Saya melihat politik Malaysia dari kaca mata konsosiasional politik. Itulah sebenar realiti politik Malaysia, dan itulah realpolitik. Saya yakin, PAS, akibat terlalu benci dengan BN, terutamanya UMNO, telah kehilangan visinya, dan mula berpolitik tanpa dasar dan prinsip yang jelas. Apabila saya menyatakan tanpa dasar dan prinsip yang jelas, saya bercakap pada tahap praktikal, yakni tidak dapat dalam pengalamannya. Saya kira, beberapa perkembangan yang menyentuh isu sosiobudaya dan sosiopolitik, telah menjejaskan kepercayaan masyarakat Melayu yang menjadi penyokong setia, dan juga 'jatidiri' PAS itu sendiri. Yang pertama, saya lihat isu kalimah Allah. Untuk pertama kali, isu ini telah dipolitikkan oleh PR, dan untuk pertama kali juga, PAS tidak mempunyai pandangan yang sama. Kita lihat pandangan Tuan Guru Dato' Dr Harun Din berbeza dengan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Aziz. Sepatutnya, dalam konteks isu ini, PAS patut menzahirkan pandangan yang dilihat lebih untuk menjaga akidah umat Islam, kerana kita tahu, isu sebenar di belakang isu tersebut. Tindakan seperti itu telah melunturkan dan mencairkan diri PAS sendiri, yang selama ini dilihat sebagai 'pembela Islam' dalam konteks politik. Dalam kalangan simpatisan PAS, saya yakin, tindakan tersebut menimbulkan kekeliruan besar, dan menyebabkan PAS sendiri diletakkan sebagai objek prejudis simpatisannya. Kedua, ialah isu 'nasionalisme'. Beberapa penyataan Tuan Guru Dato' Nik Aziz, yang melihat Melayu hanya sebagai satu bangsa, turut menimbulkan persoalan besar. Tindakan tersebut boleh dilihat daripada beberapa sudut. Yang pertama, apakah wujud keperluan untuk mempersoalkan hal tersebut? Apakah keuntungan politik daripada penyataan seperti itu, selain memberikan peluang kepada pihak lain untuk menggunakan kelebihan tersbeut bagi keuntungan sendiri. Dari sudut yang lain, hal ini juga memperlihatkan ketidakprihatinan Tuan Guru terhadap kajian yang memperlihatkan Melayu sebagai bangsa yang manam, Islam menjadi terasnya. Dalam konteks ini, yang menjadi seseorang itu Melayu atau tidak, ialah Islamnya. Jadi, secara tidak lansung, dan biarpun tanpa niat Mursyidul Am - kritikan beliau terhadap konsep Melayu, yang difahaminya sebagai hanyalah satu bangsa, yang melalui kemunculan yang sama dengan bangsa lain, seperti India, Cina dll sebenarnya menyerang konsep Melayu seperti yang difahami oleh ramai masyarakat Melayu sendiri. Jadi, tindakan itu melunturkan 'wajahnya yang dilihat pembela Melayu-Islam'. Saya yakin, pelbagai isu sosiobudaya dan sosiopolitik akan terus dimainkan oleh pelbagai pihak. Keterlibatan PAS dalam menangani isu yang timbul akan menentukan wajah PAS selepas ini, dan akan dinilai oleh masyarakat. Isu Interlok dan kini isu 'paria' dalam Kamus Dewan hanya dipandang sepi oleh PAS - seolah isu-isu itu bukan isu 'Islam'. Jika PAS terus menyepi, maka keyakinan masyarakat terhadap PAS dari kalangan pertengahan yang kritikal, yang tidak melihat kata-kata Mursyidul Am sebagai maksum dan harus diikuti - akan menyebabkan PAS terus terpinggir dari golongan ini. Untuk itu, PAS harus kembali waras dalam percaturan politik di negara kita. Mereka seharusnya yakin diri, dan menampilkan wajah Islam yang kulli, yang bukan hanya berani terhadap UMNO dan BN - tetapi juga PKR dan DAP - yang kelihatannya menjadi punca kesenyapan mereka dalam isu sosiopolitik dan sosiobudaya yang disebutkan di atas. Sila klik di sini untuk membaca tulisan saya, "PAS Sebagai Suara Ketiga." |
Tuesday, April 26, 2011
PAS HILANG JATI DIRI BILA SEPAKAT DGN PAKATAN.
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment