Tuesday, February 8, 2011

PRK MERLIMAU....LAWATAN PM PADA 19 FEBUARI 2011

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan sehari ke Merlimau pada 19 Februari depan untuk meninjau kemajuan pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata antara aturcara sempena lawatan Perdana Menteri ialah merasmikan pecah tanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, yang dibangunkan dengan anggaran kos RM300 juta di atas tanah milik Yayasan Melaka.

Beliau juga dijadual melakukan pecah tanah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Merlimau, melakukan tinjauan mesra di Pekan Merlimau dan pada sebelah malamnya menghadiri jamuan rakyat serta jamuan Tahun Baru Cina di pekan itu.

Sempena lawatan itu, Najib, yang juga pengerusi BN akan mendengar taklimat persediaan pilihan raya kecil DUN Merlimau, kata Mohd Ali kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat timbalan menteri di jabatan perdana menteri Datuk Ahmad Maslan, di Seri Bendahara di Melaka hari ini.
Turut hadir pada perjumpaan yang membincangkan mengenai strategi dan kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau itu ialah ahli majlis tertinggi Umno yang juga ketua penerangan Umno Melaka, Datuk Idris Haron.
Mohd Ali berkata lebih banyak kawasan industri baru akan dibangunkan di DUN Merlimau, antaranya di Lipat Kajang bagi pembangunan lebih pesat.

Mengulas mengenai pilihan raya di DUN berkenaan, beliau berkata Merlimau merupakan kubu kuat BN sejak dahulu dan menyaksikan banyak pembangunan.

"Saya juga percaya sentimen pengundi di DUN itu kuat dan berada dalam mood yang baik untuk terus menyokong BN kerana banyak jasa ditinggalkan oleh Allahyarham Mohamad Hidhir untuk pembangunan Merlimau," katanya.
Lancar jentera BN
Dalam pada itu, Mohd Ali juga berkata jentera penerangan BN bagi pilihan raya kecil itu akan dilancarkan Sabtu ini di Air Merbau, Merlimau.
Mohd Ali Rustam yang juga pengarah pilihan raya BN bagi pilihan raya kecil itu berkata pelancaran jentera penerangan itu sebagai persediaan awal sebelum kempen bagi pilihan raya kecil itu dibenarkan selepas penamaan calon pada 26 Feb ini.

"Pelancaran jentera penerangan itu akan dilakukan bersama oleh saya dengan ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pada pukul 3 petang di dewan orang ramai.
"BN Melaka juga memutuskan untuk menjemput semua jentera BN di seluruh negara untuk membantu berkempen sepanjang tempoh (kempen) pilihan raya bagi (meraih) majoriti yang lebih baik berbanding pilihan raya umum 2008," katanya.

Mohd Ali berkata beliau akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa depan di Putrajaya untuk memberi taklimat mengenai pilihan raya kecil itu.

"Juga perjumpaan itu untuk berbincang dengan Najib mengenai calon bagi DUN Merlimau," katanya.
Umno Bahagian Jasin telah mengemukakan senarai nama tujuh calon kepada Mohd Ali untuk semakan dan pertimbangan.

Sementara itu, Ahmad berkata kemenangan BN pada pilihan raya kecil di DUN Tenang, Johor dengan tambahan majoriti pada Ahad lepas dan juga kemenangan sebelumnya di Batu Sapi, Galas, Hulu Selangor dan Bagan Pinang diharap akan berterusan di Merlimau.
"Kalau boleh, kita bawa semangat Tenang dan juga pilihan raya kecil lain yang BN memenanginya ke Merlimau iaitu menang dengan majoriti yang lebih besar daripada keputusan pilihan raya umum 2008," katanya.

Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN meninggal dunia pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Feb ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 6 Mac jika ada pertandingan.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

DUN itu mempunyai 10,679 pengundi pendaftar.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]