Monday, February 7, 2011

PAS, PKR dilanda 'Sindrom AIDA'

PAS, PKR dilanda 'Sindrom AIDA'
Oleh Kamal Ahmad
mohdkamal@bharian.com.my
2011/02/07
Kepemimpinan kedua-dua parti ketepi kerjasama seperti dilaung demi dapatkan Merlimau

SELEPAS menyalahkan UMNO serta hujan lebat dan banjir yang menyebabkan kekalahan calonnya, Normala Sudirman dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dekat Labis, minggu lalu, PAS mungkin perlu mencipta alasan lain untuk proses sama di DUN Merlimau, Melaka pada 3 Mac depan.
Walaupun PAS beriya-iya mahu meletakkan calon di situ, Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun bersikap enggan toleransi kerana yakin kali ini adalah gilirannya meletakkan calon. PAS tidak akan menyerahkan kerusi DUN Merlimau kepada PKR kerana difahamkan pimpinan tertinggi PAS setuju parti itu meletakkan calonnya.
Kalau benar perkembangan ini maka seperti tiada kesefahaman di kalangan pucuk kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti itu untuk menetapkan siapa layak bertanding di kerusi yang menyaksikan rekod kemenangan BN 4-0 terhadap calon lawan sejak DUN itu diwujudkan pada 1994.

Kenapa berebut kerusi di DUN yang belum pernah memberikan kemenangan kepada calon Semangat 46, PKR dan PAS? Jika PAS akhirnya ‘menang dalam perebutan kerusi dengan PKR kali ini’ maka bolehkah parti itu memberi jaminan kepada pakatan pembangkang bahawa calonnya boleh menang? Selepas di DUN Galas dan DUN Tenang, potensi PAS terus mencipta kekalahan di DUN Merlimau adalah sangat cerah. Apakah PAS dan pakatan pembangkang rela berdepan dengan ‘kekalahan hartrick’ yang bakal disumbangkan ini?

Untuk meredakan keadaan seketika, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dilaporkan berkata majlis tertinggi pakatan pembangkang akan bermesyuarat hari ini bagi membuat keputusan berhubung calon bagi pilihan raya kecil itu. Mesyuarat dijadual di Ibu Pejabat PKR dan ini turut menggambarkan parti itu lebih dominan tetapi apakah boleh mempengaruhi keputusan hari ini memihak kepadanya?

Sesuatu yang menarik berlaku apabila PAS dan PKR berebut-rebut sesama sendiri untuk bertanding di DUN Merlimau. Sikap ini membuktikan kedua-dua parti tidak tahu memilih jalan diplomasi dan mencari jalan tengah menyelesaikan soal itu. Kedegilan masing-masing akhirnya diseret sehingga ke tempat terbuka dan tersingkap sikap dua parti itu sebenarnya sukar bekerjasama apabila tiba soal kuasa walaupun konon kukuh dalam pakatan pembangkang.
PKR dikatakan berpegang kepada amalan penggiliran. PAS pula mungkin memberi alasan, penggiliran hanya berlaku membabitkan pilihan raya umum. DUN Merlimau adalah kubu BN. Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Abu Zahar Ithnin pernah mewakili DUN itu pada penggal 1982 dan 1995. Sebelum itu, abangnya, Datuk Ahmad Ithnin adalah wakil penggal 1974.

Pada 1994, proses persempadanan semula DUN Merlimau menyaksikan sebahagiannya menjadi DUN Sungai Rambai. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1995, calon parti Semangat 46 kecundang ketika bertanding menentang Abu Zahar. Dalam PRU 1999, calon PAS, Jasme Tompang ditampilkan menentang calon BN, Datuk Nadzri Azim. PAS pula kecundang. Seterusnya, PKR meletakkan calonnya, Jayathas Sirkunavelu pada PRU 2004 dan tewas dengan 5,087 undi kepada calon BN, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan.

PAS menagih semula kerusi itu pada PRU 2008 dan akhirnya parti itu sekali lagi mencalonkan Jasme menentang Hidhir namun kecundang kali kedua dengan majoriti 2,154 undi. PAS boleh dikatakan musuh tradisi BN di DUN Merlimau dan wujudnya markas di Merlimau Pasir, menunjukkan parti itu sudah lama di situ.

Namun, mesyuarat pakatan pembangkang yang dijadualkan hari ini pastinya panas selepas kedua-dua pihak tidak menemui jalan kompromi pada peringkat daerah dan negeri. Membawa kes ini kepada majlis tertinggi pakatan pembangkang, maka boleh dikatakan ia memang serius dan sebarang keputusan yang dibuat bakal memberi kesan kepada pakatan. Pihak yang ‘kalah’ walaupun boleh ‘bermanis muka’ di depan tetapi tetap rasa kecewa di belakang.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Melaka, Datuk Idris Harun, merumuskan perebutan kerusi itu kepada beberapa maksud yang menggambarkan PAS, PKR mahupun DAP umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.

“Apabila berebut kerusi maka semua orang tahu antara PAS dan PKR lebih mementingkan kuasa masing-masing. Ini tidak berlaku dalam Barisan Nasional (BN) yang sentiasa membahagikan kerusi mengikut kriteria tertentu terutama faktor komposisi kaum.

“Apabila PAS dan PKR berebut, ia tidak mencerminkan pakatan pembangkang mampu mengamalkan semangat perkongsian kuasa bagi sebuah pakatan yang bermimpi untuk memerintah negara,” katanya.

Perebutan itu turut membuktikan kedua-dua parti tidak matang, mementingkan diri dan saling tidak ada keyakinan antara satu sama lain dalam mengukur prestasi dan kemampuan parti masing-masing.

“Masing-masing saling mencurigai dan tidak berani pasrah. Ini juga menunjukkan kepemimpinan kedua-dua parti itu kini turut dilanda ‘Sindrom AIDA’ (Amnesia, Inertia, Delusion dan Arrogance) atau penyakit lupa diri, jumud, khayal dan angkuh kerana masing-masing merasakan partinya lebih baik. Perkembangan yang berlaku di Merlimau membuktikan pakatan rakyat memang tidak ada misi dan visi dalam perjuangannya,” katanya.

Sama ada mesyuarat hari ini di peringkat pengurusan atau kepemimpinan, ia adalah dua tahap yang berbeza tetapi memberi satu pengertian yang jelas bahawa ‘unholy alliance’ kini semakin ketara saling tiada kepercayaan dan keyakinan.

Mengungkit prestasi buruk PAS di DUN Bagan Pinang, Galas dan Tenang serta menilai perkembangan dalaman PKR nampaknya memberi kelebihan kepada DAP untuk lebih dominan di kalangan ketiga-tiganya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]