DARI semasa ke semasa satu demi satu perkara yang berkaitan dengan orang Melayu terus menjadi perdebatan dan dipertikaikan. Malah akibat daripada kurangnya cengkaman politik Melayu, pelbagai pihak mula bangkit menuntut perkara-perkara yang selama ini begitu asing bagi rakyat negara ini. Terbaru adalah tuntutan supaya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikaji semula dan konsep kesamarataan diberikan kepada semua kaum. Ketika mengulas perkara ini, Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling menganggap apa yang berlaku tidak boleh dibiarkan. Justeru beliau merumuskan apa yang cuba dilakukan oleh kelompok berkenaan adalah bertujuan bagi menjayakan politik berasaskan kepada kelas. ‘‘Politik berasaskan kelas berlawanan dengan politik berasaskan kaum. Lalu yang diperjuangkan oleh golongan ini ialah berasaskan kelas iaitu semua kaum itu sama,’’ katanya. Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR, beliau juga turut memberi pandangan apa yang harus dilakukan oleh pemimpin dan orang Melayu bagi menghadapi ‘ancaman’ tersebut ini termasuklah memastikan mereka memahami sepenuhnya apa yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan berhubung perkara-perkara yang menyentuh mengenai keistimewaan dan hak-hak orang Melayu. Menurut beliau, apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan bukanlah sesuatu yang direka malah sememang sudah wujud dan seharusnya dihormati. Atas sebab itulah orang Melayu tidak harus membiarkan mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya cuba menggugat peruntukan berkenaan. Selain itu Dr. Zainal juga melontarkan pandangan betapa perlunya Malaysia mempunyai pemimpin yang mampu membentuk pemikiran rakyat dan bukannya melontarkan idea yang kesudahannya boleh dipertikaikan. MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat perkembangan politik dan nasib orang Melayu pada masa ini? DR. ZAINAL: Sekarang ini kita berhadapan dengan isu yang besar. Ini kerana ada usaha yang amat menyeluruh di Malaysia dan juga di seluruh dunia terutama di kalangan ahli akademik yang cuba meruntuhkan apa yang dinamakan sebagai politik kaum bukan politik perkauman. Maknanya ada usaha supaya politik Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut dan sebagainya digantikan dengan politik yang berasaskan kelas. Inilah ideologi politik yang dimainkan oleh Pas, DAP dan juga PKR. Politik berasaskan kelas berlawanan dengan politik berasaskan kaum kerana ia akan meletakkan semua kaum itu adalah sama. Ideologi yang diperjuangkan oleh sistem kelas adalah berasaskan sosialisme. Parti Rakyat itu sosialis dan DAP juga sosialis. Tetapi kalau kita meninjau keadaan politik di Eropah misalnya, sosialisme sebenarnya sudah runtuh dan digantikan kapitalis. Tetapi mereka berselindung di sebalik kapitalis dan menjalankan ideologi sosialis. Maka sekarang ini apabila kita mengambil asas kelas, bangsa akan hilang dan itulah yang dirancang oleh kelompok ini. Kebetulan orang Melayu dituduh racialisme, padahal racialisme itu betul kerana berdasarkan bangsa. Tetapi orang Melayu tidak rasis. Kalau Melayu rasis, mereka tidak memberi hak kepada orang lain berpolitik seperti mana Ku Klux Klan di Amerika atau Red Army di Jepun. Itu adalah rasis. Jadi kepada kelompok ini orang Melayu dianggap seperti golongan Ku Klux Klan atau Red Army. Kenapa perkara yang begini baru timbul sekarang dan bukan sejak dulu lagi? DR. ZAINAL: Sebenarnya sejak zaman Lee Kuan Yew lagi perkara ini ditimbulkan dan diperjuangkan. Tetapi masa itu orang-orang Melayu tidak menerimanya, jadi mereka tidak menghiraukannya. Bagaimanapun anak-anak muda sekarang ini yang terdidik dengan nilai-nilai yang lebih umum dan tidak terlampau racialis, maka mereka