Friday, April 8, 2011

MASYARAKAT CINA BERSAMA PM


PM dekati masyarakat Cina

KUCHING 7 April - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluangkan masa kira-kira 40 minit bersama masyarakat berketurunan Cina di Padungan di sini.

Jalan Padungan merupakan destinasi pertama kunjungan mesra Perdana Menteri yang berjalan sejauh satu kilometer (km) menyusuri deretan kedai untuk bertemu para peniaga.

Mengiringi beliau ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Fadillah Yusof.

Beliau kemudiannya menziarahi penghuni Flat Belaga, Simi Ayur, 55, yang lumpuh separuh badan.

Agenda beliau diteruskan dengan kunjungan mesra ke atas penjaja di Pusat Makanan Song Kheng Hai sebelum bersarapan bersama calon BN Padungan, Sim Kiang Chiok.

Sewaktu berada di pusat penjaja berkenaan, beliau turut disapa oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang berada di situ untuk berkempen.

Sementara itu, seorang peniaga, Sin Chua Huat, 62, memuji kunjungan Perdana Menteri itu yang disifatkannya sebagai mesra rakyat.

Katanya, pendekatan sedemikian perlu diteruskan bagi membolehkan rakyat menyalurkan maklumat berkaitan masalah yang dihadapi mereka secara langsung.

Sentimen pengundi Cina

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Peniaga di Pasar Sentral Sibu sibuk melayani pelanggan masing-masing ketika kempen parti politik sudah bermula sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10. - Bernama

Trio Utusan Malaysia tiba di Sibu dari Mukah, lewat petang semalam. Sibu antara bandar Cina yang dihuni etnik Foochow yang dianggap pada pilihan raya kecil sebelum ini menjadi penyumbang kepada kekalahan calon Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun bukan Sibu menjadi perhatian kami buat masa ini meskipun ia menjadi kubu kuat DAP. Tumpuan kami sebenarnya ialah Miri, tempat bertandingnya Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, 75.

Sejak kebelakangan ini khususnya selepas pilihan raya umum lepas, kedudukan SUPP dalam BN Sarawak sebagai parti yang benar-benar mewakili pengundi Cina agak goyah. Ini ditambah dengan sentimen DAP yang sentiasa memainkan isu-isu kecinaan termasuk isu kepimpinan terlalu lama beberapa pemimpin utama negeri termasuk Hong Nam.

Parti pimpinan Hong Nam yang mewakili kaum Cina di Sarawak dikatakan 'kurang menyengat' berbanding dengan DAP yang diuar-uarkan pula lantang bersuara mewakili 'majoriti' kaum itu. Sehinggakan suatu ketika, isu pengunduran Hong Nam yang dikatakan mahu berbuat demikian pada 2008 dimomokkan begitu sahaja oleh DAP di kalangan orang Cina.

Namun, seperti mana tegarnya kewibawaan para pemimpin Sarawak, demikianlah Hong Nam yang tidak mahu mengalah dengan sikap chauvinis DAP dalam memainkan sentimen di negeri itu. Awal bulan ini, Hong Nam mengingatkan 'pihak berkenaan' ketika bercakap tentang Miri yang turut digelar 'George Town' (Bandar George mengambil sempena sumbangan dan jasanya memajukan Miri).

Kata Hong Nam: "Miri tempat kelahiran saya, saya akan mempertahankannya sehingga saya mati. Dan kalau saya mati, saya akan bangkit dari kubur dan menghantui sesiapa sahaja yang cuba mengganggu-gugat keharmonian Miri."

Hong Nam yang baru sahaja mengejutkan orang ramai termasuk pemberita dengan pengesahannya berkahwin dengan Datuk Lorna Enan Muloon beberapa hari lepas setelah merahsiakannya selama bertahun-tahun untuk menjaga perasaan anak-anak dan anggota keluarga yang lain, akan mempertahankan kerusi DUN Piasau. Beliau ditentang oleh calon muka baru dari DAP, Ling Sie Kiong, 28.

Hong Nam yang menyandang kerusi berkenaan selama enam penggal merupakan Presiden SUPP sejak 1997 dan telah berkecimpung dalam dunia politik selama lebih 30 tahun. Sementara Sie Kong pula merupakan peguam muda berkelulusan undang-undang dari Universiti Sheffield, England.

Anak muda ini, sebaik sahaja selesai menyerahkan borang pencalonan kelmarin berkata: "Saya akan menentang 'gergasi politik'. Ada banyak isu, kita (DAP) akan bawa isu setiap hari melalui sidang media, risalah dan juga ceramah politik kita."

Peranan SUPP pada pilihan raya negeri ke-10 ini penting untuk membantu BN Sarawak mengekalkan rekod bersih selepas kehilangan lapan kerusi pada Pilihan Raya Negeri 2006. Tumpuan BN sepanjang kempen pilihan raya ini ialah mahu merampas kembali kerusi Pending, Padungan, Batu Lintang, Kidurong, Meradong, Kota Sentosa, Bukit Assek dan Ngemah, selain mengetepikan saingan pembangkang di beberapa kerusi yang bakal menyaksikan persaingan sengit. Antaranya di Lingga, Engkilili, Bawang Assan, Ba'kelalan dan Telang Usan.

Dari segi SUPP sendiri, parti itu bertanding di 19 kerusi termasuk 15 kerusi yang majoritinya pengundi Cina. Ironinya, isu yang diberi perhatian oleh pengundi Cina khususnya di kawasan bandar ialah lebih kepada politik baru yang melihat kepada soal tadbir urus. Ini berkisar sama ada kerajaan 'boleh diyakini' dalam mengutamakan soal kepimpinan dan pentadbiran yang cekap , amanah, berakauntabiliti serta bebas daripada salah guna kuasa dan rasuah.

Isu yang sering diuar-uarkan oleh DAP yang dipercayai akan mewarnai kempen pilihan raya mereka kali ini ialah isu pemimpin yang terlalu lama memerintah. Sentimen mereka ialah 'good BN, good Taib' (kalau undi BN, undi Abdul Taib).

Dari segi ekonomi pula, pengundi Cina dikatakan bertumpu kepada soal kekayaan ekonomi, agihannya dan dasar-dasar ekonomi serta pembabitan orang Cina dalam sektor awam.

Selain itu, DAP dan pakatan pembangkang memainkan sentimen siri pertelagahan dalam SUPP serta mempersoalkan 'usia veteran' rata-rata pemimpinnya yang berusia 60 hingga 70 tahun.

"Dikatakan majoriti pengundi Cina tidak mudah terpengaruh dengan cerita yang tidak benar dan mengutamakan kestabilan dan ketelusan.

"Soal peningkatan kadar jenayah juga menjadi isu, namun di bawah pentadbiran sekarang, kadar jenayah telah turun secara drastik," kata seorang pemimpin negeri kepada Utusan Malaysia semalam.

Selain itu, pengundi Cina juga dikatakan dihambat dengan isu pajakan tanah terlalu pendek iaitu 60 tahun dan isu tanah mengikut Seksyen 47 Kanun Tanah Sarawak. Malah mereka juga dikatakan peka dengan pendekatan 'semak dan imbang' (check and balance) serta tidak mahu sesuatu parti itu dilihat terlalu kuat sehingga kononnya dikhuatiri wujud salah guna kuasa di kemudian hari.

Begitu pun, jika diambil kira 'kesempurnaan' yang dituntut oleh pengundi Cina di Sarawak, segala-galanya mungkin dikira 'perlu sempurna' sehingga tidak memungkinkan kesilapan kecil manusia. Ketika kaum dan etnik lain di Sarawak turut memiliki pendirian dan pandangan tersendiri tentang parti pilihan mereka terutama BN, kaum lain pula sewajarnya menghulurkan kesepakatan dan timbang rasa untuk bersama-sama memacu kemajuan Sarawak.

Apatah lagi dengan manifesto BN yang baru dilancarkan di Kampung Bandung, Sibu semalam oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang komited untuk meneruskan usaha BN mahu menekankan tadbir urus yang baik, kalau pun dikatakan itulah tuntutan pengundi Cina. Disebut dalam manifesto itu bagaimana pengurusan kewangan yang baik oleh kerajaan negeri pimpinan Abdul Taib telah diiktiraf dan diperakui oleh Ketua Audit Negara untuk lapan tahun berturut-turut sehingga sekarang.

Malah, aliran pelaburan antarabangsa terus ke Sarawak meningkat setiap tahun. Pada 2009, ia mencapai RM5.7 bilion berbanding RM1.7 bilion pada 1990. Dengan impak pelaksanaan Koridor Tenaga Yang Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang sedang berjalan sekarang, kesan pelaburan antarabangsa ini untuk 2010 hingga 2020 dijangka mencecah RM147.5 bilion.

Cuma yang sepatutnya harus dibimbangi oleh pengundi Cina ialah jika mereka menolak SUPP, yang merupakan komponen BN, maka agak sukar wadah kaum Cina dibangkitkan dalam Kabinet negeri seterusnya ke peringkat Pusat. Suara pengundi Cina perlu diterjemahkan menerusi SUPP yang kini berada utuh di sebelah Kerajaan Pusat

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]