Sunday, May 15, 2011

Gaji wakil rakyat dari air mata rakyat

JANGAN MARAH INI DARI JAKARTA HA...

Dari Jakarta

DI negara Republik Indonesia hari ini, golongan yang tidak pernah berhenti daripada menerima tekanan bertubi- tubi daripada masyarakat ialah wakil rakyat.

Satu demi satu tekanan diletakkan di bahu anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bermula dengan kehendak mereka untuk bekerja di sebuah bangunan pentadbiran baru yang serba gah.

Rancangan pembinaan bangunan baru untuk anggota DPR dikecam teruk kerana kos pembinaan menara pentadbiran itu dianggarkan menelan kos sebanyak Rupiah 1.2 trilion (RM420 juta).

Belum cukup kontroversi itu, terdapat pula laporan mengenai kos perbelanjaan anggota DPR ke luar negara yang dianggap tidak munasabah dan menghabiskan duit rakyat.

Reputasi anggota DPR bertambah buruk apabila seorang anggotanya, Arifinto dari Parti Keadilan Sejahtera terperangkap dengan lensa kamera jurugambar apabila dia ghairah menonton video lucah semasa persidangan berlangsung.

Kes terbaru yang sudah seminggu didebatkan dia media-media tempatan pula satu laporan menggemparkan menunjukkan anggota DPR secara keseluruhan membelanjakan Rupiah 151 bilion (RM54 juta) untuk bil telefon setiap tahun.

Forum Transpirasi Bajet Indonesia (Fitra) menyatakan anggota DPR diberi peruntukan sangat tinggi untuk penggunaan telefon bimbit.

Setiap seorang anggota DPR menerima 14 juta rupiah (RM4,896) sebulan atau 168 juta rupiah (RM58,726.) setahun untuk kredit telefon dan tambahan 102 juta rupiah (RM35,663) setahun ketika waktu sidang berehat.

"Maka, setiap ahli Parlimen menerima 270 juta rupiah (RM94,463) setiap tahun untuk kredit telefon sahaja," kata wakil Fitra, Ucok Sky Khadafi.

Isu ini bukan perkara kecil bagi sebilangan besar rakyat Indonesia yang ketika ini sedang mengikat perut untuk meneruskan hidup. Apa lagi dengan keadaan semasa yang memperlihatkan pendapatan rakyat Indonesia sangat rendah.

Hal ini menambahkan krisis keyakinan terhadap wakil rakyat Indonesia kerana hampir 30 juta rakyat negara ini hidup dalam serba kemiskinan.

Namun, di sisi lain, golongan yang dipertanggungjawab untuk membela nasib rakyat berpeluang hidup mewah dan mengabaikan keperluan orang-orang di bawah.

Elaun bil telefon yang diterima wakil DPR merupakan salah satu daripada ganjaran kecil yang disediakan pemerintah.

Selain elaun itu, mereka juga menerima habuan yang dirumuskan sebagai lumayan berbanding dengan kualiti kerja yang tidak mencapai apa yang dikehendaki oleh negara.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan oleh DPR, setiap bulan anggota DPR membawa pulang gaji paling kurang sebanyak Rupiah 51.5 juta (RM18,000)

Kepada sesetengah daripada kita pendapatan sebanyak itu barangkali tidak terlalu besar berbanding gaji ketua-ketua eksekutif di syarikat konglomerat.

Namun, kepada sebilangan rakyat Indonesia, pendapatan wakil rakyat mereka terlalu lumayan jika mahu dibandingkan dengan kualiti kerja mereka atau khidmat yang diberikan kepada rakyat.

Justeru, isu yang menjadi perhatian utama di kalangan rakyat Indonesia ialah apakah berbaloi para wakil rakyat atau anggota DPR dibayar sebanyak itu sedangkan, tugas yang dipikul tidak memberi kesan yang efektif.

Apa lagi dengan pelbagai berita negatif yang sering dilaporkan di media tempatan berhubung perilaku anggota dewan menyebabkan keyakinan rakyat semakin terhakis. Inilah cabaran paling besar yang harus dipikul oleh DPR. Sikap tidak bertanggungjawab para anggotanya menyebabkan integriti mereka dipersoal.

Bukan sekadar menonton video porno ketika sidang berlangsung, bahkan banyak lagi isu lain yang dicetuskan anggota dewan setiap masa dan ketika.

Ada ketika, sebilangan besar daripada anggota dewan tidak menghadiri ketika sidang plenary berlangsung. Lalu, bagaimana kumpulan ini boleh diyakini untuk memimpin rakyat?

Isu-isu kompleks inilah yang mencetus kemarahan dan kebimbangan yang memuncak di kalangan rakyat kepada wakil yang dilantik untuk membuat keputusan yang ada kaitan dengan kepentingan rakyat jelata.

Seandainya tugas dilaksanakan dengan baik serta kebajikan rakyat dipelihara, isu ganjaran yang diterima barangkali tidak akan dipertikaikan.

Sayang sekali, harapan yang disandarkan kepada mereka tidak ditunaikan. Harus sentiasa diingat bahawa setiap wang yang diterima mereka adalah daripada air mata rakyat Indonesia yang membayar cukai.

Setiap seorang daripada individu tidak kira siapa perlu meneliti tanggungjawab mereka. Kalau tidak mampu untuk memimpin rakyat, undurlah diri secara terhormat.

Jangan biarkan rakyat menderita di kemudian hari ketika wakil rakyat sedang bergembira dengan wang yang dibelanjakan hasil daripada keringat rakyat yang memerlukan pembelaan

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]