menerima keadaan yang sama rata. Dalam perkembangan dunia luar pula sudah muncul perjuangan hak asasi manusia dan kesamarataan. Maka anak-anak muda kita pun mendukung perjuangan ini. Sejauh manakah mereka memahami soal konsep kesamarataan ini? DR. ZAINAL: Saya fikir mereka memahaminya daripada sudut Barat. Konsepsi ini berlaku di Barat walaupun banyak pendatang Barat tidak dianggap sebagai pendatang kecuali seperti di Perancis dan Jerman. Orang luar tidak diberi kerakyatan walaupun sudah berpuluh tahun tinggal di negara itu. Cuma bezanya di Eropah, orang luar tidak lagi menjadi pendatang selepas mereka diasimilasikan dengan budaya Jerman dan Perancis. Mereka tidak lagi mengikut budaya asal. Seperti Menteri Kehakiman Perancis, dia asalnya orang Morocco tetapi sudah diasimilasikan dan tidak lagi dianggap sebagai pendatang. Tetapi kita di sini berbeza kerana walaupun seseorang itu lahir di sini tetapi budayanya masih asing. Mereka tidak tahu pun sejarah Tanah Melayu. Adakah ini disebabkan kebebasan berbudaya yang terlampau diberikan oleh kerajaan negara ini? DR. ZAINAL: Saya fikir ini kerana sikap liberal kita sehingga membolehkan orang pendatang tidak tahu pun sejarah negara ini. Apa lagi soal bahasa Melayu, mereka tidak mengambil endah langsung. Maka sebab itulah kita menganggap mereka ini hanya pendatang sebab tidak ada perubahan yang radikal dalam diri dari segi budaya dan penampilannya. Mereka masih lagi mendukung kebudayaan dan sikap pendatang. Malah di segi sikap pun kita dapati mereka ini banyak sekali yang belajar tentang sejarah, sastera dan bahasa Cina. Mereka tidak belajar tentang bahasa Melayu. Mereka tidak tahu pun tentang sejarah Sarawak misalnya. Kesannya selama-lamanya berpisah dalam compartment rasis ini. Daripada satu sudut, salah satu jalan untuk memecah compartment itu dengan menghapuskan rasis mengikut sistem kelas. Tetapi itu akan merugikan golongan bumiputera kerana mereka bukan sahaja akan selama-lamanya akan duduk di bawah, malah tidak akan wujud orang Melayu dalam kelas menengah atau atasan Malaysia. Malah mereka tidak disebut lagi orang Melayu, Kadazan atau Murut. Mereka semua duduk di bawah. Kita tidak akan sedar bahawa orang bawahan itu semuanya bumiputera. Sebab itu kita mesti menolak sistem kelas ini kerana ia akan menindas golongan bumiputera. Adakah orang Melayu kelas elit sedar tentang kesan buruk sistem kelas yang diperjuangkan oleh puak tertentu? DR. ZAINAL: Kelas elit memang sedar dan sebab itu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan UMNO suatu masa dulu sengaja membina kelas menengah Melayu dan memperluaskannya untuk berhadapan dengan keadaan seperti ini. Apa yang diusahakan ialah kelas menengah di kalangan profesional mesti terdiri daripada Melayu. UMNO sedar tetapi tidak boleh mengelak daripada kejatuhan orang Melayu kalau sistem kelas ini berlaku. Berjuta-juta lagi bumiputera akan menjadi orang bawahan jadi pekerja, petani atau peramu dalam hutan. Oleh itu kalau tidak ada campur tangan kerajaan dalam Perlembagaan melalui Perkara 153 selamanya orang ini akan berada di bawah kerana mereka tidak mampu untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Contohnya, orang-orang kampung kalau tidak diberi biasiswa selama-lamanya tidak dapat naik. Justeru kita terpaksa mempertahankan Perlembagaan dan kebumiputeraan itu untuk menyelamatkan orang-orang bumiputera. Adakah sistem kelas bermakna Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah tidak berfungsi lagi? DR. ZAINAL: DEB itu hanya nama saja. Dalam Perkara 153 disebut pembangunan sosio ekonomi yang kita namakan DEB atau dulu kita namakan Dasar Pembangunan Nasional dan sekarang Misi Nasional. Nama tidak menjadi masalah kerana selama-lamanya ia