutional conventions dia seakan-akan "terlupa" konsep administrative conventions (amalan-amalan pentadbiran yang tidak tertulis).

Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh KSN adalah selaras dengan peraturan-peraturan Perlembagaan dan amalan-amalan lazim pentadbiran.

Tidak ada undang-undang yang dilanggar dan tidak ada peraturan yang tidak dipatuhi. Ertinya, dari segi keabsahan Perlembagaan atau legaliti dan dari segi peraturan pentadbiran, pelantikan Mohammed Khusrin tidak boleh dipertikaikan.

Apatah lagi semuanya itu telah mendapat perkenan daripada baginda Sultan. Dan satu perkara lagi yang jangan sampai "dilupakan" oleh pihak-pihak yang membantah pelantikan Mohammed Khusrin itu ialah institusi kesultanan masih merupakan satu lembaga atau tenaga (force) tersendiri yang penting dalam tatacara (proses) urus-tadbir (governance) negara ini.

Sebarang usaha "membelakangi" atau "melangkahi" baginda Sultan samalah ertinya dengan menggugah asas-asas kestabilan sosial yang dengan sendirinya akan menular terhadap kestabilan politik. Atau adakah hakikat itu telah dilupakan? Atau memang sengaja diabaikan dalam satu "perjudian" atau "percubaan menguji kekuatan."

Mereka yang mengikuti taktik dan telatah politik DAP pimpinan Kit Siang itu tentu menyedari betapa parti yang dirujuk oleh Dr. Ridhuan Tee sebagai "ultra kiasu" itu sering melakukan beberapa "perjudian politik" sambil "menguji kekuatan" seperti tindakan kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng yang melakukan berbagai provokasi terhadap masyarakat Melayu/Islam di pulau itu.

Dan sekarang Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan seorang Menteri Besar dari PKR cuba pula dihasut untuk "menguji kekuatan" dan melakukan "perjudian politik."

Adakah mereka "lupa" bahawa, tidak seperti Pulau Pinang, Selangor Darul Ehsan masih mempunyai seorang sultan yang berdaulat.

Sama ada andaian (kemusykilan) kita tentang kecenderungan "Kit Siang yang sudah mudah lupa" itu, benar atau salah, kita berharap supaya pimpinan PKR dan Pas yang "tidur sebantal" DAP itu, jangan sampai "lupa" satu perkara.

Pas dan PKR janganlah sampai "lupa" bahawa kekuatan DAP hampir 100 peratus bergantung kepada sokongan masyarakat Cina. Oleh kerana itu untuk mengekalkan kekuatannya, DAP tidak boleh lari daripada memprojekkan dirinya (secara terbuka atau berselindung) sebagai "juara masyarakat Cina." Kerana itulah maka DAP berbelah bagi bila pimpinan PKR (Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim) berura-ura hendak meminda Perlembagaan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan seperti sebelum pindaan 1983 dan 1993. Hubaya-hubayalah

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]