Setelah bergelar YB, mulalah timbul beberapa masalah. Yang pertamanya apabila pelbagai pihak datang dengan syor mengadakan majlis kesyukuran atas kemenangan. Setakat syor tak apa... yang menjadi masalah apabila ada yang datang terus bawa sebutharga dan minta dibereskan bil berkenaan. Johan hanya jamin beres (maksudnya, dia aturkan apa-apa yang patut) dalam masa pilihanraya sahaja... selepas itu tak ada sesiapapun janjikan apa-apa. Tak tahu bagaimana nak kata 'tak boleh' kepada yang datang membawa kertas-kerja sedemikian, apatah lagi saya orang baharu dan mempunyai kawasan yang cukup luas. Cawangan parti sahaja ada hampir 100, belum lagi parti-parti komponen dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut membantu. Tidak mungkin untuk kita mengenali setiap pengundi yang datang. Asalkan dia kata pengundi, kita yakin sahaja. Namun apabila seseorang datang dengan anak-anak yang masih kecil dan membawa sama periuk nasi, tong gas dan pinggan mangkuk serta muka yang sedih, apalah yang boleh dilakukan selain daripada bersimpati. Dia tidak mengemis wang tetapi mahu menukarkan barangan berkenaan dengan sedikit belanja untuk membeli susu dan makanan anak-anak yang kecil. Takkan kita tergamak mengambil perkakas berkenaan pula sedangkan keluarga itu memberitahu mereka baharu sahaja dihalau keluar dari rumah sewa kerana tunggakan yang banyak. Datang pula seorang ibu muda beranak lima. Melihatkan bentuk badan dan parasnya, cakap belum berumahtangga, siapapun percaya. Ibu muda ini memang selalu datang ke pejabat saya kerana beliau terlibat dalam salah satu NGO yang saya ketuai. Ibu ini mula-mulanya mundar mandir sahaja kerana ramai yang mahu berjumpa wakil mereka. Apabila telah reda, dia mengetuk pintu yang tidak bertutup. Senyumannya melebar.Saya balas senyumannya dan persilakan dia duduk. Peliknya ibu muda ini tidak mahu duduk dan tidak terus senyum sahaja.... Oleh kerana beliau berdiri, saya ternampak butang seluar jeansnya tidak terkancing. Nak tegur takut dia malu,,, nak biarkan....... Saya minta beliau duduk dan terus tanya apa masalah. Dia merapati meja dan butang seluarnya masih tidak terkancing. Setelah dipendekkan cerita, ibu berkenaan memberitahu bahawa beliau memerlukan wang untuk membayar ansuran keretanya yang telah tertunggak selama dua bulan. Dipendekkan cerita juga, oleh kerana tidak mahu butang seluarnya terlucut lagi, saya hulurkan ansuran sebulan. Senyumannya semakin melebar. Pada suatu ketika yang lain, seorang ketua cawangan parti datang ke rumah. Beliau pula mengadu hal vannya yang tidak ada road-tax. Kebetulan selepas memenangi pilihanraya 1995, beliau adalah ketua cawangan yang pertama sampai ke rumah mengucapkan tahniah. Ketika itu, kira-kira 2.30 pagi. Kedatangannya kali ini adalah untuk 'meminta simpati daripada YB' kerana beliau perlukan cukai jalan tersebut untuk urusan hariannya. Apa ada pilihan... huluq juga! Perihal seorang ketua pemuda yang datang meminta dibereskan bil elektriknya yang tertunggak lebih daripada setahunpun ada. Katanya, beliau akan dapat 'payment' dalam masa terdekat dan minta saya settlekan dahulu nanti dia bayar kembali. Nasib baik saya sudah kenal latar-belakangnya. Lagipun ketika itu dia datang dengan 'boss' nya menaiki kereta Mercedez. Pada congak saya, kalau minta didahulukan, dia boleh minta bantuan bossnya. Oleh kerana tunggakan banyak dan kebetulan poketpun ringan, saya tolak permintaannya dengan baik. Yang datang minta dicarikan pekerjaanpun ada juga. Ada yang mahu saya carikan pekerjaan setelah memberitahu bahawa saya tidak memerlukan seorang pemandu kerana ketika itu memang tidak mampu kerana elaun pemandu yang diberi oleh kerajaan hanyalah RM300 sebulan, empat tahun kemudian, baharulah dinaikkan RM600 sebulan. Mana boleh gajikan pemandu sebanyak itu...? Nak pakai pemandu juga kenalah keluarkan dari poket sendiri. Sahabat yang datang mencari kerja itu beria-ia benar mahu mencari pekerjaan kerana beliau baharu sahaja menjalani pembedahan. Semata-mata kerana saya tidak mengambilnya menjadi pemandu, dia ambil keputusan menyertai parti pembangkang - hingga kini. Ramai juga yang mengetahui latar-belakang saya iaitu 'YB pokai'. Maka adalah yang datang mempelawa untuk berehat ke luar negara selepas penat berkempen. Jangan takut YB saya tanggung beres semua, demikian jaminan yang beliau berikan. Saya hanya tersenyum sambil fikiran melayang dan berkata sendiri...,' baiknya hati sahabat ini.. seorang kontraktor nak belanja YB berehat di luar negara.........' Saya terus senyum dan ucapkan terima kasih. Oleh kerana kurang berhati-hati dengan kakitangan di pejabat, terjadi juga masalah besar dengan pengundi. Masalah bermula apabila sepasang suami isteri datng ke pejabat mengadu hal mereka ada sedikit wang untuk membina rumah, tetapi tidak mempunyai lot tanah sebagai tapak. Ketika itu saya berada di New York kerana menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA). Sebulan di sana dan hanya tiga orang kakitangan yang mengendalikan pejabat. Entah macam mana, seorang kakitangan tersebut 'overtake' saya sebagai YB dan dia mengatur lawatan ke tapak yang dicadangkan oleh pasangan suami isteri tersebut. 'Proposal' diluluskan dan pasangan tersebut mendirikan rumah batu berharga RM27,000 di tanah milik kerajaan. Sebaik rumah siap, datang pihak berkuasa dari pejabat tanah daerah memberi notis agar rumah berkenaan dirobohkan segera. Bayangkanlah apa yang hendak saya lakukan sekembali dari Amerika Syarikat....! Di tanah berkenaan, kini tersergam indah sebuah sekolah untuk kemudahan anak-anak dari Hulu Langat . Ada juga kisah lucu apabila seorang sahabat meminta saya menelefon isterinya dan memberitahu kononnya saya yang menyuruh beliau ke Kelantan kerana ada urusan penting. Sebagai sahabat baik, saya sampaikan hayatnya dan beliau mengucap ribuan terima kasih. Al-kisah sebenarnya, rakan itu ke Kelantan kerana urusan pernikahan dengan isterinya yang baharu.-16/3/2011 |
Friday, March 18, 2011
CATATAN SEORANG YANG BERHORMAT (YB)
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment