Wednesday, June 8, 2011

BENAR KE PEMUDA UMNO PENAKUT?

PEMUDA UMNO PENAKUT???!!!

KUALA LUMPUR – Tiada cara lain. Pergerakan Pemuda UMNO digesa lebih berani memperjuangkan nasib dan survival orang Melayu serta agama Islam jika mahu menyekat pengaruh sayap pemuda parti pembangkang.
Bekas Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan, Zahid Md. Arip berkata,’kelesuan’ itulah yang mereka jadikan modal untuk menyerang UMNO dan Barisan Nasional (BN) dulu dan ia ternyata strategi yang cukup berjaya.
Katanya, jika Pemuda UMNO terlalu takut dengan isu dan tidak berani berhadapan dengan cabaran secara terbuka, maka ruang itu akan digunakan oleh sayap pemuda parti pembangkang untuk menggempur mereka habis-habisan.
” Saya, Ezam (Mohd Noor) dan beberapa pemimpin pemuda Keadilan pada masa itu mengambil kesempatan di atas kelemahan Pemuda UMNO, kami tunjuk keberanian kami, kami berani bercakap pasal survival bangsa, kami berani berhadapan dengan sesiapa saja , kami ronda satu Malaysia, berceramah walau terpaksa berhadapan dengan tindakan pihak berkuasa, ternyata strategi itu berjaya walhal terus-terang saya katakan yang ahli Pemuda Keadilan ketika itu tidaklah ramai seperti sekarang.
” Sebab itu Pemuda UMNO kena vokal, Pemuda UMNO kena berani tegur kerajaan, Pemuda UMNO kena berani tegur kepimpinan parti, isu sangat banyak, isu agama, isu biasiswa, isu rasuah, kita kena menangkap imaginasi rakyat, jika tidak ruang-ruang ketakutan Pemuda UMNO itu akan diambil alih oleh mereka,” katanya ketika ditemui Mynewshub.my di sini hari ini
Ditanya mengenai tindakannya meninggalkan Parti Keadilan, Zahid berkata, perjuangannya tamat setelah menyedari ‘mentornya’, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal memahami hasrat mereka pada ketika itu yang tidak mahu berkompromi mengenai isu ketuanan Melayu.
Zahid berkata, beliau masih ingat pada suatu hari, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina seperti Dong Jia Zhong mahu keistimewaan orang Melayu digugurkan.
Lalu, katanya, dia dan beberapa rakan yang lain pergi menemui Anwar di mahkamah untuk menyatakan bantahan mereka kerana Anwar ketika itu masih dalam ditahan di dalam penjara.
Beliau kemudiannya terkejut kerana Anwar bukan saja bersetuju dengan NGO-Ngo tersebut malah meminta mereka turut sama menyokong tuntutan berkenaan.
” Saya lawan bila diminta bersetuju, kebetulan Anwar memang ada tabiat tidak suka orang melawan dia, bagi Anwar dia perlukan undi orang Cina agar dapat menjadi Perdana Menteri.
” Ternyata matlamat Anwar sangat cetek, sejak pada itu hari demi hari saya semakin curiga dengan dirinya…akhirnya saya mengambil keputusan untuk keluar daripada bersekongkol dengan pemimpin yang tidak bertanggung jawab seperti beliau” tegasnya
Ketika diminta mengulas mengenai beberapa pemimpin kanan Parti Keadilan yang masih setia dengan perjuangan parti itu, Zahid berkata, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana masing-masing merasakan akan dilantik oleh Anwar sebagai menteri sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih tampuk kepimpinan negara.
Mereka juga, menurut Zahid,’kemaruk’ dengan pujian apatah lagi bila ia datang sendiri daripada mulut Anwar.
Namun yang lebih penting, menurutnya, kesemua orang kanan Anwar ini sedar yang mereka tidak mempunyai tempat sekiranya berada atau kembali semula ke dalam UMNO.
” Saya ambil contoh Saifuddin Nasution cukuplah, bertanding jawatan apa pun dalam UMNO dia tak pernah menang, begitu juga ketua pemuda sekarang, Samsul Iskandar atau Sam Ketot, jawatan Ketua Pemuda Keadilan Negeri Melaka pun saya yang beri, jadi tak payahlah nak cakap banyak,” katanya.
Akhir sekali ketika ditanya perasaan setelah keluar daripada Keadilan, Zahid berkata, beliau bersyukur kerana berbuat demikian walaupun dituduh ‘dibeli’ oleh UMNO sewaktu mengumumkan tindakannya itu.
Katanya, jika pun ditawarkan sejumlah wang, beliau tidak akan berbuat demikian kerana nilai sesebuah perjuangan tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.
Menurutnya, sebagai cucu saudara kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghaffar Baba, beliau tahu beliau mampu untuk ‘mewah’ jika menggunakan pengaruh ahli politik veteran itu.
” Berapa banyak UMNO boleh bayar saya…dulu waktu saya masuk Keadilan, tiada pula orang nak tanya berapa Anwar bayar saya…cukuplah, saya tak perlukan semua itu, saya kembali pada UMNO pun jangan kata duit, jawatan pun saya tak mahu.
” Yang penting saya tahu di mana saya boleh memainkan peranan, ini kerana saya sedar hanya UMNO sajalah parti terbaik yang boleh menjamin masa depan agama, bangsa dan negara,” ujarnya
– Oleh SYAHRIL A. KADIR (Mynewshub.my)

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]