Sunday, January 16, 2011

PANDANGAN LEE KUAN YEW TERHADAP MALAYSIA.

Bila Kuan Yew buka mulut
Bersama Mior Kamarul Shahid

2011/01/16
Buku singkap hubungan Singapura-Malaysia

DALAM prognosis untuk masa depan, saya mengatakan, jika saya diminta memilih mana-mana tempat di Asia Tenggara sebagai tempat kekal yang berpanjangan dan dalam banyak hal yang terbaik, saya kata ia adalah Malaysia. Begitulah salah satu daripada kumpulan petikan kata bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew. Kata-kata yang diucapkannya pada 14 Jun 1962 di Pusat Kajian Politik, Singapura itu terkandung dalam buku Confucius Confounded, The Analects of Lee Kuan Yew diterbitkan Berita Publishing Sdn Bhd, 2010.

Petikan kata Kuan Yew sejak 1960-an hingga 1990-an itu dikumpul oleh bekas Peguam Cara Negara, Francis T Seow. Dalam satu lagi petikan kata yang boleh dianggap kata-kata hikmat Kuan Yew mengenai Malaysia ialah bila beliau mengatakan: Kita perlu buat keputusan jersi apa yang kita pakai, Sama ada anda untuk Malaysia atau anda tidak berpihak kepada Malaysia.
Ketika berucap di Royal Society of International Affairs, London, pada Mei 1962, pula Kuan Yew mengatakan: Jika saya ahli perniagaan, saya rasa Malaysia adalah negara yang selamat, tetapi saya bukan ahli perniagaan, Saya hanya berminat kepada Malaysia untuk memastikan saya selamat. Begitu juga dalam satu sidang media, beliau mengatakan: Setiap kita memerlukan Malaysia untuk meneruskan kehidupan masing-masing.

Pada Hari Guru, 5 Ogos 1961, beliau mengatakan: Kita adalah satu negara dan satu rakyat. Kita mesti bersatu semula, persoalannya ialah bila dan bagaimana. Petikan kata ini dibuat ketika perdebatan isu penggabungan Malaysia dan Singapura awal 1960an.

Dalam Hansard, 30 Julai 1963, Lee menyebut: Biasanya penggabungan adalah hakikat sejarah dan mereka yang menentangnya, menurut frasalogi Marxis, akan dibenam oleh sejarah. Penggabungan Malaysia-Singapura nampaknya memberi kesan kepada beliau kerana pada Hansard 1963, ada mencatatkan kata-kata Kuan Yew: Tidak ada lagi Rejimen Infantri yang menabik saya, seolah-olah ingin memberitahu kehilangan sesuatu.

Pada perhimpunan pilihan raya 22 Mac 1964, Kuan Yew menyatakan pula bahawa penggabungan Singapura dan Malaysia adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan walaupun pemimpin UMNO tidak suka. Kata-kata ini memerlukan kajian untuk mengetahui latar masa ketika itu atau ia adalah kenyataan politik.
Petikan kata Kuan Yew yang pelbagai jenis, bentuk serta boleh dijadikan teladan dan sempadan ini menceritakan banyak perihal kaitan sejarah sepanjang pembabitannya dalam politik, hubungan Singapura-Malaysia dan pelbagai perkara lain yang dicakap, diucap atau menyatakan pendapatnya mengenai sesuatu perkara. Untuk tujuan tulisan ini, petikan kata ini dipilih secara rawak sekadar memberi gambaran bahawa banyak perkara yang disebutkannya dalam buku setebal 334 halaman itu, menceritakan pelbagai peristiwa dan rentetan sejarah.

Buku ini, walaupun meletakkan kepada pembaca supaya membuat tafsiran sendiri, ia bolehlah dianggap sebagai falsafah Kuan Yew. Membaca buku ini bagi membolehkan seseorang memahami pemikiran, sikap, pendirian, tindak tanduk, kecenderungan politik dan bukan politik bekas Perdana Menteri, Kuan Yew yang kini Menteri Mentor kerajaan pimpinan anaknya, Lee Hsien Loong. Ada kata-katanya yang boleh dipertahankan hingga hari ini, ada juga yang sesuai hanya pada zamannya dan tidak kurang juga pandangan beliau yang tidak boleh diterima. Ada petikan kata yang serius, bergurau, sinis dan sebagainya.

