Wednesday, March 16, 2011

TUNDA LAGI


Adik Karpal meninggal, kes Anwar tangguh

KUALA LUMPUR 15 Mac - Perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguhkan sehingga 21 Mac ini berikutan kematian adik lelaki kepada peguam bela utama Ketua Pembangkang itu, Karpal Singh.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan penangguhan setelah seorang lagi peguam bela yang mewakili Anwar, Sankara Nair memaklumkan tentang kematian ahli keluarga Karpal itu, Balwinder Singh kira-kira pukul 11 malam tadi di Pulau Pinang.

Menurut Nair, Karpal tidak dapat hadir ke mahkamah sehingga Isnin depan kerana sebagai anak lelaki sulung dalam keluarganya, peguam berkenaan diperlukan untuk menghadiri upacara keagamaan dan pengebumian mayat adiknya itu.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan pula menyatakan bahawa dalam keadaan sedemikian, adalah sukar untuk beliau membantah penangguhan selain mengucapkan takziah kepada Karpal sekeluarga.

Balwinder, 58, yang bekerja sebagai jurubahasa mahkamah di Pulau Pinang meninggal dunia akibat kegagalan fungsi organ badan.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar hujah balas Karpal berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan perintah supaya mahkamah menggunakan kuasanya bagi mengarahkan Anwar memberikan sampel bagi tujuan analisis asid deoksiribonukleik (DNA).

Sampel Anwar dikehendaki untuk dibandingkan dengan profil DNA 'Lelaki Y' yang ditemui di dalam rektum (salur dubur) bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut.

Selain itu, pasukan pendakwaan memohon Hakim Mohamad Zabidin menyemak semula keputusannya dalam bicara dalam perbicaraan (TWT) pada 8 Mac lalu yang tidak menerima masuk tiga bahan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Tiga bahan bukti yang tidak diterima masuk itu ialah sehelai tuala kecil Good Morning, sebatang berus gigi dan satu botol minuman plastik yang diambil dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 17 Julai 2008 yang menempatkan Anwar semalaman.

Hakim terbabit memutuskan demikian selepas mendapati barang-barang kes berkenaan yang diambil bagi tujuan mendapatkan profil DNA Anwar, telah diperoleh dengan cara yang tidak sah.

Prosiding TWT diadakan ekoran bantahan barisan pembelaan terhadap barang-barang kes itu semasa ahli kimia, Nor Aidora Saedon dalam keterangannya menyatakan bahawa ujian analisis DNA terhadap ketiga-tiga barang itu menunjukkan kehadiran profil DNA 'Lelaki Y'.

Anwar, 64, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]