Thursday, February 17, 2011

ISU-ISU AKHBAR CINA



MASYARAKAT CINA TIDAK PERLUKAN MCA

USAHA MCA untuk meraih sokongan kaum Cina mendapat perhatian Loh Hon Chew yang menulis mengenainya dalam akhbar China Press.

Artikel bertajuk ‘Mahu berpolitik bukan pergi belanja makan-makan sahaja’ disiarkan menerusi ruangan perbincangan rakyat akhbar berkenaan bertarikh 11 Februari lalu.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini bahawa hanya parti itu sahaja yang mewakili masyarakat Cina dan sebab itu kaum berkenaan terus menyokong MCA.

Menurut Hon Chew, Tiong Lai telah lupa kata-kata seorang pemimpin MCA lain bahawa parti itu umpama ikan dan masyarakat Cina adalah air.

‘‘Air boleh untuk tidak memerlukan ikan tetapi ikan tidak boleh hidup tanpa air,’’ jelasnya.

Jika mahu dihuraikan secara lebih jelas lagi, tulis beliau, air tidak perlukan ikan seperti MCA, kerana masih banyak lagi ikan di luar sana yang boleh masuk ke dalam air itu bagi menggantikan parti berkenaan.

Beliau turut menempelak MCA sebagai ikan yang akan mengalami kepupusan disebabkan wakil rakyat parti itu menang dalam pilihan raya kerana sokongan pengundi Melayu.

‘‘Jika ikan-ikan ini hidup bertautkan pada pengundi Melayu, walaupun MCA mendapat jawatan-jawatan menteri, sudah tentu mereka tidak mewakili suara orang Cina,’’ tulis beliau.

Tambah beliau, hakikat itu menyebabkan UMNO tidak menghormati MCA, kerana menganggap parti itu tidak mewakili suara orang Cina yang sebenar.

Sikap UMNO terhadap MCA, tegas beliau, telah mengecewakan masyarakat Cina sehingga menyebabkan mereka tidak menyokong parti itu dan akhirnya menyebabkan ia semakin lemah dan tidak bermaya.

Dalam pada itu, jelas beliau, sokongan masyarakat Cina telah mula merosot sejak 1950-an yang berpunca kerana terdapat beberapa budaya tradisi tidak baik yang diamalkan MCA termasuk keengganan pemimpin parti itu mempelajari bahasa Mandarin sehingga menyebabkan mereka tidak tahu kehendak kaum itu yang diluahkan dalam akhbar berbahasa berkenaan.

‘‘MCA juga telah melakukan kesilapan besar apabila memisahkan diri dengan Dong Jiao Zong (Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia) dan mahu menghapuskan sistem pendidikan sekolah Cina.

‘‘ Apa yang masyarakat Cina mahukan dianggap menyusahkan oleh MCA. Sebab itu, apabila kita mahu wujudkan sekolah menengah Cina, isu ini diketepikan oleh parti berkenaan.

‘‘Jika MCA tidak tahu mengambil kesempatan daripada isu-isu yang orang Cina sukakan, bagaimana mereka akan mendapat sokongan daripada kaum ini?’’ soalnya.

Tegas beliau, jika parti itu mahu terus dihormati dan berkembang di kalangan masyarakat Cina, mereka harus mengubah tradisi lapuk yang terdapat dalam parti itu.

‘‘Maksud berubah ini bukan dengan cara belanja makan untuk isi perut sahaja. Jika di peringkat bawahan MCA masih menggunakan tradisi lama, sudah pasti masyarakat Cina dengan sendirinya akan tinggalkan parti ini,’’ tulis Hon Chew.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]