boleh membela bumiputera yang masih di bawahnya berdasarkan Perkara 153. Jadi Perkara 153 ini tetap relevan dengan semua zaman untuk mempertahankan kedudukan bumiputera? DR. ZAINAL: Ya, amat relevan. Dulu pada zaman Tun Razak, Perkara 153 itu tidak disebut sebagai membela mereka yang mampu. Kumpulan kelas atasan tidak mendapat bantuan yang terlalu banyak kerana kita berfikir daripada sudut kedudukan ekonomi orang Melayu. Golongan bawahan yang tidak mampu harus dibela sepenuhnya tanpa mengira bumiputera atau sebaliknya. Saya fikir kalau kita berhujah begitu barangkali lebih senang untuk melaksanakan DEB. Bagaimana pula dengan sesetengah pemimpin politik yang menguar-uarkan untuk memberi kesamarataan kepada semua kaum? DR. ZAINAL: Itu memang perjuangan pembangkang. Objektif mereka hanya mahu menghapuskan Perkara 153. Masalahnya sekarang UMNO tidak tahu berhujah untuk menangkis hujah pembangkang dalam isu ini. Sebenarnya kerajaan membela semua orang yang berada di bawah, tidak kira Cina, India atau Melayu. Kerajaan akan membela mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Tetapi masalahnya UMNO tidak mendedahkan semua itu dan yang disebutkan hanya orang Melayu saja. Sepatutnya fasa dua ini membela seluruh bumiputera di Sabah dan Sarawak serta Melayu di luar bandar. Sekiranya dilakukan begini, dapatlah kita menangkap imaginasi pelbagai kaum. Jadi dalam soal ini Perlembagaan tetap relevan dan mesti dipertahankan oleh siapa pun yang memerintah. Bumiputera berhak menuntut hak mereka seperti di Pulau Pinang, orang Melayu berhak menuntut hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Adakah orang Melayu mampu mempertahankan Perkara 153 dengan perpecahan kalangan orang Melayu sekarang ini? DR. ZAINAL: Orang Melayu boleh mempertahankan Perkara 153. Tetapi dengan syarat parti politik Melayu dan NGO Melayu mesti memperjelaskan maknanya supaya semua orang faham bahawa ada peruntukan undang-undang seperti itu dalam Perlembagaan. Orang Melayu masih boleh mempertahankan Perkara 153. Orang Melayu mesti mempertahankannya sehingga ke satu tahap di mana mereka boleh membahagikan kekayaan negara. Yang salah ketika ini ialah kita membahagikan ekuiti. Ekuiti tiada apa-apa makna. Tetapi kalau kekayaan negara, kita menuntut ekuiti kesaksamaan, orang Melayu mesti mendapat 69 peratus kekayaan negara barulah ia dianggap saksama. Apa pandangan Datuk mengenai kewujudan Melayu liberal? DR. ZAINAL: Mereka ini adalah orang yang tidak terlibat dalam sejarah bangsa dan tidak tahu tentang asas-asas bangsa. Mereka hanya tahu modern legal politic. Itu saja. Mereka ini terlampau terpengaruh dengan prinsip-prinsip Amerika. Sebenarnya Amerika pun tidak mengamalkan liberalisasi, hanya baru sekarang orang kulit hitam mendapat tempat di negara itu. Barack Obama pun di bawah Parti Demokrat, kalau beliau berada dalam Republikan, beliau tidak akan mendapat tempat kerana parti itu masih mempertahankan apa yang ada. Kita juga akan menjadi Republikan yang konservatif mempertahankan apa yang ada. Di negara kita akan muncul golongan yang memperjuangkan kelas seperti Parti Demokratik, satu lagi mempertahankan racial group seperti Parti Konservatif di England dan Parti Republikan di Amerika. Itu akan berlaku di negara ini. Adakah ini berlaku disebabkan oleh lemahnya politik orang-orang Melayu? DR. ZAINAL: Itu bukan kerana lemahnya politik Melayu tetapi lemahnya pemikiran pemimpin Melayu. Mereka tidak dapat menterjemahkan dan mentafsir Perlembagaan itu sepenuhnya dan mempertahankannya. Saya fikir kalau pemimpin politik Melayu seperti Tunku Abdul Rahman sudah pasti kita boleh mendepani keadaan ini. Tetapi kemudiannya Tunku pun jadi liberal hingga tercetus tragedi 13 Mei. Kalau pemimpin kita