Roslan guna Facebook tarik pengundi muda 2011/03/03 Penggunaan laman sosial popular jana komen, pendapat MERLIMAU: Calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad, 44, berkata beliau akan menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti laman sosial Facebook untuk berhubung dengan golongan muda bagi menerangkan isu semasa dan aktiviti hariannya, termasuk lawatan kempen bagi menambat hati golongan itu menyertai dan menyokong kerajaan. Selain itu, katanya, penggunaan laman sosial popular berkenaan juga dapat menjawab segala soalan yang diketengahkan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau tanpa mengira masa dan sebagai calon yang dipilih, beliau boleh berkomunikasi dengan golongan terbabit pada setiap masa. “Ini adalah kaedah terbaru digunakan saya untuk menemui lebih ramai pengundi di kawasan DUN Merlimau. “Menerusi cara ini, saya akan mendapat idea baru daripada penduduk di sini terutama membabitkan golongan muda seperti pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi kerana golongan itu dilihat mempunyai idea yang kreatif dan berinovasi. “Segala isu yang ingin diketahui boleh dijawab di laman sosial ini dan melaluinya (Facebook) juga, golongan berkenaan berpeluang menyuarakan komen dan pendapat mereka mengenai situasi tempoh berkempen, isu semasa yang berkaitan dengan golongan itu, selain melihat perkembangan aktiviti yang dianjurkan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas melancarkan laman Facebook 'Roslan Ahmad' di rumahnya di Jalan Batu Gajah dekat sini, semalam. Terdahulu, Roslan bersama isterinya, Zalifah Omar, 38, turut bersarapan pagi bersama wakil media yang hadir ke rumahnya bagi membuat liputan. Roslan berkata, faktor alam siber menerusi Facebook yang ada pada hari ini begitu mudah diakses oleh generasi muda. “Hari ini saya lihat perang politik mengambil bentuk baru iaitu maklumat adalah kuasa. “Siapa yang menguasai maklumat menguasai kuasa. Mereka yang menggunakan kaedah di dalam dunia siber ini akan memenangi hati dan jiwa rakyat dan inilah pendekatan yang dilakukan oleh saya,” katanya. Sementara itu, selepas memasuki hari keenam berkempen, Roslan semakin berkeyakinan tinggi apabila berjaya menambat hati pengun-di DUN Merlimau, khususnya golongan muda. Roslan berkata, beliau terhutang budi dengan jasa pengorbanan pemimpin terdahulu yang sebelum ini sudah mendapat kepercayaan sepenuhnya dari penduduk di DUN berkenaan. Katanya, melalui sambutan yang diterima sepanjang tempoh berkempen, beliau juga yakin BN masih mendapat tempat di hati setiap pengundi di DUN Merlimau. “Alhamdulillah... setakat ini saya dapat rasakan sokongan daripada masyarakat terutama golongan muda terhadap BN semakin meningkat dan yakin mereka akan terus bersama dengan kita menjelang hari pengundian, 6 Mac ini. “Terdapat kira-kira 40 peratus golongan muda di kawasan DUN ini daripada jumlah keseluruhan yang mendaftar sebagai pengundi. Jadi, saya bersyukur sambutan yang diterima setakat ini amat memuaskan dan ia terbukti mereka masih mahukan pucuk pimpinan daripada parti pemerintah di sini, ” katanya ketika ditemui di sini semalam. Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bersama kira-kira 200 golongan muda pada majlis Pentas Pemuda yang dihadiri Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di Bilik Gerakan Pemuda BN di Merlimau Pasir dekat sini, malam kelmarin. |
Thursday, March 3, 2011
KEMPEN POLITIK MAYA PATUT DIJADIKAN AMALAN PARTI ...
Label:
PRK MERLIMAU.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment