Tuesday, February 1, 2011

LAGI BUKTI PENGUNDI SENYUM PADA PAS BERI UNDI PADA BN

Tenang: Pengundi ternyata lebih yakin perjuangan Islam BN

"SEDIHLAH tuan, Pas kalah... teruk pulak tu! Satu minggu saya dan isteri tolong kempen sini. Agak-agak apa sebab kami kalah, tuan?"
Seorang lelaki berjaket dengan lambang Pas dari Batu Pahat melontarkan soalan, tidak lama selepas beliau dan isterinya duduk di kerusi kosong dan meja sama dengan penulis di sebuah restoran mamak di Labis semalam.
Beliau berada di Labis untuk membantu jentera Pas berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
Isterinya yang duduk berhadapan penulis pula memberitahu:
"Saya jumpa orang perempuan di Felda-Felda dan kampung, mereka layan kami baik. Nampak seolah- olah sokong kami, tapi rupa-rupanya tak beri undi."
Penulis sebenarnya lebih awal menjamu sarapan pagi di restoran itu yang penuh sesak dengan pelanggan, malah ramai yang berdiri. Hendak memesan roti canai pun terpaksa berbaris panjang, ambil sendiri daripada penebar roti.
Soalan lelaki dikenali sebagai 'Abang Mat' bekerja sebagai peniaga itu diajukan selepas perbualan singkat dengan penulis yang membawa kepada perkenalan kami. Malah beliau sempat meminjam dan membaca dengan khusyuk akhbar Utusan Malaysia yang penulis bawa.
Penulis ketika itu tanpa ragu-ragu memberitahu bekerja dengan akhbar Utusan Malaysia, yang selama ini digelar oleh penyokong Pas sepertinya sebagai 'Utusan Meloya' dan segala macam hinaan.
Apa jawapan kepada 'Abang Mat', akan penulis sebut selepas ini.
Malam tadi, ketika menggunakan komputer riba di Masjid Jamek Labis, tempat penulis dan pasukan petugas Utusan Malaysia beroperasi selepas rumah sewa kami di Kampung Sungai Gatom dinaiki air banjir setinggi lebih satu meter, seorang usahawan Pas juga berkenalan dengan penulis.
"Saya tak boleh terima, tuan. Bagaimana Pas kalah seteruk ini?
"Adakah orang Melayu tak boleh terima Pas, sedangkan orang Cina sudah mula sokong kami?" soalnya yang memperkenalkan diri sebagai Mahad berasal dari Klang, juga berjaket lambang Pas.
Kami berbual di sudut berbumbung di tepi bilik mengambil wuduk masjid itu.
Di hadapan sana, di dalam dewan solat, kaki lima dan tingkat atas masjid, padat dengan kira-kira 600 orang yang mengalami nasib sama seperti penulis.
Mereka terperangkap tidak boleh pulang, sama ada ke Kuala Lumpur dan negeri lain mahu pun ke Segamat serta Johor Bahru sebab semua jalan keluar dinaiki air.
Penyudahnya, penulis sendiri, rakan-rakan wartawan dan semua 'orang luar' tersebut terpaksa tidur di dalam masjid berkenaan.
Selain 'Abang Mat', isterinya dan Mahad, terdapat dua lagi petugas Pas termasuk Yunus dari Shah Alam bertanya soalan yang sama kepada penulis di masjid tersebut.
Jawapan kepada keempat-empat aktivis Pas itu sama sahaja. Penulis tegaskan kepada mereka bahawa cara lama Pas terus-terusan memperalat hukum-hakam agama dengan harapan orang Melayu menyokong parti itu, sangat keterlaluan dan tidak disenangi orang Islam.
"Walaupun saya bekerja dengan akhbar Utusan Malaysia milik UMNO, itu tidak bermaksud saya tiada pendirian atau pegangan dalam bab agama sebab saya juga orang Islam.
"Setakat ini saya sendiri tak jumpa lagi 'fatwa-fatwa' Pas yang konsisten. Apabila isu itu melibatkan orang UMNO, mereka kata tidak boleh dan apabila kena mereka sendiri, mereka cakap boleh," kata penulis.
Mengenai sikap pengundi terhadap Pas, penulis menjawab:
"Saya fikir orang Melayu di Tenang berkongsi pandangan dengan saya. Mereka lebih meyakini pendekatan Islam oleh UMNO. Siapa kata di Johor, BN (Barisan Nasional) tak utamakan Islam?
"Sejak berpuluh-puluh tahun lalu, Johorlah yang terawal perkenal pengajian agama dan al-Quran secara terurus dan sistematik iaitu mempunyai sekolah agama sendiri gunakan peruntukan kerajaan.
"Sebab itu orang Melayu bertambah marah apabila ada orang Pas kata 'haram syarie' undi UMNO.
"Adakah orang Pas bermaksud orang Johor dan negeri lain yang undi UMNO dan BN selama ini telah dicatatkan dosa mereka oleh malaikat dan perlu bertaubat?"
'Abang Mat', isterinya, Mahad, Yunus dan seorang lagi penyokong Pas tidak membalas jawapan penulis, sekadar mengangguk kepala.
Mereka dan juga hampir kesemua 600 'musafir' yang 'berkampung' di Masjid Jamek Labis malam semalam juga diyakini adalah penyokong Pas berdasarkan pakaian dan nada perbualan sesama mereka.
Dan pagi semalam, selepas menunaikan solat subuh, penulis jelas melihat wajah para 'musafir' terbabit terkejut melihat Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berada di situ sama-sama mengikuti kuliah di hadapan mimbar dan sebaris kira-kira 50 rehal berserta al- Quran di saf pertama.
Ketika berbaris panjang untuk mengunakan tandas bagi membersihkan diri, sekali lagi terserempak dengan Mahad. Selepas melihat keseriusan kerajaan BN mengangkat syariat Islam di masjid itu, beliau tersenyum lebar dan menjadi lebih mesra dengan penulis.
Selepas 13 hari membuat liputan Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, penulis menyimpulkan kemenangan calon BN, Mohd. Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi semalam didasari keikhlasan parti itu dalam perjuangan meninggikan syiar Islam dan juga membawa pembangunan kepada rakyat.
Sedangkan Pas hanya menggunakan agama menerusi pelbagai cara termasuk tohmahan dan cacian untuk mencari undi.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]