Antara perkara yang disebut ialah mengenai Malaysia dan rakyat Malaysia, perjuangan bagi penggabungan dengan Tanah Melayu, Perlembagaan, komunisme dan komunis, demokrasi, media, hubungan kaum, budaya, sekolah, pelajar dan biasiswa, Singapura dan rakyat Singapura, ASEAN dan Asia, pemimpin dunia serta soal-soal lain yang berkaitan.

Bagi generasi baru, untuk memahami buku ini memerlukan pengalaman sejarah memandangkan penulis buku ini mengumpul kata-kata daripada pelbagai sumber sejak 1960-an. Ia berlatar belakangkan sejarah sebelum dan sewaktu Malaysia bergabung dalam Malaysia dan selepas berpisah serta pelbagai peristiwa berikutnya. Disebabkan ada kata-kata beliau dipetik daripada Hansard Parlimen, pembabitan pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu dalam politik Malaysia adalah sangat jelas terutama bila beliau bercakap soal Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Alhaj.

Sama ada kata-kata beliau itu masih relevan atau sudah ditenggelami zaman, bergantung kepada bagaimana seseorang menilai beliau. Ini satu lagi kata-kata beliau yang dipetik dalam satu perbahasan di Parlimen Malaysia, 19 November, 1963 yang berbunyi: Peranan PAP di Parlimen Malaysia adalah sebagai kawan, pembangkang setia dan pengkritik. Kami adalah pembangkang setia yang bertujuan untuk memperbaiki perjalanan sistem demokrasi.

Mengenai media, beliau berkata: Saya baca Berita Harian. Saya tidak baca Utusan (Melayu) kerana ia dalam tulisan Jawi. Tapi saya baca terjemahan yang disediakan oleh Kementerian Kebudayaan, setiap pagi. Ini adalah petikan kata Lee Kuan Yew pada majlis makan malam perayaan Hari Nasional.

Di Geylang Serai, 25 Ogos 1966, walaupun pelbagai petikan kata yang pelbagai nada, ada juga yang menjurus kepada dirinya. Semua kawan-kawan saya sudah tiada. Hanya saya seorang dari pasukan lama. Saya kekal untuk seketika untuk membantu peralihan, petikan kata beliau di World Link, Davos, Switzerland, Februari 1990.

Beliau juga berkata: Saya akan kekal sebagai menteri kanan selepas Timbalan Perdana Menteri pertama, Goh Chok Tong mengambil alih jawatan Perdana Menteri, dan akan kekal selagi Goh mahukan saya. Nilai prinsip saya kepada pemimpin baru ialah saya tidak menentukan dasar, tetapi membantu untuk memberi penjelasan kepada mereka, katanya kepada Thomas Hon, Yazhou Zhoukan, Hong Kong, pada Mac 18, 1990.

Mengenai sikapnya terhadap generasi muda, beliau menyatakan: Saya memberitahu pengganti saya bahawa jika mereka menolak generasi muda yang bijak yang tidak bersetuju dengan mereka mengenai dasar, akan tiba masanya mereka akan menjadi penentang sebenar, University of Mauritius, November 7, 1992.

Kalau kita menolak mereka yang semula jadi aktivis dengan idea, kemampuan, dedikasi, maka PAP merosakkan sistem. Ia tidak boleh menolak mereka yang komited dengan idea dan kebolehan. Ia mesti diterima dan membenarkan perubahan berlaku dari dalam kerana parti tidak boleh mempunyai pandangan jauh untuk memasukkan dalam program dan dasarnya terhadap semua perubahan yang akan berlaku di dunia.

Mengenai Melayu, beliau ada mengatakan: Di Singapura, di mana undi Melayu hanya 15 peratus, kami telah tunaikan hak Melayu dan memberi semua orang Melayu pendidikan percuma dari sekolah rendah hingga peringkat universiti, sesuatu yang Kerajaan Pusat tidak boleh lakukan, katanya pada Perhimpunan Pilihan Raya, Petaling Jaya, 11 April 1964.

Kuan Yew banyak bercakap mengenai Tunku Abdul Rahman, antaranya: Tunku selalu berbicara dengan lembut. Tetapi orang mengambil serius kata-katanya kerana mereka tahu di belakangnya adalah Timbalan Perdana Menteri, Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Tun Dr Ismail. Masing-masing membawa tongkat besar atas nama Tunku. NUS Political Association Forum, Straits Times Julai 24, 1990.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]