Guan Eng janjikan kaum Dayak dana RM1 bilion Oleh Shannon Teoh SERI AMAN, 11 April — Lim Guan Eng mencabar politik pembangunan Barisan Nasional (BN) semalam dengan menjanjikan masyarakat Dayak akan disediakan dana tetap RM1 bilion jika Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada pilihan raya negeri kali ini. Pengundian diadakan Sabtu ini. Setiausaha Agung DAP itu berkata peruntukan itu tambahan kepada dana pembasmian kemiskinan RM1 bilion, yang turut disasarkan kepada Dayak, yang masih miskin meskipun merupakan majoriti di negeri itu. “Penindasan dan tekanan ke atas masyarakat Dayak mesti berakhir. Selama ini, kerajaan telah mengambil kesempatan dengan merampas hak mereka dan mengabaikan mereka,” kata beliau. “Sekarang, dengan hari pengundian tidak sampai seminggu, ini adalah kesempatan yang baik bagi masyarakat Dayak untuk bangkit mencabar kerajaan BN yang amalkan rasuah. “Negeri Sarawak milik rakyat Sarawak dan Pakatan Rakyat bertekad untuk memulangkan kekayaan tanah kepada rakyat,” kata beliau dalam ucapannya di sini malam tadi. Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Pakatan Rakyat akan memperuntukkan dana RM1 bilion untuk kemudahan awam seperti jalan, air dan bekalan elektrik di kawasan luar bandar, yang akan memanfaatkan masyarakat Dayak dan kaum-kaum lain. Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga mengecam Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memimpin kerajaan negeri sejak 30 tahun lalu telah gagal mengadakan infrastruktur asas meskipun Sarawak adalah “negeri yang kaya, walaupun bukan terkaya di Malaysia tetapi (kaya) dari segi sumber semula jadi.” “Mereka mesti menikmati akses langsung di mana saja mereka berada agar mereka boleh memiliki kehidupan lebih tinggi dan membawa mereka ke arus perdana ekonomi,” katanya. Lim juga berkata kerajaan negeri Pakatan Rakyat akan menuntut kerajaan persekutuan menaikkan royalti minyak daripada lima peratus kepada 20 peratus untuk menampung kedua-dua dana itu. Meskipun tiada kenaikan kadar royalti, kata beliau, kerajaan negeri boleh mengadakan dua dana itu dengan menghapuskan rasuah. Taib dan kerajaan negeri menolak dakwaan yang semakin meningkat bahawa kerajaan mengamalkan rasuah, terlibat dalam salah guna kuasa dan rampasan tanah rakyat sejak beberapa tahun lalu. Lim juga menjanjikan bahawa tanah negeri Sarawak akan kekal di tangan penduduk setempat dan Pakatan Rakyat akan mengamalkan dasar yang sama di Pulau Pinang di mana wakil rakyat dilarang memohon tanah bagi mengelakkan salah guna kuasa. DAP bertanding di 15 kerusi pada pilihan raya negeri kali ini yang menawarkan 71 kerusi. Muhyiddin cabar pembangkang tawar RM10 bilion untuk basmi kemiskinan di Sarawak Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membelanjakan puluhan bilion ringgit untuk membasmi kemiskinan di Sarawak berbanding RM1 bilion dijanjikan dalam manifesto pakatan parti pembangkang bagi pilihan raya negeri Sarawak. Timbalan Perdana Menteri seterusnya mencabar parti-parti pembangkang menyediakan dana sebanyak RM10 bilion untuk membasmi kemiskinan di Sarawak. Katanya, kerajaan BN telah mengurangkan kadar kemiskinan di Sarawak kepada hanya tiga peratus sekarang berbanding 60 ke 70 peratus 20 tahun yang lalu. "Sekali pandang tawaran (pembangkang) hebat, kalau betul-betul serius letak RM10 bilion, sebab kita sudah beri berpuluh bilion... lebih daripada itu," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra selama setengah jam di Pasar Utama Bintulu, Sabtu. Katanya cadangan penubuhan Dana Pembasmian Kemiskini sebanyak RM1 bilion untuk menangani keluarga di bawah paras kemiskinan dalam manifesto pakatan pembangkang hanya satu tawaran manis untuk menarik sokongan pengundi di Sarawak dan ia sebenarnya tidak mampu untuk dilaksana seperti apa yang berlaku di Selangor yang berada di bawah pemerintahan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bernama melaporkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata tawaran pemberian secara sekali sahaja sebanyak RM200 kepada setiap murid yang memasuki Tahun Satu juga jauh lebih rendah berbanding pendidikan percuma yang diberikan kerajaan BN untuk pelajar sekolah rendah dan menengah yang menelan kos kira-kira RM5,000 setiap seorang. "Kita bukan sahaja laksana...kita komited untuk program pembangunan dan bagi saya (jika) bandingkan kedua-dua manifesto dapat lihat apa yang dia (pembangkang) perjuang dan kita (BN) perjuang, rakyat perlu lebih prihatin dan peka, bukan kita buat sewenang-wenangnya kita buat atas dasar pembangunan berterusan," katanya. Mengenai slogan "ubah" yang dilaungkan oleh pembangkang, Muhyiddin berkata kerajaan sebenarnya telah membuat tranformasi dalam pemerintahan iaitu lebih baik maksudnya berbanding maksud "ubah". Katanya kerajaan bukan sahaja telah membuat tranformasi dalam politik, malah juga cara pemerintahan dalam kerajaan serta ekonomi. "(Ketua Menteri Tan Sri Abdul) Taib (Mahmud) dah sedia bakal pengganti... dia ada bisik bisik dengan saya...(dengan) Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mungkin lebih jelas lagi...jadi bermakna akan ada tokoh muda lebih berwibawa... itu lebih penting, kalau dikira lama, (Penasihat DAP Lim) Kit Siang, (Pengerusi DAP) Karpal Singh, (Menteri Besar Kelantan) Datuk Nik Abdul Aziz (Nik Mat) lebih lama," katanya. Mengulas sokongan kaum Cina, Muhyiddin menasihati pengundi Cina agar memastikan mereka ada wakil dalam kerajaan BN di peringkat negeri. "Merujuk kepada trend sokongan pada beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, ada peningkatan dalam sokongan pengundi Cina kepada BN," katannya. Berkenaan kempen, Muhyidin berkata BN akan bekerja lebih keras pada pilihan raya kali ini dan tidak akan memandang mudah dengan cabaran yang diberikan oleh pembangkang. Katanya pengundi juga diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sesetengah parti pembangkang dan calon Bebas yang mendakwa mereka mendapat sokongan BN di peringkat pusat. "Mereka tidak guna lambang dacing (BN), mereka guna lambang sendiri, bagaimana kita nak kata mereka menyokong BN, ini semua satu pembohongan," katanya. Hari pengundian pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada 16 April.-9/4/2011 |
Monday, April 11, 2011
DAP TAWAR 1 BILLON - DUIT DARI BALAK KE ?
Label:
PRN SARAWAK
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment