Friday, March 11, 2011

ISU KETUA PEMBANGKANG DI DEWAN RAKYAT

Pembangkang tidak percaya sesama sendiri


SHAH ALAM - Tindakan pembangkang terus mengekalkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang biarpun Ahli Parlimen Permatang Pauh itu digantung selama enam bulan, disebabkan sikap tidak percaya sesama sendiri.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar berkata, pakatan pembangkang juga sanggup mengosongkan jawatan berkenaan kerana ketandusan pemimpin yang berkaliber untuk mengetuai mereka berdepan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, hakikatnya Pas tidak akan bersetuju sekiranya Pengerusi DAP, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh dilantik menggantikan Anwar kerana perjuangan parti itu yang tidak menyokong perjuangan menubuhkan negara Islam.

“Begitu sebaliknya jika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang dilantik sebagai ketua, DAP tidak akan bersetuju kerana masing-masing berprasangka antara satu sama lain.

“Hanya Anwar sahaja yang mampu menyatukan pakatan pembangkang kerana perjuangan parti dalam pakatan pembangkang mereka tidak pernah sama,” katanya.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian ketika mengulas tindakan pakatan pembangkang yang tidak menamakan pemimpin kanan mengetuai mereka di Dewan Rakyat.

Anwar digantung daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan kerana memberi keterangan tidak benar kepada Dewan apabila mengaitkan konsep 1Malaysia dengan One Israel.

Beliau sebelum itu telah diberi peluang untuk membela diri dan mengemukakan bukti tetapi gagal melakukannya.

Tiga Ahli Parlimen pembangkang yang digantung kerana menghina dewan ialah Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak).

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]