Analisis: Enggan bertolak ansur punca pembangkang tak sepakat Oleh Mohd Roji Kawi mdroji@bharian.com.my 2011/03/26 TARIKH penamaan calon hanya berbaki 11 hari saja lagi, namun pakatan pembangkang di Sarawak – PKR, DAP, PAS dan Parti kebangsaan Sarawak (SNAP), masih gagal mencapai kata sepakat berhubung soal pengagihan kerusi. Mereka yang kononnya membentuk pakatan bagi menubuhkan kerajaan negeri Sarawak yang baru selepas pilihan raya nanti, sehingga kini masih bertelagah sesama sendiri, dengan DAP dan SNAP menyalahkan kedegilan dan ketamakan PKR sebagai punca segala masalah. PKR dan SNAP jelas ‘berlaga angin’ apabila gagal mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi untuk ditandingi. SNAP menganggap mereka sebenarnya lebih layak untuk berkuasa di Sarawak, sebelum ini berkecil hati apabila PKR mengagihkan hanya tiga kerusi kepada mereka dan kemudian mereka bertindak mengumumkan untuk bertanding di 40 kawasan dengan 27 daripada calonnya sudah diumum setakat ini. Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng, turut menempelak PKR semalam, yang enggan bertolak ansur dan hanya memberikan 13 kerusi kepada DAP, sedangkan DAP yakin boleh menang di kesemua 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dituntut parti itu. PKR yang sejak awal-awal lagi mengumumkan wakil mereka akan menjadi Ketua Menteri Sarawak, jika pembangkang berjaya menubuhkan kerajaan negeri yang baru, pernah mengumumkan berminat bertanding di 52 kawasan DUN. Isnin lalu, penulis berpeluang berbual singkat dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, dan beliau menjelaskan empat parti pembangkang yang membentuk pakatan di Sarawak sudah mencapai persetujuan untuk memastikan mereka tidak akan bertembung sesama sendiri. Bagaimanapun sehari selepas itu, Presiden SNAP, Edwin Dundang, yang mengadakan sidang media mengenai senarai calon mereka, lain pula nadanya. Beliau bukan saja tetap dengan keputusan, malah meletakkan syarat jika PKR berhasrat bertanding di kawasan majoriti masyarakat Dayak, mereka harus menggunakan lambang SNAP. Pada masa sama Edwin, turut meminta PKR mengiktiraf SNAP sebagai parti dominan dan jika pakatan pembangkang menang, kerusi Ketua Menteri harus diberi kepada SNAP. Semalam, Ho Leng, pada sidang media di pejabat DAP Padungan, Kuching, menempelak Azmin, dengan mendakwa Ahli Parlimen Gombak itu, tidak layak untuk masuk campur urusan politik pembangkang di Sarawak. Pergeseran mereka semakin jelas apabila Ho Leng mendakwa, Azmin, belum cukup memahami senario politik Sarawak berbanding DAP yang sudah bertapak hampir 40 tahun di Bumi Kenyalang. Ho Leng malah mendakwa PKR mahu membolot beberapa kerusi yang didakwa mampu dimenangi DAP, walaupun rundingan antara mereka sudah memasuki pusingan kedua. Antara kerusi tradisi DAP yang cuba dibolot PKR itu ialah Batu Kawa di Kuching, Balai Ringin (Sri Aman), Dudong (Sibu) dan Piasau di Miri. Andai PKR terus dengan pendirian untuk bertanding di 52 kawasan, bermakna pertembungan sesama sendiri antara empat parti pembangkang utama itu, sudah hampir pasti tidak dapat dielakkan. Itu belum lagi pertembungan dengan satu lagi parti pembangkang dari Semenanjung, Parti Cinta Malaysia (PCM) yang pernah mengumumkan untuk meletakkan calon di 10 kawasan dan Parti Ekonomi Rakyat Sarawak (PERSB) yang akan meletakkan calon atas tiket Bebas. |
Saturday, March 26, 2011
SNAP FOR CHIEF MINISTER : PKR MELOPONG...
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment