Saturday, February 12, 2011

RM465,000 bantu mangsa banjir - Ali Rustam

 


Mohd. Ali Rustam (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di kawasan Chincin, Melaka, semalam.


JASIN 11 Feb. - Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM465,000 bagi membantu mangsa banjir yang berlaku di seluruh negeri pada akhir bulan lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jumlah itu melibatkan seramai 2,292 keluarga atau 9,089 mangsa banjir yang menerima pelbagai bantuan tersebut.
Menurutnya, bagi daerah Jasin, sejumlah RM129,400 disalurkan membantu mangsa banjir dalam daerah tersebut.
''Bagi kawasan Sungai Rambai dan Merlimau, kita sudah belanja kira-kira RM24,400 bagi membantu mangsa banjir di kawasan tersebut.
''Setakat ini, tinggal beberapa keluarga sahaja yang masih berada di pusat penempatan sementara banjir di Sungai Rambai dan menjangkakan kesemua mereka pulang ke kediaman masing-masing tidak lama lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan Chincin dan menyampaikan sumbangan bantuan bencana di kawasan tersebut di sini hari ibni.
Menurutnya, daripada 2,292 keluarga yang terlibat banjir, daerah Alor Gajah mencatatkan bilangan teramai iaitu 1,010 keluarga, diikuti Melaka Tengah seramai 716 keluarga manakala Jasin melibatkan 566 keluarga.
Kata beliau, setakat ini, hanya dua pusat penempatan banjir masih beroperasi iaitu di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu dan Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat melibatkan 20 keluarga atau 69 orang.
''Hari ini, mangsa banjir yang ditempatkan di dua sekolah berkenaan berkurangan berbanding semalam ada 25 keluarga atau 90 mangsa, ada yang sudah pulang ke rumah masing-masing," katanya.
Sementara itu, Mohd. Ali memberitahu, pihaknya meluluskan RM18,000 bagi projek pembinaan benteng tebing Sungai Chincin yang diminta oleh penduduk di kawasan tersebut bagi mengelak berlakunya masalah banjir di situ.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pusat bagi mendapatkan peruntukan RM260 juta bagi membina benteng sejauh empat kilometer di Sungai Kesang bagi tujuan yang sama.
Peruntukan itu, kata beliau, turut meliputi pembinaan kolam takungan di Jasin dan Sungai Gadek di Alor Gajah.
''Ia termasuk pembinaan kolam takungan banjir seluas kira-kira 40 hektar di Durian Tunggal, Kampung Belimbing dan Kampung Pulau.
''Sekiranya perancangan ini berjalan lancar, kita harap insiden banjir yang berlaku dapat dikurangkan pada tahun akan datang," katanya.
Menurutnya, secara keseluruhannya, Melaka memohon peruntukan RM2 bilion kepada Kerajaan Pusat bagi membantu meningkatkan prasarana mengatasi insiden banjir di seluruh negeri.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]