Pengasas Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim membayangkan lebih ramai lagi pemimpin dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertindak meninggalkan parti itu dan menyertai KITA dalam tempoh terdekat ini. Katanya kebanyakan daripada mereka sudah menyatakan minat menyertai KITA kerana yakin dengan matlamat perjuangan dan hala tuju yang digariskan pihaknya. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama pemimpin berkenaan yang menyatakan pendirian untuk berbuat demikian. Zaid berkata walaupun baru ditubuhkan, KITA mendapat sambutan baik khususnya di kalangan anggota PKR yang merasakan perjuangannya sia-sia kerana mereka hilang kepercayaan kepada pemimpin. "Saya belum mulakan kempen secara besar-besaran, namun sudah dengar ramai yang berminat. Di Kedah, saya bertemu dengan pemimpin KITA dan dapat lihat kebanyakan daripada mereka adalah daripada PKR. "Ini menunjukkan KITA makin diterima baik. Mereka mahu bersama-sama KITA dan saya untuk melakukan transformasi politik di negara ini," katanya dalam majlis pertemuan bersama lebih 50 pemimpin KITA peringkat Kedah di sini. Zaid berkata kebanyakan daripada mereka yang berhasrat menyertai KITA juga yakin dan memahami hala tuju yang dibawa beliau untuk melakukan perubahan dalam arena politik tanah air. "Hasrat KITA bukanlah menjadi sebuah parti kecil atau parti serpihan. Parti ini mahu menjadi suara besar, suara yang boleh menentukan dasar. Kita mahu memastikan suara ini walaupun tidak berkuasa, boleh sekurang-kurangnya menentukan pihak yang berkuasa itu mentadbir negara atau negeri dengan baik," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Zaid berkata pihaknya akan melebarkan sayap ke negeri ini dengan memmbuka pejabat di Sungai Petani akhir bulan ini. Beliau juga memperkenalkan Zamil Ibrahim sebagai Pengerusi KITA cawangan Kedah. - Bernama |
Tuesday, March 8, 2011
Zaid bayangkan ramai lagi dari PKR sertai KITA
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment