Kesetiaan ahli UMNO diuji
2011/05/15
NAJIB bersama pemimpin tertinggi parti sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-65 di PWTC, Rabu lalu. - Foto Abdullah Yusof
JIKA melihat usianya yang sudah menjangkau 65 tahun, UMNO bukan saja dewasa malah sudah matang.
Justeru, mereka yang berada dalam parti ini sama ada di cawangan, bahagian, negeri mahupun dalam Putera, Puteri, Pemuda, Wanita serta Majlis Tertinggi, semestinya matang dengan perubahan atau transformasi yang sedang berjalan.
Beliau juga lantang menegaskan akan menguji kesetiaan ahli UMNO pada PRU Ke-13, melihat sama ada mereka akan menyerahkan mandat sepenuhnya kepada pucuk pimpinan memilih calon bertanding atau akan adakah lagi suara sumbang yang kemudian disertai sabotaj dalaman.
Kesetiaan ahli UMNO akan diuji sama ada mereka akan terus bersatu padu serta sama-sama bekerja keras dalam satu jentera yang mantap bagi memastikan kemenangan parti pada PRU Ke-13 kelak walaupun tidak terpilih menjadi calon.
Persoalannya, mengapa Presiden UMNO mahu membuat ujian sedemikian. Adakah beliau belum yakin dengan ahli pada peringkat akar umbi atau itu cabarannya untuk melihat kesetiaan dan perubahan dalam parti yang diterajuinya sejak 2010.
Penganalisis politik, Prof Shamsul Adabi Mamat melihat ucapan Najib itu lebih kepada peringatan buat akar umbi kerana mungkin sudah ada cubaan sesetengah pihak melobi untuk menjadi calon terutama sejak beberapa minggu lalu apabila banyak pihak membuat andaian mengenai PRU Ke-13.
Beliau berpandangan mesej Presiden itu sudah jelas dan diulang kembali kerana dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, calon yang dipertaruhkan parti bukan pun ketua bahagian atau ‘orang lama’ tetapi mereka yang punya latar belakang bersih, boleh bekerja untuk parti dan diterima baik pengundi.
Justeru, mesej Najib kali ini satu lagi penegasan jelas bahawa keutamaan UMNO adalah mengekalkan sokongan rakyat kepada parti bukan politiking. Tidak perlu lagi ada yang tampil melobi mahu jadi calon, membodek, cah keting, mengugut atau merayu simpati termasuk `menunjukkan muka’ pada setiap majlis dihadiri Presiden parti.
Paling menjengkelkan ada orang mahu jadi calon pilihan raya muncul di lapangan terbang setiap kali Perdana Menteri mahu berangkat ke luar negara.
Laungan Presiden UMNO turut bergema pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) di Putrajaya, Disember lalu dan antara yang disentuh adalah mengenai kesetiaan ahli parti serta berkhidmat bersungguh-sungguh kepada rakyat dan sering mendampingi atau turun padang mendengar masalah masyarakat.
Profesor Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datin Paduka Dr Ramlah Adam berpandangan peringatan Najib itu sebagai peringatan ulangan kepada ahli UMNO bahawa parti itu berhadapan cabaran besar di dalam dan luar parti.
“UMNO perlu lebih kuat berbanding pada 1999 atau 2004 kerana berhadapan beberapa cabaran yang perlu diselesaikan sebelum PRU Ke-13. UMNO juga perlu mendapatkan sokongan generasi muda di luar parti, profesional dan pengundi di kawasan bandar,” katanya.
Malah, katanya, sikap tamak, gila kuasa dan takut kehilangan jawatan sesetengah pemimpin peringkat cawangan dan bahagian ditambah sikap tertutup terhadap pengundi baru serta berpuak-puak perlu dikikis agar UMNO bertambah kuat menghadapi cabaran semasa.
Tepatlah apa yang dilaung dan dihajatkan Najib, kini terpulang kepada pemimpin serta ahli sama ada mahu menyahut laungan itu atau terus-terusan bersikap jengkel demi kepentingan peribadi walaupun sedar ia boleh menambah layu perjuangan parti.
No comments:
Post a Comment