Monday, February 7, 2011

Meneropong ke Merlimau....



Oleh: ROSLAN BIAN

Menang di PRK Batu Sapi, Galas dan Tenang, bukan mustahil mengekalkan kerusi DUN Merlimau, Melaka pada 6 Mac depan.

Mungkin itu diharapkan pemimpin-pemimpin BN. Momentum kemenangan harus dikekalkan sebagai semangat menjelang PRU ke 13, yang tunggu masa pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak – berkemungkinan November nanti.

Ambil kira Johor dan Melaka antara kubu kuat BN, macam tiada masalah calon BN yang akan dipertaruhkan di Merlimau.

Asalkan bukan calon yang ada cermin sisi hitam dan dibaluti macam-macam isu, BN boleh menang.

Persoalannya, adakah sekadar boleh menang atau selesa dengam majoriti lebih besar?

Pada PRU ke 12, allahyarham Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan menewaskan calon PAS, Jasme Topang dengan majoriti 2,154.

Jauh berbeza jika dibanding pada PRU ke 11 apabila Mohd Hidhir mengenepikan calon PKR Jayathes Sirkunavela dengan majoriti 5,087.

Angka itu hampir sama dengan kemenangan allahyarham Datuk Sulaiman Taha di DUN Tenang pada 2004 dan 2008.

Menjelang PRK Tenang, Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap dapat mengumpul majoriti 5,000 undi tetapi akhirnya selepas berpanas dan banjir hanya 3,707 saja diperolehi.

Ramai berpendapat BN boleh menang besar dalam beberapa siri PRK sebelum ini kerana pembangkang sedang diasak macam-macam isu.

Sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, seolah-olah pembangkang hampir patah taring atau sayap.

Tetapi melihat angka kemenangan di Galas mahupun Tenang, nampak pembangkang belum betul-betul ‘luka’ akibat serangan bertubi-tubi blogger dan isu-isu yang membengkak dalam PKR mahupun PAS.

Justru itu, ambil kira perkara ini, Agendadaily sendiri meramalkan BN hanya menang majoriti sekitar 3,800 undi dan PAS hanya memperolehi kira-kira 700 undi daripada tiga kawaan Felda di Tenang.

Dengan majoriti 3,707 dan 600 undi diperolehi PAS di kawasan Felda, jangkaan itu tidak jauh tersasar.

Angka itu tidak cukup selesa memandangkan Johor memang diakui kubu kuat UMNO.

Sepatutnya harapan Muhyiddin jadi kenyataan tetapi PAS, PKR dan DAP bukannya parti yang boleh diperkecilkan begitu sahaja walaupun di luar mereka nampak macam bisol hampir pecah.

Maka di Merlimau nanti, BN tidak boleh memasang angan-angan untuk menang selesa.

BN tidak boleh berharap isu peribadi Anwar dan ulama ‘selipar’ yang dilabelkan kepada Mursyidul Am PAS itu jadi kelebihan kepada BN sama ada berdepan calon PKR mahupun PAS.

Pembangkang sebenarnya masih gagah kalau keputusan di Hulu Selangor, Galas dan Tenang diambil kira.

Cuma di Batu Sapi apabila calon BN Datin Linda Tsen menang dengan majoriti besar, nampak seolah-olah rakyat sudah kembali menyokong BN – padahal sebenarnya, PKR terlau kecil di bumi Bawah Bayu itu.

Di Merlimau, ada 10,679 pengundi berdaftar dengan 65% Melayu, 21% Cina dan 14 % India.

Ini lebih kurang bermakna ada kira-kira 6,650 pengundi, 2,250 (Cina) dan 1,550 (India).

Selepas tsunami politik 2008, pengundi Cina dan India terus jadi fokus dalam menentukan kemenangan parti bertanding.

Walaupun ada tanda-tanda pengundi India kembali menyokong BN, pengundi Cina jelas masih memihak kepada pembangkang.

Mereka juga akan jadi tumpuan di Merlimau.

Lihat pada jumlah pengundi tiga kaum ini, Agendadaily sudah boleh congok jika PAS bertanding di Merlimau, calon parti itu masih boleh kekalkan sekitar 2,300 undi dan majoriti kemenangan calon BN mungkin 2,800 undi sahaja.

Peluang BN menang lebih besar hanya jika PKR yang bertanding.

Calon BN boleh mencapai majoriti 3,100 undi jika parti kian rebah itu diberikan laluan oleh PAS di Merlimau.

Apapun sukar untuk melihat calon PKR atau PAS memperolehi undi bawah 2,000.

Sokongan kepada kedua-dua parti itu masih kukuh walaupun sudah dinyatakan macam-macam cerita dalaman parti sudah terbongkar.

Rasanya, PAS yang sudah luka di Tenang pasti tidak mahu luka itu diperah limau di Merlimau.

Lebih bijak parti itu memberi laluan kepada PKR bertanding.

Cukuplah mereka kalah di Galas dan Tenang.

Malu rasanya kalau tewas berterusan di Merlimau pula.

Khabarnya pembangkang akan bermesyuarat minggu ini bagi menentukan sama ada PKR atau PAS yang akan menyahut perjuangan di N27 Merlimau – sekaligus PRK ke 15 dalam tempoh tidak sampai tiga tahun sejak PRU ke 12.

Jika PAS sudah diaibkan di Galas dan Tenang, biar giliran PKR mula di Merlimau.

Harapan BN menang besar bukan sahaja terletak pada calon parti dan lawan tetapi wajib memastikan bilangan keluar mengundi lebih ramai berbanding hampir 76 % pada PRU lalu.

Andai tidak, bersedialah untuk sekadar memang saja. -7/2/2011

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]