dapat menjelaskan apa yang ada dalam Perlembagaan negara, keadaan tidak akan sampai ke tahap sekarang ini. Dalam negara ini, Perlembagaan itu membayangkan ada negeri Melayu. Asas dalam Perlembagaan ialah Persekutuan Malaysia terdiri daripada negeri-negeri Melayu. Selangor, Kedah, Perak dan Kelantan adalah negeri Melayu dan Perlembagaannya masih kekal sebagai Perlembagaan Melayu. Menteri Besar mesti Melayu dan Islam, itu Perlembagaan negeri Melayu. Dan Malaysia adalah gabungan negeri-negeri Melayu kecuali Sabah, Sarawak , Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang. Itu pun rajanya adalah Yang di-Pertuan Agong. Tetapi yang lain Menteri Besarnya mesti Melayu dan Islam. Bermakna Malaysia itu negeri Melayu pada asasnya. Maka kerana itu Perlembagaan disusun dengan meletakkan Melayu sebagai teras seperti bahasa Melayu, pentadbiran Melayu, ekonomi Melayu dan Majlis Raja-Raja Melayu. Pemimpin Melayu mesti memberikan hujah yang rasional bahawa negeri ini adalah negeri Melayu dan semua orang hanya mempunyai hak tertentu dalam negeri ini seperti hak persamaan, ekonomi, hak asasi, hak berpolitik dan sebagainya. Tetapi dengan syarat kita mendidik anak -anak kita sejak awal lagi bahawa ini negeri Melayu. Tetapi apa yang berlaku ialah pemimpin kita tidak punya visi itu dia tidak faham Perlembagaan. Empat lima tahun kebelakangan ini sudah ada suara-suara supaya diwujudkan kesamarataan. Mereka mempersoalkan hal-hal lain dalam Perlembagaan dan mentafsirkan Perlembagaan secara selektif, bermakna yang mana menguntungkan mereka akan disokong, kalau tidak menguntungkan mereka tidak disokong. Malah mereka akan menekankan hak-hak asasi manusia. Bagaimana Datuk melihat pemimpin-pemimpin Melayu sekarang ini kerana kalau dilihat pemimpin Cina boleh bercakap mengenai isu Cina tanpa dibelenggu perbezaan politik? DR. ZAINAL: Masalah yang terbesar ialah kerana pemimpin Melayu tidak lagi membentuk pemikiran rakyat. Yang membentuk pemikiran kita ialah orang-orang Cina seperti dalam Gerakan dan MCA yang menuduh pemimpin Melayu tidak adil kepada mereka. Tetapi pemimpin Melayu tidak menjawab bahawa 50 tahun pemimpin Melayu memberi peluang untuk mereka membesar. Kita tidak memberi pun data keuntungan orang bukan Melayu di bawah DEB. Orang Melayu dapat 20 peratus misalnya tetapi yang 80 peratus siapa yang dapat? Tetapi kita sibuk dengan 20 peratus ini saja. DEB itu menguntungkan orang lain kerana orang Melayu hanya baru hendak berubah daripada ekonomi tani dan nelayan kepada ekonomi bandar. Kita baru sampai ke tahap itu saja. Kita belum naik ke tahap industri kecil dan sederhana (IKS). Jadi DEB sebenarnya hanya sempat menaikkan orang Melayu dan bumiputera daripada ekonomi nelayan dan petani kepada ekonomi gerai di pinggir-pinggir bandar. Orang Melayu tidak dapat restructure ekonomi Cina yang sudah menguasai IKS. Jadi kalau kita tidak dapat membentuk pemikiran bangsa seperti yang kita mahu dan membiarkan Gerakan dan MCA membentuknya bermakna kita akan kalah. Itu yang menjadi masalah besar. Dulu Dr. Mahathir membentuk pemikiran dan orang dapat memegangnya seperti membuat Wawasan 2020. Apa nasihat Datuk kepada orang Melayu? DR. ZAINAL: Orang Melayu harus bertindak dalam multi dimensi. Mereka mesti faham kuasa yang ada kepada orang Melayu dan parti politik Melayu. Golongan pemimpin terutamanya harus memahami kedudukan sebenar mereka dalam peruntukan Perlembagaan dan undang-undang. Selain itu mereka harus mentafsir kembali peluang-peluang dalam Perlembagaan itu dan bagaimana membentuk kembali negara seperti mana yang dibayangkan oleh Perlembagaan itu dalam semua sudut. |
Thursday, January 6, 2011
Tolak sistem politik kelas
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment